Tindik Maut

Pilih saja sama ada mahu dijangkiti Hepatitis B atau Hepatitis C. Itulah harga perlu dibayar sekiranya remaja berura-ura menindik bahagian tubuh mereka seperti lidah, pusat, kening atau kemaluan.

Meskipun kegilaan menindik bahagian berkenaan dianggap mengikut trend semasa remaja global, amalan negatif itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan, termasuk dijangkiti kedua-dua penyakit terbabit yang boleh membawa maut.

Pegawai Perubatan Am Mediviron TTDI Jaya, Shah Alam, Dr Sharifah Abd Ghaffar, berkata jika alat yang digunakan tidak bersih atau digunakan untuk menindik orang lain, jangkitan penyakit berkenaan lebih mudah tersebar.

“Bahagian mulut contohnya sangat mudah menerima jangkitan kerana sentiasa basah dan terdapat banyak bakteria, apatah lagi jika si pemakai kurang mementingkan penjagaan mulut,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, keadaan boleh bertambah parah sekiranya si pemakai alah kepada logam atau besi yang digunakan sebagai aksesori.

“Sekiranya ini berlaku, maka jangkitan penyakit itu boleh merebak kepada semua kawasan dalam mulut dan mengambil masa agak lama untuk dipulihkan,” katanya.

Selain lidah, kata Dr Sharifah, bahagian pusat juga berisiko untuk terkena jangkitan jika dijadikan sasaran untuk ‘berhias’.

“Bahagian pusat berisiko untuk mendapat jangkitan kerana kulit di situ sangat lembut,” katanya.

Dr Sharifah mengakui pernah merawat seorang remaja yang datang ke kliniknya dengan keadaan pusat bengkak dan bernanah.

“Apabila saya membuat pemeriksaan, saya dapati terdapat subang pada pusatnya. Ia menjadi bengkak kerana tersangkut pada sesuatu.

“Selepas mengeluarkan subang berkenaan, pusatnya perlu dibersihkan dan akibatnya, remaja itu perlu mengambil antibiotik sehingga nanah itu dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, bahagian kemaluan turut menjadi pilihan untuk ditindik walaupun kawasan terbabit paling sensitif dan pelbagai jangkitan penyakit boleh merebak hanya dengan sekali tindik.

Beliau berkata, kesan jangkitan berkenaan tidak boleh dilihat dalam jangka masa pendek, namun jika sudah merebak, ia mengambil masa agak lama untuk sembuh atau lebih teruk mungkin kekal selamanya.

“Penyakit seperti Hepatitis B dan C adalah yang paling ‘popular’ kerana mudah merebak melalui darah,” katanya.

Jangkitan Hepatitis C adalah penyebab utama penyakit hepar, sirosis dan karsinoma hepatocellular (HCC) atau kanser hati.

Akhbar pernah melaporkan seorang warga Singapura berusia 24 tahun nyaris maut apabila besi tindik yang dipasang di lidahnya sepanjang tiga sentimeter ditelan mangsa ketika makan.

Mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH) untuk menjalani rawatan X-Ray sebelum mendapati besi itu terselit di paras tulang rusuknya.

Namun, doktor dapat menurunkan besi itu hingga ke saluran najis dan dikeluarkan ketika membuang air besar.

Sementara itu, disebabkan kegiatan menindik tubuh semakin popular di kalangan remaja, pusat yang menawarkan perkhidmatan menebuk lidah kian bercambah di sekitar ibu kota.

Berdasarkan tinjauan, pusat yang turut menawarkan khidmat membuat tatu itu hanya mengenakan kadar bayaran serendah RM50 bagi memasang besi tindik yang perlu di skru dengan ketat bagi mengelak ia tertanggal.

Seorang remaja wanita yang ditemubual, Lisa Adina, 20, berkata bertindik adalah satu fesyen dan dia menganggapnya tidak adil jika masyarakat memandang serong terhadap remaja bertindik.

“Bertindik sama seperti memakai aksesori seperti gelang atau rantai. Mengapa pandang hina kami yang bertindik? Ia sama saja dengan orang lain yang pakai gelang hingga ke siku,” katanya.

Walaupun masyarakat memandang pelik remaja bertindik, namun dia tidak mempedulikan apa yang orang lain perkatakan kerana pada pandangannya, bertindik adalah hak peribadi.

Mengimbas pengalamannya bertindik buat kali pertama lima tahun lalu, Lisa berkata, dia mula terpengaruh untuk bertindik kerana tertarik melihat rakan sekolah berbuat demikian.

“Buat permulaan, saya hanya menggunakan subang palsu yang boleh dilekatkan dan cuba memakainya di hidung. Selepas sekian lama, saya lihat ia menjadikan wajah saya semakin menarik dan ramai teman memuji,” katanya.

Selepas itu, dia membuat keputusan menindik di hidung dan diikuti di beberapa bahagian wajahnya seperti lidah, atas bibir dan kening.

Lisa berkata, terdapat beberapa kelebihan bagi seorang gadis sepertinya memilih penampilan sebegitu dan antaranya dia tidak menjadi sasaran usikan kumpulan lelaki.

“Apabila berjalan di tempat awam, orang pasti akan memandang saya dan menyangka saya menganggotai sesuatu kumpulan.

“Jadi, mereka tidak berani mengusik saya kerana takut saya memanggil geng,” katanya.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Syarifah Dayana Syed Bakri

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular