Saya berusia 24 tahun dan baru berkahwin empat bulan lalu. Masalahnya setiap hari saya sakit perut, loya dan muntah-muntah kadang-kadang ia diikuti 'gelap mata'.
Keadaan ini berlarutan selama lebih sebulan dan sering berlaku pada waktu pagi, tengah hari dan malam, yang berlarutan sehingga tiga jam.
Sudah ramai doktor saya temui tetapi masih tidak tahu puncanya dan selalu memberikan ubat penahan muntah serta vitamin. Saya juga cepat letih dan penat walaupun berehat ketika masalah ini berlaku.
Untuk pengetahuan doktor, saya mengalami masalah kitaran haid tidak tetap. Sejak empat hingga lima bulan lalu, saya tidak didatangi haid. Jika pendarahan haid berlaku, saya sering mengalami senggugut.
Baru-baru, ini saya ke klinik pakar sakit puan dan disarankan melakukan ujian darah supaya dapat melihat tahap hormon. Ujian pemeriksaan ovari menggunakan ultrabunyi menunjukkan ovari saya normal.
Adakah keadaan muntah-muntah itu berkaitan hormon saya? Adakah ia mungkin disebabkan hubungan bersama suami memandangkan saya mengalami masalah ini sebulan selepas hubungan seks?
Apakah rawatan yang sesuai untuk mengatasi masalah ini?
ZURA,
Shah Alam, Selangor.
-------------
Jarang sekali masalah sakit perut, loya dan muntah yang anda alami setiap hari disebabkan masalah hormon keperempuanan. Kitaran haid yang tidak teratur dan jarang-jarang pula sebaliknya mungkin mempunyai kaitan dengan gangguan hormon keperempuanan akibat pengeluaran telur (ovulasi) yang tidak dapat berlaku secara teratur setiap bulan.
Begitu juga dengan senggugut yang boleh mempunyai kaitan dengan gangguan hormon apabila ovulasi tidak dapat berlaku.
Pemberian ubat penahan muntah perlulah bersifat sementara saja untuk meredakan keadaan anda, yang sama penting adalah untuk mencari punca lebih-lebih lagi apabila anda juga mengalami pitam.
Untuk mengaitkan keadaan muntah-muntah ini dengan hubungan seks juga kurang sesuai memandangkan ia dialami setiap hari dan bermula sebulan selepasnya, kecuali jika anda sebenarnya hamil.
Kemungkinan anda hamil perlu diselidiki segera. Jika anda positif hamil, pemeriksaan lanjut untuk mengesan lokasi kandungan anda amat perlu bagi memastikan ia bukan kandungan ektopik (luar rahim) yang boleh terletak di dalam tiub falopio atau ovari atau di dalam abdomen dan seumpamanya.
Kehamilan ektopik yang mula mengalami pendarahan dalaman akibat merekah boleh menyebabkan tanda seperti yang anda alami, dalam tempoh lama ia boleh menyebabkan keadaan kehamilan ektopik kronik.
PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat
0 ulasan:
Catat Ulasan