Gelora cintai isteri sahabat sendiri

Gelora cintai isteri kawan
Seorang lelaki bertindak kejam menyerang seorang ibu muda beranak lima dengan cota hingga parah di sebuah taman perumahan.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun itu adalah rakan sekerja suami mangsa yang tinggal di taman sama dan menaruh hati terhadap wanita itu sejak tujuh tahun lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa, P Anjalai, 27, sedang tidur bersama anak bongsunya berusia tiga tahun di dalam bilik selepas suaminya, P Thenagaran, 31, keluar bekerja.

Manakala empat lagi anaknya iaitu T Yogeswaran, 9, T Phavitra, 8, T Thiviya, 5, dan T Sutharshini, 4, tidur di ruang tamu rumah berkenaan sebelum seorang lelaki meluru masuk ke dalam bilik tidur mangsa.

Anjalai dikatakan cuba mempertahankan diri ketika lelaki itu cuba menanggalkan baju dan seluarnya sebelum berlaku pergelutan hingga menyebabkan mangsa pengsan akibat dipukul dengan senjata tumpul.

Mangsa yang menerima 38 jahitan di kepala, patah jari telunjuk sebelah kiri dan lebam di tangan turut sempat menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya sebelum rebah.

Menceritakan kejadian itu, Anjalai berkata, selepas suaminya keluar bekerja, dia sempat mengunci semula pintu rumah.

"Dalam keadaan gelap, saya perasan kelibat seorang lelaki masuk ke dalam bilik yang cuba menanggalkan seluar dan baju tidur saya, namun saya tersedar sebelum menepis tangan lelaki itu.

"Lelaki terbabit berang dan memukul kepala saya bertubi-tubi dengan sebatang kayu.

"Lelaki itu semakin mengganas apabila menghempas seorang anak saya atas katil sebelum anak sulung saya terjaga dan cuba menghalang lelaki itu.

"Dalam kesakitan, saya menggagahkan diri bangun membuka suis lampu bilik dan terkejut apabila melihat lelaki itu adalah rakan suami sendiri," katanya, kelmarin.

Menurutnya, lelaki itu memohon maaf dan memberitahu niatnya hanya mahu meluahkan rasa cinta.

"Saya menghubungi suami dan tidak menyedari apa yang berlaku pada diri ini," katanya.

Thenagaran pula berkata, sejurus tiba di rumah, dia mendapati isteri sudah pengsan dan terus membawanya ke Hospital Alor Gajah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abdul Rahman Jid berkata, suspek ditahan di rumahnya tidak jauh dari kediaman mangsa jam 6.30 pagi pada hari kejadian.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebatang kayu dipercayai daripada cota patah yang ditinggalkan di rumah mangsa dan suspek adalah individu dikenali mangsa dan suaminya.

"Suspek direman empat hari sehingga 12 Ogos ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

 

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular