Dengan alasan mahu mencari wang saku tambahan, segelintir pelajar sekolah dikesan berjinak-jinak dengan aktiviti penulisan cerpen lucah selepas tertarik dengan tawaran bayaran sehingga RM150 bagi setiap cerita pendek erotik terbaik dihasilkan.
Difahamkan, tawaran wang sagu hati itu diberikan syarikat penerbitan buku lucah berbahasa Melayu yang dikesan menerbit dan mengedarkan sekurang-kurangnya 10 judul novel lucah bersiri di pasaran.
Penerbit novel lucah berkenaan menetapkan syarat penulis yang berminat mendapatkan wang sagu hati itu perlu mengarang ‘kisah benar’ hubungan seks mereka tidak kurang 3,000 patah perkataan sebelum dihantar menerusi e-mel ke alamat ditetapkan.
Difahamkan, tawaran wang tunai itu disebarkan di halaman belakang beberapa novel lucah yang dijual berleluasa di beberapa kedai buku dengan harga sekitar RM8 hingga RM10 senaskhah.
Kewujudan pelbagai buku novel lucah berkenaan didedahkan seorang bapa yang terkejut apabila mendapati bahan bacaan yang menawarkan ‘peraduan’ itu ditemui tersorok di bawah tilam anak remajanya yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 48, dan bekerja sebagai anggota pasukan keselamatan mendakwa menemui novel lucah bertajuk
Kama Asmara 18 SX di bilik tidur anaknya.
Menurutnya, novel berkenaan ditemui ketika dia sedang menyelongkar bahagian bawah katil anak remajanya berusia 16 tahun untuk menarik soket fius elektrik kipas, petang Sabtu lalu.
“Saya yang menyeluk tangan ke bawah katil menarik beberapa majalah hiburan termasuk novel lucah berkenaan yang saya percaya disembunyikan anak saya di bawah katil.
“Sebaik novel dengan gambar gadis berahi itu dibelek, saya terkejut apabila mendapati ia sarat dengan 11 cerita pendek kisah lucah yang digabungkan dan dijilidkan menjadi novel,” katanya.
Menurutnya, dia yang membelek sekali lalu novel berkenaan terkejut apabila mendapati semua cerpen di dalamnya mengandungi cerita panas yang tidak sesuai untuk dibaca golongan remaja.
“Saya yakin remaja yang menatap novel lucah ini akan mudah naik syahwat dan mampu merosakkan minda ke arah perbuatan tidak senonoh.
“Berdasar pengamatan, novel lucah setebal 128 muka surat itu masih baru berada di pasaran dan diedarkan syarikat penerbitan ‘hantu’ berikutan tiada alamat penulis atau pihak penerbit pada kulit novel,” katanya.
Menurutnya, novel yang dijual pada harga RM8.50 itu turut menyelitkan pelbagai gambar wanita separuh bogel untuk menarik perhatian pembaca.
“Saya dapati kebanyakan tajuk cerita dalam novel berkenaan seperti Hadiah Malam Pertama, Bersama Pelakon Filem Blue, Mengajar Isteri Sepupuku, Eksperimen Seks Di Makmal Kimia, Hadiah Seks Di Harijadi, Belayar Bahtera Bersama Kak Ita dan beberapa tajuk lain, tidak sesuai dibaca remaja.
“Saya yang menunggu anak pulang daripada aktiviti kokurikulum di sekolah kemudian menyoalnya sebelum dia mengaku meminjam novel berkenaan daripada rakan untuk tempoh seminggu,” katanya.
Halim berang apabila anaknya mendakwa novel lucah terbabit dibaca sebagai bacaan sampingan selain menawarkan pendapatan sampingan.
“Malah, saya turut terkejut apabila membelek halaman terakhir novel dan menemui nota tawaran ganjaran wang tunai RM150 diberikan kepada sesiapa yang menyumbang cerita lucah kepada penerbit hantu berkenaan.
“Saya yang masih tidak puas hati kemudian bersemuka dengan rakan anak saya itu sebelum diberitahu buku lucah berkenaan dibelinya di sebuah kedai buku di Seri Kembangan,” katanya yang memberi amaran keras kepada anaknya.
Susulan maklumat berkenaan, wartawan Harian Metro melakukan tinjauan ke pusat beli-belah dimaksudkan sebelum mendapati kedai buku dan majalah di situ menjual deretan novel lucah secara terbuka di rak jualan.
Tinjauan mendapati novel lucah berkenaan diatur bersama deretan komik menyebabkan ia mudah untuk menarik perhatian kanak-kanak dan remaja yang singgah di kedai buku berkenaan.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dimaklumkan berhubung penjualan buku lucah berkenaan mengambil tindakan pantas apabila menyerbu premis yang menjual bahan bacaan berkenaan pada jam 11.30 pagi semalam.
Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan, Unit Penguat Kuasa, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN Putrajaya, Mohamad Hashim Kamaruddin, berkata sepasukan anggota penguat kuasa dari Ibu Pejabat, Unit Penguat kuasa, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Putrajaya menjalankan pemeriksaan di kedai buku berkenaan di pusat beli-belah South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor.
Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Norida Amin Nordin dibantu tiga anggota membuat pemeriksaan di sebuah premis menjual akhbar sebelum mendapati premis itu ada menjual pelbagai judul novel lucah.
“Antara novel lucah yang dirampas bertajuk Sensasi, Gelora Nafsu dan Kama Asmara. Novel berkenaan dirampas mengikut peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
“Jika siasatan mendapati buku itu sudah dikenakan Perintah Larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), tindakan mahkamah boleh diambil berdasarkan Seksyen 8(2) akta sama iaitu menjual hasil penerbitan yang dikenakan perintah larangan dan jika sabit kesalahan peniaga itu boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya,’ katanya.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin