Isteri makan hati, suami digoda adik sendiri

Kehidupan ada pelbagai dan ia tidak pernah berlaku seperti yang kita harapkan kerana semuanya diatur oleh Allah SWT.

Begitu juga mencari bahagia dalam rumah tangga, tidak semudah dan seindah yang dibayangkan.

Ada masa musibah datang tanpa diduga. Tidak kira waktu, tidak kira hari termasuk didalangi orang yang kita sayangi.

Demikian mukadimah kisah yang ingin saya catatkan minggu ini, luahan hati seorang isteri yang dikhianati kasih dan sayangnya oleh suami dan adik sendiri.

Biarlah saya namakan pemanggil ini sebagai Rozie (bukan nama sebenar) seperti mana yang dia minta. Ikuti kisah yang berlaku terhadap Rozie buat renungan bersama

"Biar saya perkenalkan diri, nama saya Rozie, berusia 26 tahun. Pernikahan saya dengan suami direstui keluarga kedua-dua pihak.

Oleh kerana saya baru berkahwin dan suami berkerja tidak tentu masa, saya ikhlas mengajak adik perempuan saya tinggal bersama, lagipun senang dia berulang-alik dari tempat dia bekerja.

"Kehidupan kami berjalan lancar tanpa sebarang keraguan terhadap suami. Setelah 9 bulan menjadi suami isteri, saya mengandung dan alhamdulillah kami dikurniakan seorang bayi perempuan.

"Dalam usia bayi tujuh bulan, rumah tangga kami mula diuji. Suami kerap berjaga hingga ke pagi jika tidak kerja malam. Dia juga tiba-tiba menjadi dingin dengan saya.

"Biar hati saya berdetik mengatakan suami mula curang, tapi saya ketepikan perasaan itu kerana tidak mahu sangka yang bukan-bukan terhadapnya. Namun Tuhan itu sentiasa mendengar rayuan hamba-Nya yang dalam kepayahan. Naluri seorang isteri juga kuat menghidu kecurangan suami.

"Satu pagi kira-kira pukul 4.00, anak saya tiba-tiba terjaga dan menangis, saya bangun dan terus ke dapur untuk membancuh susu. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat suami dan adik saya berduaan di ruang jemuran kain dalam suasana gelap.

"Melihat saya muncul di situ, mereka terperanjat, adik saya terus masuk biliknya dan suami pula masuk bilik buat-buat tengok anak yang sedang menangis. Masing-masing buat tidak tahu macam tidak ada apa-apa yang berlaku.

"Sedihnya hati saya melihat aksi mereka tidak dapat hendak saya ceritakan... Saya menangis sepuas-puas hati tetapi suami langsung tidak ambil kisah dan tidak pula datang memujuk.

"Esoknya, sebelum pergi kerja, adik dengan selamba meminta saya supaya tidak memikirkan sangat apa yang telah terjadi. Katanya mereka tidak ada hubungan apa-apa hanya berborak kosong.

"Adik juga meminta saya jangan bergaduh dengan suami sementara suami pula meminta maaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Satu hari ketika suami sedang mandi, tergerak hati saya untuk membaca mesej di telefon bimbitnya yang mana sebelum ini tidak pernah saya lakukan.

"Sekali lagi saya terkejut, apabila membaca mesej yang dihantar suami kepada adik. Saya terus bertanya pada suami, dia hanya berdiam diri, apabila saya mula menangis dan mendesak, dia mengaku berbuat demikian kerana hanya suka-suka sebab bosan. Rupa-rupanya selama ini mereka juga buat hubungan melalui telefon dan menghantar mesej.

"Selang beberapa hari sebelum saya ke tempat kerja, saya memeriksa sekali lagi telefon dia, bukannya saya tidak percaya cuma saya inginkan kepastian yang ia tidak berlaku lagi.

"Setelah diperiksa, ternyata tiada mesej yang dihantar atau diterima dari nombor telefon bimbit adik saya, mungkin suami telah memadamnya. Nak dijadikan cerita, saya tergerak hati memeriksa pesanan suara telefon di rumah kami, sebaik diangkat, berderau darah saya apabila terdengar suami sedang bermesra dengan adik saya yang berada di dalam bilik.

"Sepanjang malam saya tidak dapat lena. Saya hanya mampu menangis. Di tempat kerja, saya terus mengirim mesej bertanya suami minta penjelasan.

"Jawapannya sama, suka-suka sahaja. Saya tidak dapat mengawal perasaan lagi, lalu saya minta cerai tetapi dia tidak mahu melepaskan saya. Malah dia merayu dan mohon saya memaafkan dia.

"Terkenang kan masa depan anak dan demi nama baik keluarga saya terpaksa reda dan sekali lagi saya memaafkannya.

"Yang hairannya mereka berdua tidak pula rasa bersalah. Saya masih percaya bila mereka kata hubungan mereka setakat adik dan abang. Tapi keadaan menjadi sebaliknya.

"Malah saya mula perasan apabila adik terlambat pergi kerja, suami yang tolong hantarkan dan setiap kali kami pergi ke pasar raya untuk membeli barang dapur, suami akan menghubungi adik memberitahu dia berada di pasar raya dan bertanya adik ingin mengirim apa-apa, pasti ada benda yang adik suruh suami saya beli.

"Lama kelamaan saya terfikir juga, sampai bila harus saya biarkan keadaan ini?

"Kini setahun telah berlaku. Baru-baru ini suami bertanya, adakah hubungan kami ini akan kekal hingga ke akhir hayat?

"Saya terkejut dengan soalan tersebut dan bertanya kenapa? Kata suami dia diugut oleh adik saya yang berkata dia tidak akan membiarkan suami saya hidup bahagia, malah dia akan musnahkan hidup suami saya.

"Saya minta suami berterus terang apa yang dia telah lakukan kepada adik saya. Suami menangis dan meminta maaf dan mengaku berkelakuan sumbang dengan adik saya tetapi tidak sampai terlanjur.

''Suami saya juga mengaku dia yang bodoh dan terperangkap dalam godaan adik saya. Katanya saya tidak salah dan sempurna sebagai isteri dan ibu.

"Pengakuannya melenyapkan kasih sayang saya kepadanya. Sekali lagi saya minta dibebaskan, tapi dia enggan. Suami menangis merayu-merayu sambil sujud di kaki saya minta maaf. Saya sudah muak dengar janji-janji dia. Saya tak sanggup hidup bersamanya lagi, tapi bila melihat wajah anak yang masih kecil, saya jadi lemah, saya terkenang nasib anak membesar tanpa seorang bapa walaupun saya tahu suami saya tidak layak jadi seorang bapa.

"Dalam terpaksa saya menerima dia kembali tetapi bukan memaafkan dia. Saya tidak akan maafkan dia sampai bila-bila, hati saya sakit sangat, saya terima dia bukan sebagai seorang suami yang saya cintai dan sayangi seperti dahulu, tetapi kerana anak.

"Begitu juga saya tidak sanggup berdepan lagi dengan adik saya apatah lagi memandang wajahnya. Tergamak dia buat saya macam ini. Tempat tinggal saya sediakan, makan minum saya berikan, tiada apa yang kurang, tapi sanggup dia musnahkan kepercayaan saya kepadanya.

"Saya nekad menghantar mesej kepada adik meminta dia keluar dari rumah saya. Kini dua bulan sudah berlalu, saya masih teruskan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Saya terus melayan suami sebagai seorang isteri tetapi hati dan perasaan saya kosong. Tiada rasa sayang dan cinta kepadanya lagi, saya reda dengan jalan hidup yang saya pilih ini.

"Demi masa depan anak dan maruah keluarga saya terpaksa berkorban untuk meneruskan perhubungan ini walaupun saya tahu semua ini tidak akan berakhir disini. Saya pasrah. Biarlah segala-galanya Tuhan yang tentukan.'' begitu akhirnya cerita Rozie.

Terasa sayu di hati mengenangkan masalah yang Rozie hadapi. Memang berat bebanan perasaannya tapi seperkara yang perlu Rozie lakukan, kuatkan semangat, tabahkan hati.

Tindakan Rozie meminta adiknya keluar dari rumah adalah satu tindakan yang tepat bagi mengelak kejadian itu berterusan.

Tapi Rozie perlu ingat, perkara yang sama juga boleh mereka lakukan di luar rumah. Sehubungan itu cadangan saya adalah baik jika Rozie berterus terang dengan keluarga tentang apa yang telah terjadi.

Jika disimpan Rozie yang akan tertekan. Lambat laun saya pasti rahsia ini akan terbongkar juga.

Soal sama ada keluarga boleh menerimanya atau tidak, perkara kedua, yang penting menghalangnya daripada berlaku lagi. Begitu juga soal malu, ketepikan itu semua.

Yang penting sekarang pertahankan rumah tangga. Berilah peluang kepada suami menebus kesilapannya, dia juga telah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Soal ugutan adik Rozie, boleh di atasi dengan baik jika diselesaikan secara bijaksana. Pada masa sama jangan putus menilai diri, cari kelemahan dan kelebihan, kemudian aturlah kehidupan baru dalam suasana harmoni dan berkasih sayang dengan niat menyelamatkan sebuah istana yang telah anda bina bersama suami.

Bagaimanapun saya pasti Rozie tahu apa yang terbaik buatnya. Saya doakan kesejahteraan hidup Rozie didunia dan akhirat.

Mengundur diri, saya catatkan kata-kata yang dikirim seorang teman sempena Maaf Hijrah baru-baru ini buat tatapan kita bersama.

Aku meminta kepada Tuhan setangkai bunga, segar, Ia beri kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu diberinya-Nya ulat berbulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian, kaktus itu berbunga indah sekali dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang sangat cantik. Itulah jalan Tuhan, indah pada masaNYA! Tuhan tidak memberi apa yang kita harapkan. Tapi Dia memberi apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh di atas segalanya Dia sedang mengatur yang terbaik dalam kehidupan kita.

Salam

~ Utusan


Rahsia Doa Pengasih. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Kecurangan Pasangan. Keterangan lanjut, sila klik sini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular