Punca orgasma wanita terganggu

Orgsama atau kemuncak rangsangan seksual ialah suatu keperluan universal untuk lelaki dan wanita.

Tetapi, perkara ini tidak sama untuk mana-mana wanita. Sebagai perbandingan, orgasma untuk lelaki diibaratkan sebagai permainan bola sepak tanpa skor.

Wanita lebih kepada permainan daripada pencapaian gol.

Jadi orgasma untuk wanita bukan suatu keperluan. Jika ia berlaku, pengalaman ini boleh berlaku lagi dalam situasi yang berbeza.

Jika orgasma yang berlaku itu sebagai satu nikmat, ia akan mendorong wanita ingin menghayatinya lagi pada masa yang lain.

Sebaliknya, jika wanita terbabit tidak dapat mencapai orgasma walaupun telah menikmati rangsangan seksual, dia mungkin akan rasa serba salah.

Selain itu, wanita terbabit juga rasa tertekan sekiranya pencapaian orgasma itu suatu tanda yang ditunggukan pasangan sebagai kejayaan dalam hubungan seksual.

Jadi, tidak hairan jika terdengar sebilangan besar wanita berlakon, seolah-olah telah mencapai orgasma.

Ini dilakukan semata-mata untuk memberi kepuasan kepada pasangannya.

Apabila orgasma gagal berlaku secara berterusan, perkara ini akan merunsingkan wanita dan pasangannya.

Lebih-lebih lagi jika orgasma itu yang dihajati dalam hubungan seksual. Perkara ini dikenali sebagai masalah pencapaian orgasma.

Ia boleh dibahagikan kepada dua situasi iaitu gangguan orgasma prima - wanita itu tidak pernah mencapai orgasma sejak memulakan hubungan seksual.

Kedua, gangguan orgasma sekunder. Ia adalah satu keadaan di mana wanita yang pernah mencapai orgasma dahulu gagal untuk mencapainya dalam aktiviti seksual kemudian.

Atau gagal untuk mencapai orgasma dalam keadaan tertentu sahaja yang dikenali sebagai gagal mencapai orgasma secara situasional.

Kegagalan mencapai orgasma prima agak kerap berlaku kepada wanita muda yang baru sahaja memulakan hubungan seksual.

Dia lebih mengikut kehendak pasangan dari menikmati keghairahannya.

Lama kelamaan dia akan dapat menikmati orgasma. Apabila dia telah mengenali orgasma, dia akan mudah mencapainya.

Kecuali apabila dia mengalami tekanan emosi dan perasaan marah yang menyukarkannya mencapai orgasma. Orgasma sama juga dengan perasaan berahi, boleh dialami oleh minda dan badan.

Wanita gagal untuk mencapai orgasma akibat kurang menghayati perasaan kemesraan, kurang pengetahuan tentang nikmat hubungan seksual dan akibat tekanan perasaan dan ketakutan.

Selain itu, masalah hubungan dengan pasangan, pengalaman pahit yang berlaku dahulu, kurang atau tiada rangsangan, masalah mood, kemurungan dan gangguan kesihatan secara am juga menyumbangkan kepada masalah ini.

Masalah kesihatan yang mengakibatkan perjalanan darah ke klitoris terganggu. Ia juga boleh mengakibatkan wanita itu gagal untuk mencapai rangsangan klitoris dan gagal mencapai orgasma.

Pendek kata ada bermacam-macam sebab kenapa wanita gagal mencapai orgasma.

Perkara ini perlu dikenal pasti dan mendapat rawatan dan bimbingan yang sewajarnya.

Berdiam diri tanpa membuat apa-apa bukan cara yang bijak!

Hilang keinginan terhadap isteri

SEJAK dua tahun lalu, Ameer, 48, melanjutkan pengajian sarjana di salah sebuah universiti di Jepun.

Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan, dia membawa keluarganya ke sana. Setelah enam bulan di perantauan, isterinya Ameera, 41, mempunyai kenalan lelaki dikenali sebagai Rafik.

Sekalipun berlainan universiti, Rafik, 25, seorang penuntut ijazah, juga mempunyai hubungan baik dengan Ameer.

Sebagai suami, Ameer sedikit pun tidak menaruh perasaan cemburu dengan kemesraan antara isterinya dengan Rafik. Mungkin, disebabkan faktor usia.

Malah, Rafik juga sentiasa menunjukkan sikap yang baik dan sangat menghormati orang lain.

Tetapi, kata pepatah harapkan pagar, pagar makan padi. Lelaki yang dianggap seperti adik itu rupanya, ada udang di sebalik batu.

Hubungan baik itu rupa-rupanya terbawa-bawa ke tempat tidur. Menurut Ameer, semua ini berdasarkan bukti tompokan air mani yang ditemui pada tempat tidurnya, sepanjang ketiadaannya

Peristiwa tersebut semakin mengecewakan kerana ia berulang lagi, apabila dia terpaksa membuat tugasan luar. Sepanjang ketiadaan Ameer, isterinya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

Pernah, dalam keadaan marah bercampur geram, Ameer terus melakukan hubungan seks dengan isterinya.

Tidak sampai setengah minit, dia mengalami ejakulasi. Sejak itu Ameer merasakan, kekuatan zakarnya tidak seperti dulu.

Sejak peristiwa itu, hubungan Ameer dan isterinya renggang dan dingin. Perasaan dan keinginan melakukan hubungan seks juga terkubur.

Kalau adapun, ia dilakukan kerana tanggungjawab dan tidak sepenuh hati. Kecurangan isterinya menyebabkan Ameer rasa kesal dan begitu tertekan.

Baru-baru, ini hasil pemeriksaan doktor mendapati dia menghidap kencing manis dan hatinya diselaputi lemak.

Sebelum kes ini terjadi, mereka kerap melakukan seks, tetapi kini tidak lagi. Sekalipun keinginan masih ada tetapi bukan terhadap isterinya.

Dr. Ismail:

Hubungan seksual mustahak dalam perkahwinan. Keperluan penghayatan seksual untuk lelaki dan perempuan berbeza.

Ada kalanya keperluan suami lebih dan ada kalanya keperluan isteri lebih.

Ini boleh menyebabkan tekanan kepada kedua-dua belah pihak, iaitu pihak yang tidak berkemampuan untuk memberi dan pihak yang mempunyai keinginan yang lebih tetapi kurang mendapatnya.

Jadi, tidak hairan jika pihak yang keinginannya tidak dapat dipenuhi oleh pasangan mencari jalan untuk mendapatkan keperluan itu di luar.

Keadaan yang dijelaskan tadi bukan suatu keadaan yang biasa berlaku dalam perkahwinan Islam.

Bagaimanapun nafsu seksual tiada batasan dan sempadan. Paling penting, kesetiaan dan kasih sayang antara pasangan suami dan isteri yang tidak berbelah bahagi.

Apabila bencana kecurangan melanda keluarga, pihak yang mendapati dirinya dipermainkan akan rasa tertekan.

Jika tekanan itu kekal dan berpanjangan individu itu akan rasa kecewa dalam hidupnya.

Dia akan rasa dirinya tidak berguna lagi kepada pasangannya. Jika perkara yang dilakukan pasangannya berkaitan dengan perilaku seksual, dia akan rasa lemah dalam fungsi tersebut.

Lemah syahwat ini mungkin sudah lama berlaku dan sebab itu pasangannya `makan luar' atau kecurangan pasangan yang mencetuskan kelemahan syahwat itu.

Jika individu itu lelaki dan dalam lingkungan usia di ambang 50, dia akan dapati yang fungsi syahwatnya tidak seperti waktu muda.

Ereksi tidak sepadat dahulu dan daya mengekalkan ereksi pendek.

Dia akan mengalami pancutan awal dan tidak dapat memberi nikmat seksual sepenuhnya kepada pasangan.

Jika dia mengalami perubahan kesihatan seperti penyakit kencing manis dan peningkatan kolesterol dan lemak dalam darah, sudah tentu perkara tersebut akan memberatkan masalah ereksi itu.

Banyak lelaki yang berumur dalam lingkungan tersebut, mengalami masalah pencapaian ereksi dan tiada daya tahan.

Mereka masih berpendirian seolah-olah mereka masih handal dan tidak perlu mendapat rawatan.

Mereka yang mengalami lemah syahwat yang ketara akan berjumpa tukang urut atau mencuba ubat `kuat' yang dijual di kaki lima.

Atau melalui kawan dan tidak terfikir yang ubat itu mungkin boleh membawa kesan negatif atau memudaratkan kesihatan mereka.

Kini lemah tenaga batin untuk lelaki ada rawatan moden. Suatu ketika dahulu ada alat pam vakum yang boleh digunakan untuk melancarkan aliran darah ke dalam otot zakar supaya zakar erek dan tegap.

Kini terdapat alat pam lebih canggih. Sebahagian daripada rawatan utama untuk masalah gangguan ereksi atau disfungsi erektil.

Ubat PDE 5 Inhibitor yang dapat membantu melancarkan perjalanan darah ke dalam liang otot zakar ialah suatu kaedah mukjizat untuk kaum lelaki.

Kini terdapat tiga jenis ubat PDE 5 Inhibitor dalam pasaran di Malaysia dan juga di luar negara.

Sildenafil, pil biru berkesan dalam setengah jam dan tahan selama enam hingga lapan jam dalam badan. Tadalafil, pil bujur kekuningan berkesan pantas. Dalam masa lima hingga 15 minit dan kesan kekal selama 36 jam.

Ubat levitra, warna putih dan bulat juga cepat berkesan dan boleh tahan selama 24 jam. Selain ubat oral, terdapat juga ubat suntikan pengembang salur darah Caverjet.

Kaedah lain termasuk pemasangan implan ke dalam liang otot zakar yang kini tidak begitu popular dan pembedahan pemintasan salur darah zakar yang juga jarang dilakukan.

Hubungan keintiman seksual bukan suatu pertarungan antara lelaki dan perempuan. Soal siapa tewas dahulu dan kemudian tidak timbul.

Pasangan, sama-sama menikmati sentuhan dan belaian dan sama-sama mencapai kepuasan, klimaks, keselesaan dan keyakinan diri dan batin.

Tidak boleh lupa juga, jalinan komunikasi antara pasangan perlu terbuka, telus dan mesra. Ini dapat mengeratkan hubungan keintiman seksual.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular