Pada mulanya mereka tidak kisah diberi RM10 atau RM20 jika diusung jantan, sama ada sekadar berjalan-jalan atau sampai ke bilik tidur.
Bagaimanapun, apabila keinginan untuk berhibur dan ketagihan dadah pil ecstacy serta ‘ice’ (syabu) semakin tidak terkawal, mereka berjinak-jinak menjadi ‘kaki kikis’ dan pencuri.
Berbekalkan pakaian seksi dan suara manja, asalkan ada jantan yang boleh ‘ditakluki’, mereka sanggup dijadikan teman sebelum melarikan wang atau apa saja barangan berharga.
Penipuan dan taktik licik dua rakan karib berusia awal 20-an dikenali sebagai Mimi dan Gina itu didedahkan kepada Metro Ahad oleh seorang lelaki berusia 30 tahun yang menjadi mangsa mereka.
Disebabkan marah dan kecewa, lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Bakhtiar turut menampal dan mengedar risalah berkaitan Mimi dan Gina di beberapa lokasi sekitar bandar raya, selain membuat laporan polis.
Bakhtiar mengakui dia sebelum ini ‘membela’ Mimi dan Gina lebih dua tahun selepas termakan pujuk rayu dua bohsia itu yang kononnya mahu berubah jika ada ‘abang’ yang menjaga.
“Mereka mendapat jolokan ‘bohsia advanced’. Sebut apa saja yang mereka tidak pernah buat. Kaki disko, minum arak, makan pil erimin 5, hisap ‘ice’ dan kesudahannya apabila nafsu untuk berhibur membuak-buak, sanggup mengikis harta orang dan mencuri.
“Daripada bohsia yang biasa diusung ke sana ke mari sehingga ke bilik tidur, mereka menjadi lebih ‘advanced’ demi mendapatkan wang untuk berhibur. Mereka tidak bekerja dan keluarga pula susah, sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja cara untuk mendapatkan wang,” katanya.
Menurut Bakhtiar, sepanjang mengenali Mimi dan Gina, dua remaja itu memang sangat liar.
“Baru berusia 17 tahun tetapi disko umpama rumah kedua. Minum arak pula umpama minum air sirap dan hisap rokok pula macam naga, mengalahkan orang lelaki.
“Ketika itu apa yang mereka tahu hanya mahu ‘enjoy’. Sesiapa yang boleh belanja mereka pergi disko dan minum arak, mereka akan ikut. Balik dapat RM10 hingga RM20 pun tidak mengapa,” katanya.
Bakhtiar berkata, sepanjang hanyut dalam dunia kehidupan yang tidak menentu itu, dua remaja terbabit juga merelakan diri dinodai lelaki seusia atau jauh lebih tua dan ada masanya terpaksa menagih simpati lelaki untuk mendapatkan barangan keperluan, makan dan minum.
Katanya lama kelamaan dua remaja itu semakin ‘menjadi-jadi’ apabila menggandakan aktiviti berhibur.
“Rahsia mereka terbongkar apabila saya mendapat tahu mereka menelan pil dan menghisap dadah. Jika ke disko, mereka memakan pil erimin 5 dan ecstacy dan pada masa lain mereka hisap ‘ice’.
“Saya tanya mereka dan mereka mengaku berbuat begitu. Patutlah asyik minta wang saja,” katanya.
Menurut Bakhtiar, selepas mengetahui perbuatan mereka, dia tidak lagi memberi wang walaupun diminta berbuat demikian oleh dua remaja itu.
“Pada masa sama, saya tahu mereka ada ramai teman. Sebab itu apabila saya tidak beri wang, mereka tidak kisah.
“Kesudahannya, saya menjadi mangsa penipuan mereka kerana satu hari wang saya berjumlah RM3,500 dan dua telefon bimbit yang disimpan dalam beg hilang. Ketika itu saya tertinggal beg itu di rumah mereka dan memang sah mereka yang mencuri sebab sehingga hari ini mereka terus menghilangkan diri,” katanya.
Bakhtiar berkata, Mimi dan Gina semakin terdesak kerana mereka perlukan wang untuk berhibur dan membeli dadah.
“Mereka akan terus mencari mangsa baru demi memenuhi tuntutan untuk berhibur dan hisap dadah.
“Dengan berperwatakan seksi dan manja, saya yakin entah berapa ramai lagi jantan menjadi mangsa mereka,” katanya.
Menurut Bakhtiar, wanita jenis bohsia seperti Mira dan Gina pandai memujuk rayu sehingga mampu mendapatkan apa yang dimahukan.
“Hidup saya jadi huru hara kerana mereka. Mereka bukan saja pandai memujuk rayu, tetapi pada masa sama pandai berpura-pura.
“Saya beri wang dan pada masa sama pernah membantu mereka mendapatkan pekerjaan, tetapi akhirnya mereka buat ‘dajal’ apabila mengikis dan mencuri wang saya,” katanya.
Mengenai usahanya menampal poster dan mengedar risalah mengenai Mimi dan Gina, Bakhtiar berkata, dia tidak akan berhenti berbuat demikian selagi mereka tidak dihadapkan ke muka pengadilan atau insaf dengan perbuatan yang dilakukan.
Katanya, setakat ini dia mengedar risalah berkenaan di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.
Risalah berkenaan mengandungi wajah Mimi dan Gina, salinan kad pengenalan mereka, meminta supaya orang ramai menghubunginya atau balai polis berhampiran dan tawaran wang sagu hati.
Menurut Bakhtiar, sejak menyebarkan risalah berkenaan, dia menerima banyak panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa pernah menjadi mangsa dua remaja itu.
“Modus operandi digunakan lebih kurang sama seperti dilakukan kepada saya. Dengan berperwatakan seksi, manja dan menggoda, mereka rela dijadikan teman dan lama kelamaan wang dan barang kita dicuri.
“Begitulah yang didakwa beberapa lelaki yang menghubungi saya. Mereka hilang wang dan beberapa barangan berharga seperti telefon bimbit,” katanya yang mengakui menyesal berurusan dengan bohsia.
Bakhtiar berkata, dia mengetepikan perasaan malu dan persepsi negatif masyarakat ketika mengedar risalah berkenaan kerana tidak mahu ada yang tertipu lagi.
“Saya juga mahu mereka mendapat balasan setimpal atas perbuatan dilakukan dan paling penting, saya mahu melihat mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan kerana mereka masih muda dan ada peluang berubah,” katanya.
Menurut Bakhtiar, dua remaja itu memang sudah melarikan diri kerana mereka tiada di rumah.
“Saya tahu rumah mereka dan keluarga mereka sendiri tidak tahu di mana mereka. Saya bimbang jika mereka mendapatkan perlindungan daripada kumpulan pengedar dadah. Bagaimana masa depan mereka nanti?” katanya.
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan NAZARALI SAERIL
Rahsia Doa Pengasih. Keterangan lanjut, sila klik sini.