Seks sihat cegah herpes genital

Gina (bukan nama sebenar) mengalami rasa gatal-gatal dan panas seperti terbakar pada bahagian alat sulit yang kemudiannya sembuh dengan sendiri tidak berapa lama kemudian. Jadi, dia tidak ambil kisah.

``Ingatkan tiada apa-apa sehinggalah ia datang kembali. Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya juga tidak pasti sama ada ia benda yang sama menyebabkan gejala-gejala yang saya alami buat kali kedua.

``Saya terus berfikir, adakah ia akan hilang dengan sendirinya seperti dulu dan tidak akan datang kembali atau perlukah saya berjumpa doktor?

``Pada mulanya, terlintas juga di fikiran saya, mungkin ia hanya sejenis jangkitan kulat atau tindak balas alahan yang disebabkan oleh bahan pencuci pakaian yang saya gunakan. Namun, apabila gejalanya kembali buat kali ketiga, saya mula berasa bimbang.

``Jangan-jangan penyakit yang ditularkan melalui hubungan kelamin... Ah, tidak mungkin begitu kerana saya pasti, sangat pasti, telah mengambil langkah berjaga-jaga.

``Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk melakukan penyelidikan sendiri. Saya membuka Internet dan mencari pelbagai laman web dan apa yang saya jumpa sungguh mengejutkan.

``Simptom-simptom yang saya alami menyerupai gejala yang ditunjukkan oleh sejenis penyakit yang dinamakan sebagai herpes genital.

``Sebahagian diri saya cuba untuk bersembunyi dan berpura-pura yang saya tidak mempunyai gejala-gejala tersebut. Bagaimanapun, sebahagian lagi diri saya mahu agar saya mendapatkan nasihat doktor.

``Saya takut sangat, kalau-kalau doktor akan marah dan bersyarah kepada saya. Saya malu lalu menangguhkannya selama beberapa minggu. Tetapi, bila gejala itu berulang lagi buat kali yang keempat, saya tidak berlengah-lengah lagi.

``Doktor telah mendiagnos saya melalui ujian kultur. Ya, walaupun ia sukar diterima pada mulanya tetapi saya gembira kerana berjumpa doktor.

``Sekurang-kurangnya, saya tahu apa sebenarnya yang terjadi dan doktor telah mempreskripsi ubat makan antivirus bagi melegakan gejala-gejala herpes genital yang saya alami.''

Menurut kajian tentang herpes genital yang dijalankan di sebuah klinik tempatan, kejadian herpes genital telah meningkat 21.5 peratus berbanding tempoh tiga tahun yang lepas.

Namun penghidap herpes genital di Malaysia kini tidak perlu lagi bimbang akan menyebarkan jangkitan kepada pasangan mereka.

Satu kajian antarabangsa menunjukkan bahawa terdapat sejenis ubat antivirus - valacyclovir (Valtrex) yang mengurangkan risiko penyebaran herpes genital daripada orang yang dijangkiti kepada orang lain secara mendadak.

Valacyclovir merupakan rawatan pertama seumpamanya di dunia yang terbukti secara klinikal mengurangkan risiko penyebaran herpes genital dan baru-baru ini telah diluluskan oleh Lembaga Kawalan Ubat-Ubatan Malaysia.


Rahsia Doa Pengasih. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Kecurangan Pasangan. Keterangan lanjut, sila klik sini.

Herpes genital disebabkan oleh virus herpes simplex HSV-1 dan HSV-2, yang mana HSV-2 adalah paling umum.

Jangkitan menyebabkan bengkak pada kemaluan yang menyakitkan dan mengambil masa satu atau dua minggu untuk sembuh.

Lebih buruk lagi, virus ini tidak boleh dihapuskan sepenuhnya dan kekal dalam badan orang yang dijangkiti seumur hidup.

Virus ini berpindah dengan mudah daripada seorang yang dijangkiti kepada pasangannya, walaupun orang yang dijangkiti tidak menunjukkan kesan luar yang ketara.

Walaupun terdapat rawatan yang mampu mengekang herpes genital dan mencegah gejalanya, masih tiada sebarang ujian klinikal terbukti untuk menunjukkan pengurangan ketara kepada risiko penyebaran penyakit.

Dalam satu kajian rambang kawalan plasebo double-blind ke atas seramai 1,484 pasangan heteroseksual, di mana seorang daripada pasangan mengalami herpes genital dan yang lain tidak dijangkiti, rawatan sekali sehari dengan 500mg ubat antivirus valacyclovir didapati mengurangkan risiko penyebaran HSV-2 sebanyak 48 peratus.

Kajian tersebut, yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine (Januari 2004), juga menunjukkan bahawa kadar penularan herpes genital simptomatik telah berkurangan sebanyak 75 peratus.

Malah, kajian yang terbukti secara klinikal di kalangan pesakit yang mengalami enam atau lebih kejadian herpes genital silih berganti dalam tempoh setahun itu, berjaya mengurangkan sehingga separuh daripadanya dengan pengambilan ubat antivirus, selama enam bulan.

Selepas setahun penggunaannya, ia dapat dikurangkan lagi menjadi satu per tiga sahaja. Keputusannya bagaimanapun berbeza-beza di antara setiap individu.

Pakar Perubatan Genitourinari dan Jangkitan Kelamin, Dr. Hemendra Kumar Doshi berkata, tiada data lengkap tentang insidens herpes genital di Malaysia.

``Namun para pengamal perubatan di negara ini menyedari akan hakikat kadar peningkatan yang berlaku,'' katanya.

Menurutnya, selama berdekad-dekad, profesional penjagaan kesihatan, termasuk dirinya sendiri telah menyelidiki cara dan kaedah untuk mengurangkan penularan herpes genital.

Mereka berjaya merawat pesakit untuk mencegah berulangnya kemunculan gejala tetapi tidak menemui cara yang paling optimum untuk mengurangkan penularan penyakit di kalangan pesakit.

Bagaimanapun kini, profesional penjagaan kesihatan dapat memberitahu pesakit dengan yakin bahawa valacyclovir yang diambil sekali sehari ini mampu mengurangkan risiko jangkitan sebanyak separuh.

``Ini ternyata satu kemajuan besar bagi kami dalam pengurusan herpes genital.

``Sehingga kini, nasihat kami kepada pesakit adalah menggunakan kondom dan mengelakkan diri daripada hubungan seks semasa gejala penyakit muncul, bagi mengelakkan daripada menjangkiti pasangan mereka, tetapi ini tidak berkesan sepenuhnya,'' katanya.

Penemuan ubat antivirus ini, kata Dr. Hemendra, menyediakan pilihan rawatan berguna kepada profesional penjagaan kesihatan untuk mengurangkan penyebaran herpes genital di kalangan pesakit kita.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan AIDS Persatuan Perubatan Malaysia itu percaya, ini akan mengurangkan penularan jangkitan herpes genital di Malaysia.

``Herpes genital mungkin menyebabkan keresahan psikologi yang mendalam di kalangan orang yang tahu bahawa mereka dijangkiti dan boleh menjejaskan hubungan antara pasangan secara negatif.

``Berasaskan penemuan baru ini, kita kini dapat menyediakan rangkaian terapi yang lebih menyeluruh, di samping kaunseling tentang amalan seks yang lebih selamat,'' tambahnya.

Sebelum diluluskan sebagai kaedah untuk mengurangkan penyebaran herpes genital, ubat ini diperkenalkan pada Disember 1999 untuk mengekang herpes genital dan mencegah gejalanya daripada berulang.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular