MASYARAKAT kita jarang memperkatakan tentang hubungan intim di ranjang atau soal-soal berkaitan hubungan seksual suami isteri secara terbuka, malah untuk bersuara kepada pasangannya juga mereka berasa malu.
Persoalan yang dianggap taboo pada sebilangan masyarakat kini menjadi perkara penting dalam hubungan suami isteri terutama pasangan yang bermasalah.
Sekiranya terdapat masalah melibatkan hubungan seksual, tidak ramai yang tampil ke depan untuk memberikan kenyataan atau mendapatkan rawatan.
Persoalan mengenai keperluan batiniah seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Banyak kemelut dalam rumah tangga bermula apabila suami dan isteri tidak mendapat kepuasan seksual yang diharapkan dalam perhubungan.
Apatah lagi sekiranya pihak suami yang menghadapi masalah disfungsi erektil (ED) enggan mendapatkan rawatan dan tidak mengendahkan keperluan batiniah pasangan mereka.
Kini dianggarkan 152 juta lelaki di seluruh dunia yang berusia 40 tahun ke atas menghadapi ED.
Jumlah ini dikatakan akan meningkat sehingga 322 juta pada tahun 2025.
Walaupun jumlah yang mengalami ED ini semakin meningkat, hanya 15 hingga 20 peratus daripada mereka menerima rawatan.
Bukan itu sahaja, masalah seksual juga dihadapi oleh warga emas. Penurunan hormon androgen bagi lelaki dan masalah menopaus bagi wanita turut memberikan tamparan dalam perhubungan seksual warga emas.
Mungkin ramai yang beranggapan, warga emas tidak lagi mengendahkan mengenai kelangsungan hubungan batiniah ini, benarkah begitu?
Wartawan ROSMAH DAIN dan jurugambar HAYAT SUEET membuka persoalan ini untuk dibincangkan bersama Pakar Perunding Urologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Md. Zainuddin.
Manusia punya keinginan untuk memenuhi keperluan seksual mereka. Namun apabila umur semakin meningkat, keinginan itu akan berkurangan lantaran hubungan intim sudah pasti semakin menurun dengan pelbagai masalah fizikal termasuk masalah alat sulit lelaki yang mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik.
Golongan wanita pula akan mengalami perubahan akibat gejala menopaus dan masalah vagina.
Menurut Pakar Perunding Urologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, sebaik sahaja golongan lelaki berumur 50-an ke atas, kebanyakan mereka menderita disfungsi erektil (ED).
Hormon androgen bagi lelaki juga akan menurun menyebabkan mereka cepat letih.
Beliau memberitahu, hasil kajian yang dilakukan terhadap kekerapan perhubungan seks warga emas yang berumur 50-an hingga 60-an mendapati golongan ini hanya dianggarkan melakukan hubungan berkenaan dua atau tiga kali sebulan.
Kebanyakan warga emas menganggap hubungan intim bagi suami isteri tidak penting, tambahan pula apabila sudah berusia.
“Ini berbeza dengan warga emas di Barat yang masih intim biarpun melewati usia. Sebenarnya hubungan intim di kalangan warga emas tidak perlu berakhir dengan hubungan kelamin.
“Apa yang diperlukan oleh warga emas ialah hubungan mesra, tidur berdua, belaian, urutan dan sebagainya,” katanya.
Namun, apa yang terjadi pada hari ini adalah kebanyakan daripada warga emas apabila memasuki usia ini sudah pun tidur berasingan dan enggan melayan kerenah pasangan menyebabkan suami dan isteri itu semakin terasing.
Rawatan
Beliau memberitahu, fenomena yang berlaku pada hari ini pula menunjukkan kebanyakan suami warga emas cuba untuk mendapatkan rawatan memulihkan kembali status seksual mereka menerusi pelbagai cara.
Mereka akan mendapatkan pelbagai rawatan khususnya di hospital-hospital, tetapi apa yang menjadi masalah ialah mereka tidak membawa isteri masing-masing ketika cuba mendapatkan rawatan.
“Justeru, apabila suami berjaya dirawat dengan mengambil ubat-ubatan untuk merangsang nafsu mereka kembali, di isteri masih berada pada tahap yang ‘sama’. Keadaan ini pasti menimbulkan isu,” katanya.
Dr. Zainuddin menjelaskan, sebaik-baiknya suami yang ingin mendapatkan rawatan membawa bersama isteri masing-masing untuk mendapatkan nasihat.
Ini kerana persetujuan dan persefahaman daripada pasangan adalah perlu untuk keakraban hubungan.
“Pasangan suami isteri tidak perlu malu bertanya bagaimana untuk memperbaiki hubungan seksual mereka. Sebenarnya tiada perkataan zero untuk hubungan seksual bagi usia tua.
Semua keadaan yang menyebabkan kelemahan dari segi seksual boleh dibantu.
Sebagai contoh, terdapat rawatan ubat-ubatan perangsang bagi lelaki dan untuk wanita terdapat gel yang dapat memulihkan kembali kelembapan vagina mereka.
Dr. Zainuddin menerangkan, perhubungan fizikal perlu diteruskan di kalangan suami isteri dan si isteri tidak perlu berfikir untuk ‘menutup kedai’.
Katanya lagi, beliau pernah menerima pesakit warga emas lelaki berumur 78 tahun yang meminta dirawat bagi memulihkan kemampuan seksualnya.
Dalam pada itu, Dr. Zainuddin juga memberitahu, bukan sahaja di kalangan warga emas, malah suami isteri kalangan generasi muda sekarang pun agak dingin untuk melakukan seks akibat penat yang berpunca daripada tekanan kerja dan kesibukan mengejar masa.
Bagi wanita pula, mereka takut untuk mengandung (kerana tidak memakai alat pencegah kehamilan) sekiranya melakukan seks dengan kerap.
Tekanan
Katanya, kajian juga mendapati kekerapan hubungan seksual di kalangan golongan muda berusia 20 hingga 40 tahun hanyalah empat hingga lima kali sebulan.
“Kajian juga menunjukkan golongan muda di luar bandar lebih banyak melakukan hubungan seksual daripada di bandar kerana tidak dibebankan dengan tekanan.
“Tekanan juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kerenggangan hubungan suami isteri,” katanya.
Menurut Dr. Zainuddin, hubungan seks yang dilakukan dengan pasangan tidak perlu mempunyai had asalkan ia memenuhi kepuasan kedua-dua pasangan dan saling merelakan.
Katanya, golongan wanita sebenarnya lebih suka dibelai dan dimanja suami, berbanding dengan golongan lelaki yang mengharapkan belaian berakhir dengan hubungan kelamin.
Dalam pada itu, Dr. Zainuddin menasihatkan golongan lelaki warga emas yang ingin mendapatkan rawatan memulihkan rangsangan seksual agar menilai keupayaan fizikal mereka sendiri terlebih dahulu.
“Kalau datang untuk mendapatkan rawatan pun sudah tidak larat berjalan... susahlah macam itu.
“Bagi wanita yang berkahwin dengan warga emas pula, mereka perlu menerima hakikat bahawa prestasi warga emas tidaklah seperti orang muda,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan