Buat masa ini, Halim Hafizi belum berkira-kira untuk mendirikan rumah tangga. Selain faktor usia yang masih muda, Halim, 24, perlu persediaan dari segi mental, fizikal dan kewangan yang stabil.
Seperti lelaki dewasa yang lain, jurutera di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur ini dilahirkan dengan serba kesempurnaan.
Dengan didikan yang diterima sejak kecil dan faktor persekitaran, menyukarkan Halim untuk berbincang secara terbuka berhubung masalah yang dihadapinya.
Baik ahli keluarga terdekat atau rakan rapatnya, Halim lebih rela memendam rasa daripada mengaibkan diri sendiri.
Dilema yang dihadapinya menyebabkan dia makin hilang punca. Apatah lagi, isu ini membabitkan lambang kelakiannya.
Dia sendiri tidak pasti mengapa dan bagaimana keadaan ini berlaku. Tetapi, yang pasti ia benar-benar membelenggu dirinya. Menurut Halim, sejak di peringkat sekolah rendah, dia yakin dan benar-benar yakin zakarnya normal.
Tetapi, apa yang terjadi pada hari ini menjadi sebaliknya. Zakar Halim telah berubah dan membengkok ke bawah.
Sekalipun tidak pasti mengapa keadaan ini berlaku, Halim mengakui pada zaman remajanya dia selalu menekan zakarnya ke bawah seluar, terutama apabila dalam keadaan ereksi.
Ini mengakibatkan zakarnya, yang pada awalnya berkeadaan normal lama-kelamaan membengkok ke bawah, walaupun zakar tersebut dalam keadaan ereksi.
Apa yang membimbangkan dirinya ialah semasa dia membuang air kecil, air kencing juga tidak akan keluar seandainya Halim cuba menegakkan zakar seperti dalam keadaan normal.
Air kencingnya, seolah-olah tersekat di tengah zakar. Lebih memelikkan Halim, apabila dia membiarkan zakarnya dalam keadaan bengkok, barulah aliran air kencingnya mengalir seperti biasa.
Risau juga Halim, kalau-kalau masalah ini tidak dapat ditangani dan berterusan apabila dia mendirikan rumah tangga nanti.
DR. ISMAIL:
Kebiasaannya semasa ereksi, kedudukan zakar berubah, ia menegang dan menghala ke depan. Jarang kelihatan zakar yang erek berkeadaan lurus. Kebiasaannya ia akan kelihatan melengkung sedikit, sama ada ke kiri atau ke kanan.
Ada kalanya, ia mendongak ke atas dan kadangkala ke bawah. Zakar yang menegang, di mana jika kedudukan lengkung atau kebengkokannya lebih dari 90¼ tidak dapat disalurkan ke dalam faraj.
Walaupun ia cuba diluruskan semasa hendak melakukan hubungan seks, kedudukan tersebut tidak kekal.
Malah, ia menyusahkan lelaki dan pasangannya. Jadi, tidak hairan jika kedudukan zakar yang membengkok cuba diluruskan semasa hendak buang air kecil. Pembengkokan ini mengakibatkan pengeluaran air kencing seolah-olah tersangkut.
Perkara yang sama boleh berlaku ketika ejakulasi, kemungkinan air mani tersekat.
Tidak dinafikan, kedudukan zakar boleh berubah dari semasa ke semasa. Perubahan ini mungkin akibat perbuatan sendiri.
Ini termasuklah seperti sengaja membengkokkan zakar semasa memakai seluar dalam atau tabiat gemar menolak zakar apabila ia mengalami ereksi yang luar biasa.
Apabila otot dan selaput otot zakar tercedera, timbul kekerasan atau plaque. Otot zakar yang ditarik oleh tisu selaput yang keras itu akan mengakibatkan zakar tidak lurus dan bengkok.
Kemunculan plaque boleh berlaku secara spontan dan ini dikenali sebagai Peyronie Disease. Lagi cepat anda berjumpa doktor, lebih segera rawatan diberi. Ini juga dapat mengurangkan proses pengerasan plaque.
Selain Peyronie Disease, terdapat beberapa masalah lain yang boleh dikaitkan dengan kebengkokan zakar.
Jadi jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Jangan sesekali mengatasi masalah zakar yang bengkok ini dengan mengurutnya. Malah, ia boleh memudaratkan.
Ada kemungkinan, amalan mengurut zakar yang kononnya dipercayai boleh membesar dan memantapkannya boleh mengakibatkan perkara yang sebaliknya. Kesudahannya, zakar menjadi bengkok.
HISHAM, 44, mengakui sejak kebelakangan ini dia terlalu dingin untuk menunaikan `tanggungjawabnya' sebagai suami.
Eksekutif salah sebuah syarikat kewangan ternama ini, `hilang minat' bukan kerana perasaannya telah beralih arah kepada wanita lain.
Malah, sepanjang membina ikatan bersama Zaleeda sejak 18 tahun yang lalu, isterinya itulah satu-satunya wanita yang bertakhta di hatinya.
Belum ada mana-mana wanita pun mampu menandingi kesempurnaan yang dimiliki isterinya, juga seorang eksekutif di salah sebuah syarikat swasta terkemuka.
Apa yang membimbangkan Hisham, perubahan yang berlaku pada dirinya ini, Zaleeda akan menuduhnya bukan-bukan.
Sedangkan, dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dirinya.
Cerita Hisham, dalam tempoh 10 tahun lalu dalam melayari kehidupan berumah tangga, dialah `jaguh' dan menguasai permainan. Tetapi, apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya.
Dia perlu `dibantu' untuk dirangsang oleh isteri setiap kali melakukan hubungan seks.
Lebih memelikkan Hisham, dia langsung tidak dapat memperoleh, jauh sekali menghayati keseronokan.
Ereksinya juga tidak begitu baik. Hasilnya, semasa ejakulasi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Atas alasan itu, Hisham terpaksa memilih onani kerana kenikmatan yang dirasai terlalu berbeza.
Pada masa yang sama, dia juga berasa sakit pada bahagian sebelah buah zakar kirinya.
DR. ISMAIL:
Tahap dan kemampuan syahwat serta tenaga batin seorang lelaki menurun apabila umur mereka mencecah 40 tahun.
Jika lelaki itu menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, sakit jantung (koronari) dan tekanan mental, kelemahan syahwat turun amat ketara.
Lelaki itu boleh mengalami mati pucuk. Begitu juga jika seorang lelaki yang berumur itu mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.
Ini termasuklah merokok, minum minuman keras, tidak mengawal berat badan dan makanan.
Mereka yang tidak melakukan apa-apa aktiviti fizikal dan terdedah dengan tekanan, kemampuan syahwat menjadi lemah.
Selain itu, hubungan dengan pasangan menjadi kurang mesra, tidak lagi ceria atau menghiburkan. Ini boleh mengganggu keintiman.
Umur yang meningkat membawa perubahan kepada proses penuaan. Sebilangan lelaki mengalami perubahan andropause atau penurunan hormon kelelakian Testosterone.
Dengan kekurangan hormon seks lelaki ini, perasaan lemah berlaku secara menyeluruh.
Ini termasuklah rasa lesu, tidak berdaya dan berupaya, mudah letih dan tidak mudah terangsang.
Selain itu, mereka juga tidak minat kepada hubungan seks kerana tidak seronok dan tidak mudah klimaks lagi. Jika klimaks pun, pancutan tidak sederas dahulu.
Proses tindak balas hubungan seks menjadi lembap walaupun pasangan melakukan pelbagai rangsangan.
Mungkin rangsangan secara sendiri dapat membantu mendapat keselesaan kendiri, tetapi tanpa pasangan tidak lengkap.
Masalah seksual perlu diberi perhatian dan perlu mendapat rawatan yang sewajarnya. Ini kerana hubungan seksual mustahak sebagai penyeri hubungan suami isteri.
Doktor akan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan mengkaji tahap hormon testosteron lelaki itu.
Ubat-ubatan yang sewajarnya akan diberi. Jika masalah lelaki itu ada kaitan dengan gangguan pencapaian ereksi, ubat yang dapat membantu meningkatkan perjalanan darah ke dalam zakar akan diberi.
Pendek kata, masalah seksual dan syahwat kini boleh diatasi dengan rawatan moden.
Sebelum ini Ravi pernah terbaca mengenai masalah kebengkokan zakar yang dikenali sebagai penyakit Peyronie.
Tetapi, dia masih kurang jelas kewujudan penyakit tersebut dan kesannya kepada seksualiti seorang lelaki.
Kebetulan, keinginan untuk tahu tentang penyakit ini timbul apabila dia juga mengalami masalah yang serupa.
Ravi, 29, kakitangan kerajaan di bahagian pentadbiran di salah sebuah sektor kerajaan di utara Semenanjung ini menghadapi masalah zakar bengkok ketika ereksi.
Zakarnya, akan bengkok ke kiri.
Keadaan yang terlalu bengkok ini menyukarkan Ravi untuk melakukan hubungan seks dengan pasangannya.
Dia juga mengakui, terlalu cepat mengalami ejakulasi.
Menurut pembacaan Ravi, masalah yang dihadapinya ini dikenali sebagai penyakit Peyronie.
Pernah juga dia terdengar vitamin E dapat membantu mengatasi masalahnya, tetapi sejauh mana kebenarannya tidak diketahui.
DR. ISMAIL:
Penyakit Peyronie ialah sejenis masalah kebengkokan zakar yang berlaku akibat tisu seraput atau keras yang terdapat pada dinding otot zakar.
Ia menyebabkan otot itu tertarik ketika zakar menegang. Lelaki yang menghidap penyakit ini akan terasa sakit semasa ereksi berlaku. Dengan keadaan zakar membengkok yang ketara, hubungan seksual dengan pasangan wanita tidak dapat dilakukan.
Kemunculan tisu seraput ini tidak diketahui. Ia boleh berlaku secara spontan atau akibat kecederaan semasa bersetubuh.
Masalah kebengkokan zakar ini jarang berlaku. Sebab sebenarnya sehingga kini tidak diketahui.
Mengikut sejarah penyakit ini pernah di ketengahkan oleh Fallopius pada 1561.
Tetapi, nama Peyronie diambil sempena nama daripada pakar bedah Raja Louie XV dari Perancis.
Ketika itu, rawatannya ialah dengan direndam dengan air spa dari Barega (yang tidak memberi apa-apa kebaikan).
Rawatan kuno yang pernah diketengahkan untuk penyakit ini ialah iodin, arsenik dan minyak urut yang mengandungi racun Amalgam. Sehingga kini tiada rawatan yang sahih untuk penyakit Peyronie.
Rawatan seperti vitamin E, biasa diberi walaupun tiada apa-apa kebaikan yang diperoleh oleh pesakit.
Pada peringkat awal masalah tersebut, ubat-ubatan seperti Tamoxifen, Colchicine dan suntikan Verapamil pernah diberi.
Ubat-ubatan ini didapati ada kebaikan sama ada mengurangkan sakit atau melembutkan tisu seraput itu. Suntikan Interferon juga pernah diberi. Ia juga ada kebaikan.
Cara perawatan yang mutakhir ialah pembedahan pemulihan. Tisu seraput itu dibuang dan tempat yang terdedah itu dijahit dengan pembuluh darah.
Apa yang mustahak tentang penyakit Peyronie ialah pemeriksaan yang perlu dilakukan oleh pakar.
Pakar bedah dan pakar urologi boleh mengendalikan penyakit tersebut melalui pembedahan.
Rawatan dengan perubatan boleh dicuba mengikut pengalaman doktor yang pernah mengendalikan penyakit tersebut.
Bersama Dr. Mohd. Ismail Mohd Tambi
0 ulasan:
Catat Ulasan