Sejak penemuan pil biru yang dianggap ajaib kira-kira lapan tahun lalu, telah banyak yang diperkatakan tentang masalah kesihatan lelaki, disfungsi ereksi (ED).
Sebenarnya, banyak lelaki yang kini mengalami masalah lebih serius - malu berjumpa doktor (kerana mungkin menganggap diri mereka tidak macho jika berbuat demikian) - menderitai ejakulasi pramatang berbanding ED.
Ejakulasi pramatang lebih popular diungkapkan sebagai PE (premature ejaculation) sahaja.
Tidak seperti ED yang lebih banyak ditemui di kalangan veteran, PE merupakan aduan disfungsi seksual paling utama terutamanya di kalangan lelaki muda berusia 40 tahun ke bawah.
Malah, lebih ramai lelaki berpelajaran tinggi yang menghidapinya. Lebih menyedihkan, ia turut menjejaskan potensi pasangan untuk mendapatkan zuriat.
Mari kita lihat dan dengar apa masalah sebenarnya dengan gangguan kesihatan lelaki yang satu ini.
``Suami saya mempunyai banyak persamaan dengan superman... kedua-duanya begitu cepat.
``Malah, ia selalunya berlaku sebelum pun sempat saya memasuki bilik tidur.
``Kadangkala, dengan hanya mencakar belakang saya, dia sudah mencapai klimaksnya.
``Ada ketikanya saya merasakan seperti bank sperma sahaja, dia buat deposit dan pergi begitu sahaja.
``Pernah tengok arnab berlari? Mula dan tamat! Macam tulah.
``Saya pernah menyuarakan untuk menemaninya berjumpa doktor, ada sesuatu yang boleh dilakukan berkenaan dengannya.
``Tetapi dia enggan dan hanya tahu meminta maaf serta mengulangi janjinya untuk berusaha lebih di lain masa,'' begitulah lebih kurang kehampaan seorang isteri yang mana suaminya bermasalah PE.
Melambatkan Pancutan. Keterangan lanjut, sila klik sini.
Menurut Pakar Runding Psikiatri Klinikal, Jabatan Perubatan Psikologikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Jesjeet Singh Gill, PE didefinisikan sebagai satu keadaan di mana lelaki memancutkan air maninya terlalu cepat, sebelum masanya.
``Klimaks selalunya mendahului kehendak lelaki itu sendiri mahupun pasangannya sehingga tidak sempat memberikan kepuasan kepada si isteri.
``Tiada piawaian perubatan atau rangka masa tertentu, satu minit sehingga berapa lama sebelum ejakulasi kerana ia bergantung kepada faktor spesifik bagi setiap individu,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media menguruskan seksualiti lelaki anjuran Persatuan Andrologi dan Kajian Penuaan Lelaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Adalah dianggarkan antara 35 hingga 40 peratus lelaki yang mendapat rawatan masalah seksual ada mengadu tentang PE.
Menurut Dr. Jesjeet, terdapat lelaki yang belum lagi memulakan persetubuhan telah keluar air maninya manakala sebahagiannya lagi sebaik sahaja memulakan hubungan seksual tidak sampai seminit.
Kajian menunjukkan, PE paling kerap berlaku di dalam tempoh dua minit selepas penetrasi manakala selebihnya sama ada lebih cepat atau mampu bertahan lebih lama dari itu.
``Sepanjang hidup lelaki, tidak kurang yang pernah mengalami kesukaran untuk mengawal ejakulasinya sehingga menyebabkannya berlaku terlalu awal.
``Keadaan ini terutamanya benar bagi pengantin baru yang mahu melayari bahtera buat kali pertama dengan pasangannya sama ada kerana terlalu bimbang atau terlalu teruja,'' katanya.
Sebilangan besar daripada mereka kebiasaannya dapat menyesuaikan dirinya dalam masa beberapa minggu hingga bulan dengan bantuan psikologi meredakan tekanan.
Bagaimanapun, PE yang berlaku terlalu kerap sehingga mengganggu hubungan suami isteri menandakan satu masalah perubatan.
Doktor lazimnya mengklasifikasi PE kepada primer dan sekunder.
Primer - terjadi apabila lelaki mengalami masalah ini sejak mula melakukan hubungan seks.
Sekunder - mengalami PE setelah menikmati hubungan kelamin yang tidak pernah bermasalah sebelum ini.
Dalam kes tertentu, PE ada kaitannya dengan ED di mana semangat untuk mengekalkan ereksi sebaliknya mungkin berubah corak kepada ejakulasi yang tergesa-gesa.
Dr. Jesjeet berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada PE, lazimnya disebabkan oleh punca-punca psikologi.
``Pakar perintis dalam penyelidikan seksual percaya, corak PE adalah tindak balas yang dipelajari.
``Pengalaman seksual kali pertama seseorang lelaki dipercayai memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat ejakulasi pada masa depan,'' katanya.
Lebih-lebih lagi, bagi lelaki yang mahu lekas menamatkan `permainan' dan mencapai orgasma bagi mengelakkan perlakuan tersebut terbongkar atau diketahui orang lain.
Situasi atau tempat yang tidak sesuai (rasa bersalah) seperti di dalam kenderaan, di rumah ibu bapa, mengadakan hubungan intim terlarang dengan bukan pasangan sah atau pelacur, turut menyumbang kepada PE.
Justeru, lelaki berkenaan gagal untuk melambatkan ejakulasinya di kemudian hari.
Dalam pada itu, walaupun tahap hormon tertentu dan sensitiviti (kegelian) berlebihan pada alat sulit lelaki merupakan sebahagian faktor biologi PE.
Ditanya sama ada PE berkaitan dengan penyakit serius lain seperti halnya ED yang ada kaitannya dengan penyakit jantung, PE mungkin menandakan penyakit berkenaan prostat seperti prostatitis.
``Terdapat keadaan tertentu yang boleh mengganggu proses ejakulasi seperti perubahan kelenjar prostat, arteriosklerosis, diabetes dan gangguan neurologi.
``Apa pun, kebanyakan masalah PE adalah berpunca daripada masalah psikologi yang menyebabkan kegagalan mengawal tindak balas ejakulasi,'' ujar Dr. Jesjeet.
Dialog seperti di bawah merupakan satu senario biasa bagi pasangan yang menghadapi masalah PE apatah lagi jika si suami berdegil tidak mahu menjalani pemeriksaan lanjut.
``Abang mementingkan diri sendiri, hanya memikirkan keseronokan seorang sahaja.''
Si suami akan terus meminta maaf dan berasa serba kekurangan kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna tetapi dalam masa yang sama, tidak mahu berjumpa doktor.
Dia mula berasa bimbang dan takut: ``Adakah aku mampu memberikan kepuasan kepada pasangan, adakah aku akan dimalukan?''
Cumbuan dan sentuhan agak terbatas sebelum memulakan perhubungan jenis kerana lelaki bimbang menjadi terlalu terangsang lantas mempercepatkan ejakulasi.
Lama-kelamaan, lelaki akan mengelak daripada melakukan hubungan kerana bimbang gagal dan akhirnya suasana tidak mesra terbawa-bawa di luar bilik tidur juga.
Cubaan untuk melambatkan ejakulasi di samping kebimbangan yang menjadi-jadi juga mungkin akan menimbulkan masalah lain pula kepada suami - langsung tiada ereksi.
Tidak mustahil, pasangan akan menuju keruntuhan rumah tangga serta berdepan masalah hubungan sulit.
Dari segi rawatannya, kata Dr. Jesjeet, pesakit biasanya akan diberikan kaunseling dan terapi tingkah laku pada peringkat awal.
Antara teknik yang biasa diamalkan oleh pesakit PE adalah:
* Meningkatkan daya ketahanan dengan mengekalkan ereksi walaupun telah mencapai ejakulasi
* Mengurangkan rangsangan mental dengan menumpukan minda terhadap perkara-perkara membosankan sambil mengawal pergerakan alat sulit supaya dapat melengah-lengahkan masa daripada mencapai klimaks awal
* Menggunakan bahan penggosok yang dapat mengebaskan zakar menyebabkannya menjadi kurang sensitif, seterusnya melambatkan ejakulasi
* Bersetubuh selepas suami beronani dan melakukan persetubuhan selepas mencapai ereksi kedua, sekali gus memanjangkan masa agar isteri mencapai orgasma
* Teknik picit; isteri membantu suami mengawal ereksi dengan memicit zakarnya ketika mahu mencapai klimaks
* Teknik henti-mula; suami menghentikan pergerakan zakar dalam faraj dan isteri tidak mengemut.
Jika masih gagal, ubat antidepresen bagi mengubati kemurungan iaitu serotonin specific reuptake inhibitors (SSRI) yang dikenal pasti melambatkan ejakulasi dapat membantu.
Bagaimanapun, ubat-ubatan berkenaan yang perlu diambil pada setiap hari bagi meningkatkan tahap keberkesanannya mempunyai kesan sampingan tersendiri.
Dr. Jesjeet menegaskan, paling penting dalam merawat permasalahan ini mahupun lain-lain gangguan seksual adalah komunikasi berkesan antara kedua-dua pasangan kerana ia bukan kehendak sesiapa.
``Walaupun sesetengah orang menganggap seks bukanlah elemen terpenting dalam menjamin sesebuah perkahwinan tetapi hakikatnya, ia tetap penting,'' tambahnya.
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
0 ulasan:
Catat Ulasan