Tidak berapa lama dulu, sebanyak 80 peratus daripada masalah ED dikatakan bersumber dari dalam kepala lelaki, yakni mental atau psikologi atau juga disebut sebagai psikogenik.
Itu dulu. Namun kini, pecahan menjadi sebaliknya.
Dengan adanya ujian-ujian diagnostik yang lebih baik, faktor-faktor fizikal seperti diabetes, kanser prostat, kecederaan pelvik dan kesan sampingan ubat-ubatan mengambil alih penguasaan.
Masalah perubatan tersebut berupaya mengurangkan atau menghalang aliran darah dan impuls saraf ke zakar, menyebabkan ED.
Sementara itu, tekanan hidup seperti keretakan rumah tangga, kematian orang tersayang, kehilangan pekerjaan dan masalah kewangan dikategorikan sebagai antara faktor sekunder yang menyebabkan ED.
Lelaki yang hilang upaya ereksi secara tiba-tiba biasanya disebabkan oleh faktor psikologi.
Sama seperti ereksi yang boleh tercetus daripada fantasi seks, begitu jugalah pemikiran negatif boleh menghalang ketegangan yang sama daripada berlaku.
Tidak kurang juga lelaki yang menderitai ED yang disebabkan oleh gabungan kedua-dua faktor fizikal dan psikologi.
Tindak balas tubuh dan otak
Tanpa mengira batasan umur atau puncanya, apabila seseorang lelaki itu bermasalah untuk mencapai ereksinya, dia pada mulanya cuba untuk tidak berasa bimbang tentangnya.
Bagaimanapun, apabila ia kembali berulang dan berulang lagi, fikirannya mulai menerobos, apa yang tidak kena.
Dia akan tertanya-tanya sama ada syahwatnya telah hilang dan apakah yang mungkin akan berlaku jika pasangannya mengetahui akan perkara itu.
Seks - bagi lelaki, merupakan antara elemen penting dan utama dalam menentukan kejantanan mereka.
Keupayaan untuk berfungsi secara seksual menterjemahkan peranan lelaki di muka bumi ini, sekali gus membentuk identitinya.
Ini membuatkan lelaki menjadi begitu malu, ego dan kelelakiannya tercabar dan menganggap bukan lagi seorang lelaki sejati.
``Kalau aku tidak boleh melakukan seks dengan normal, aku menjadi seorang lelaki yang gagal dan akan ditinggalkan oleh isteri.''
Pendek kata, serasa dunia sudah kiamat.
Perasaan kecewa, marah, bersalah, kehilangan, tekanan dan takut tidak diterima oleh pasangan (penolakan) turut menghantui mereka.
Apa? Rasa macam biasa dengar?
Mungkin ya, kerana sekiranya anda merupakan pasangan kepada individu yang menghidapi ED, anda lazimnya akan turut dibayangi oleh gelodak yang serupa.
Disebabkan oleh kesakitan emosi yang dialami, kebanyakan lelaki mengambil sikap permisif dan cuba merahsiakannya dari pasangan kerana bimbang diketawakan.
Mereka tidak akan bercakap tentangnya kecuali dengan rakan-rakan sejenis. Venue utama - termasuklah di kedai-kedai mamak.
Bukan perkara pelik bagi lelaki yang menghadapi masalah ini untuk mencari alasan bagi mengelakkan hubungan seks dengan isteri dalam cubaan melupakan masalahnya.
Apabila tiada komunikasi, lama-kelamaan, mereka berpura-pura seolah-olah kehidupan seksual tidak wujud atau tidak penting lagi bagi mereka.
ED lazimnya membimbangkan lelaki akan prestasi seksnya, sama ada dia mampu memberikan kepuasan kepada pasangannya pada masa-masa yang akan datang.
Kerisauan itu seterusnya melengkapkan satu pusingan kejam yang mengakibatkan lelaki semakin sukar untuk mencapai ereksi mereka.
Akhirnya, ED meninggalkan kesan konflik dan kesakitan emosi yang boleh menjarakkan hubungan suami isteri tanpa batasan.
Malang sekali, ED tidak akan berlalu pergi dengan sendirinya dari hidup lelaki sebagaimana sesetengah tanggapan golongan itu bagi menutup kenyataan.
Pakar-pakar sependapat, dalam mana-mana hubungan sekalipun, komunikasi yang baik dan keintiman sesama pasangan sangat penting dan menjadi platform kukuh dalam membantu lelaki keluar dari trauma ini.
Lelaki perlu ingat, hakikatnya, ED bukan masalah lelaki sahaja kerana hubungan seksual adalah satu kegiatan bersama insan Hawa.
Tujuan komunikasi adalah untuk memahami masalah yang berlaku dan menyedari tentang kewujudan serta pilihan rawatan yang ada bagi mengatasinya.
Apabila kita menyentuh tentang komunikasi, kajian mendapati, lelaki dan wanita mempunyai cara perhubungan yang alaminya memang berbeza.
Satu kelainan ketara ialah kaum wanita sering mengutarakan proses membuat keputusan dan pemikiran mereka sedangkan kaum lelaki, sekalipun melalui proses yang sama, tetapi tidak menyatakannya secara lisan.
Ini menjejaskan proses komunikasi kerana lelaki sering tersalah anggap dan berpendapat pertimbangan yang dibuat oleh wanita sebagai jawapan terakhir.
Sedangkan, wanita pula menganggap lelaki langsung tidak mempertimbangkan isu berkenaan.
Sebab itulah lelaki selalu menuduh wanita terlalu kerap bertukar fikiran sedangkan wanita pula menuduh lelaki tidak ambil peduli.
Pasangan yang tidak boleh bercakap dari hati ke hati tidak mustahil gagal melayari bahtera mengikut kemudi mereka sendiri.
Lelaki yang mempunyai masalah untuk berkongsi perasaannya akan mengalami kesukaran untuk berkongsi dengan pasangan masing-masing sebarang kerisauan berkaitan persembahan mereka di bilik tidur.
Sekali lagi, pusingan kejam akan menyebabkan lelaki kehilangan ereksi.
Sementara itu, bagi mana-mana lelaki yang gagal meluahkan mahupun menyelesaikan kemarahan atau kekecewaan terhadap pasangannya, mungkin dengan sengaja menahan zakar daripada menegang sebagai alat ancaman atau senjata konflik mereka.
Lain-lain perasaan yang boleh mendorong ke arah ED ialah:
* Berasa gugup untuk melakukan hubungan kelamin sama ada disebabkan oleh pengalaman buruk atau pernah mengalami episod ED sebelumnya
* Tekanan hidup sama ada di tempat kerja atau di rumah
* Mengalami masalah dalam hubungan dengan pasangan
* Berfikiran negatif, pasangan tidak akan memberikan reaksi yang baik terhadap permintaan anda
* Terlalu malu atau sedar kendiri contohnya, `jangan-jangan, aku tidak dapat menikmati seks dengan baik lagi'
* Sedang bersedih
* Sindrom duda, di mana lelaki akan mengalami ED kerana berasa bersalah dan cemas untuk melakukan hubungan seksual dengan pasangannya yang baru selepas kematian isterinya.
Walaupun terdapat pelbagai pilihan rawatan ED, namun, kajian mendapati satu-satu terapi itu akan lebih berjaya dengan adanya kerjasama daripada isteri.
Ingat, matlamatnya adalah membuat lelaki membuka mulut untuk bercakap dan berbincang mengenai masalah ED yang mereka hadapi.
Masalah yang dibiarkan begitu sahaja boleh memusnahkan hubungan yang paling romantis dan kukuh sekalipun.
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
0 ulasan:
Catat Ulasan