Penderaan Seks

Isu rogol memang terlalu luas ruang lingkupnya untuk dibincangkan. Sungguhpun begitu, definisi serta klasifikasi yang telah dibuat oleh penggubal undang-undang mengenai rogol sudah pun lengkap setelah mengambil kira dan mempertimbangkan lunas-lunas kehidupan yang ternyata tidak bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama masing-masing.

Definisi rogol telah dihuraikan dengan lengkap dalam Seksyen 375 Kanun Keseksaan sementara hukumannya pula diperincikan bawah Seksyen 376 kanun yang sama.

Seksyen 375 Kanun Keseksaan menyebut bahawa seseorang lelaki dikatakan melakukan rogol jika ia bersetubuh dengan seseorang perempuan bertentangan dengan kemahuan dan tanpa kerelaan perempuan itu.

Ataupun, kerelaan diperoleh dengan cara mendatangkan ketakutan mati mahupun cedera. Ataupun kerelaan diberikan oleh mangsa setelah dia diberikan tanggapan fakta yang salah dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa mangsa memberikan kerelaannya akibat daripada salah tanggapan tersebut.

Di samping perincian yang diberikan itu, telah disertakan juga satu kekecualian yang amat penting dan ternyata tidak memesongkan akidah serta pegangan agama iaitu:

Persetubuhan oleh seseorang lelaki dengan isterinya melalui perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis pada masa itu masih lagi berkuat kuasa, atau diiktiraf dalam Persekutuan yang sah, bukanlah rogol.

Tidak cukup dengan definisi tersebut, penggubal undang-undang turut menyertakan dua huraian terperinci untuk menjelaskan lagi apakah yang dimaksudkan dengan isteri.

Pertamanya, dinyatakan bahawa seorang perempuan yang tinggal berasingan daripada suaminya di bawah dekri pemisahan kehakiman atau suatu dekri tidak dibuat mutlak; atau yang memperoleh injunksi menyekat suaminya dari melakukan persetubuhan dengannya hendaklah disifatkan sebagai bukan isteri kepada suaminya bagi maksud seksyen tersebut.

Keduanya, seorang perempuan Islam yang tinggal berasingan daripada suaminya dalam tempoh idah, yang jika dihitung mengikut hukum syarak, hendaklah juga disifatkan sebagai bukan isteri kepada suaminya.

Huraian panjang lebar dengan menggunakan bahasa yang mudah itu diharapkan dapat membantu pemahaman setiap individu sekalipun bukan pengamal undang-undang.

Meskipun begitu, nampaknya mesej yang hendak disampaikan seolah-olah tidak kesampaian apabila masih ada yang `kabur' dengan penjelasan tersebut.

Ini terserlah apabila ada `angan-angan' disuarakan untuk menjadikan perbuatan suami melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri sendiri sebagai kesalahan `rogol' di bawah Kanun Keseksaan.

Mereka mendakwa ia sebagai satu kesalahan dan penderaan seks serta keganasan di dalam sesebuah perkahwinan apabila hubungan itu dilakukan di luar kerelaan isteri dan ia melanggar hak asasi manusia.

Sedangkan adalah wajib bagi isteri memberikan layanan seks selagi suaminya itu tidak menghidap penyakit-penyakit berjangkit yang boleh memudaratkan kesihatan jika dia terus melayani suaminya.

Jika pun ada pihak yang mengusulkan supaya Kanun Keseksaan dipinda bagi memasukkan satu proviso (syarat) baru untuk menghukum mana-mana suami yang melakukan hubungan seks tanpa kerelaan isteri maka undang-undang tersebut telah membelakangi norma-norma institusi perkahwinan itu sendiri.

Kebimbangan itu diluahkan oleh seorang peguam, Salim Bashir.

Sebagai contoh, peguam itu pernah mewakili anak guamnya seorang kontraktor yang didakwa di sebuah mahkamah di Selangor atas tuduhan melakukan keganasan (meliwat) seorang wanita yang ketika itu masih isterinya yang sah di sisi undang-undang dan agama.

Dalam Islam, perbuatan meliwat atau melakukan persetubuhan luar tabii adalah satu dosa.

Meskipun liwat dan rogol mempunyai pengertian yang berbeza namun ia sebenarnya tergolong dalam kelompok yang sama iaitu kesalahan jenayah seksual.

Kes itu ialah yang pertama di Selangor dan akan dibicarakan pada penghujung tahun ini.

Menurut Salim jika huraian dan kekecualian yang termaktub di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan itu diteliti, kata Salim, terjawablah persoalan sama ada `rogol' dalam rumah tangga (pasangan suami isteri) menepati kriteria untuk layak menjadi suatu kesalahan atau sebaliknya.

Saranan pihak terbabit kata Salim, bukan sahaja dikutuk oleh mufti dan cendekiawan Islam malah dilihat menentang hukum Tuhan.

Pandangan itu juga dilihat adalah serpihan pengaruh ideologi dari Barat yang kini memberikan hak secara berlebihan kepada golongan wanita.

Sedangkan dalam Islam, hanya menegah persetubuhan suami isteri apabila isteri sedang dalam haid.

Tetapi jika saranan tersebut diterima dan sekiranya isteri menolak daripada disentuh oleh suaminya maka dari segi persepsi Islam, wanita tersebut nusyuz (derhaka) kepada suami.

Walhal Islam mengajar umatnya (wanita) taat dan patuh kepada suaminya apatah lagi tujuan utama perkahwinan untuk menghalalkan hubungan seksual.

Salim berpendapat, pindaan yang disyorkan itu akan menggalakkan suami mencari kepuasan nafsu di luar termasuk mengunjungi tempat-tempat maksiat.

Ia juga setidak-tidaknya akan menggalakkan dan menjadikan gadis bawah umur sebagai sasaran mereka dan lebih malang lagi apabila mereka bertindak `meratah' darah daging sendiri demi memuaskan nafsu.

Menyentuh persoalan dikasari atau didera secara seksual, masyarakat tidak perlu gusar kerana di dalam Kanun Keseksaan ada peruntukan untuk mendakwa si pelaku dengan mengheretnya ke mahkamah.

Misalnya, jika isteri disakiti, didera (dibelasah) oleh suami ketika dia menagih layanan seksual daripada isteri maka mangsa perlu terlebih dahulu membuat aduan polis.

Siasatan akan dijalankan bagi membolehkan suami didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan isterinya.

Ataupun jika ia melibatkan penggunaan senjata mahupun lain-lain benda yang berbahaya, pendakwa raya akan mendakwa suami mengikut Seksyen 324 kanun yang sama.

Sebaliknya jika kecederaan yang dialami parah bolehlah didakwa mengikut Seksyen 325 kanun yang serupa.

Hukuman yang diperuntukkan di bawah seksyen-seksyen tersebut lebih ringan berbanding dengan Seksyen 376 kanun yang sama kerana kesalahan merogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Jika tujuan membawa perkara itu ke muka pengadilan untuk mengajar suami dan bukan menghukumnya sepuas kehendak hati maka hukuman yang rendah sudah memadai.

Sungguhpun undang-undang membenarkan sesiapa sahaja yang terbukti melakukan kesalahan didakwa atas kesalahannya itu namun pokok ceritanya, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah melalui rundingan secara aman ataupun perbincangan hati ke hati.

Memang tidak dapat dinafikan, mahkamah adalah tempat bagi insan yang merasakan dirinya teraniaya menuntut keadilan tetapi sanggupkah kita mendedahkan cerita dalam kain (aib masing-masing) kepada pihak lain.

Pandanglah jauh-jauh sekiranya kes telah dibawa ke mahkamah maka sudah semestinya perkahwinan yang dibina atas rasa sayang dan cinta, tidak mungkin dapat diselamatkan lagi.

Sedangkan, jalan mudah telah sedia ada iaitu mengemukakan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah atas sebab yang munasabah.

Dengan persetujuan bersama yang dicapai sebab-sebab penceraian tidak perlu didedahkan secara terperinci kepada mahkamah. Secara tidak langsung maruah kedua-dua pihak tidak akan tercemar. Tiada gunanya saling memalukan sesama sendiri demi untuk memuaskan ego masing-masing.

Ini kerana, orang yang dimalukan itu setidak-tidaknya pernah pada suatu ketika dahulu saling membahagiakan hidup masing-masing.

Oleh Norazlita Mohd. Sies


Seks Hebat. Keterangan lanjut, sila klik sini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular