Sikap tidak menolak atau ‘sama-sama mahu’ menjadi punca kewujudan ‘teksi maksiat’ membabitkan pemandu teksi dan penumpang khususnya GRO.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah berkata, perkara itu memang disedari pihaknya, namun ia hanya membabitkan segelintir pemandu teksi.
“Ia berpunca daripada sikap masing-masing, kalau tidak ada permintaan dan tawaran, ia tidak berlaku. Biarpun sudah lama mendengar cerita seperti ini, sehingga hari ini tiada laporan rasmi atau aduan dibuat kepada kami,” katanya.
Begitupun kata Aslah, perkara membimbangkan apabila prestasi pemandu teksi tidak pada tahap sepatutnya jika mereka terlalu asyik dengan GRO berkenaan.
“Ada timbul masalah, pemandu teksi tidak dapat membayar sewa kerana berkawan dengan GRO. Pendapatan mereka habis untuk GRO terbabit. Apabila ini berlaku, kita boleh ambil tindakan termasuk menarik balik sewaan teksi terbabit selain memberi nasihat kepada pemandunya” katanya.
Berikutan timbul masalah seperti itu, katanya, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan agensi berkaitan mengambil keputusan menganjurkan kursus motivasi kepada pemandu teksi yang dilihat bermasalah sejak 2006.
“Untuk tahun ini saja, 700 pemandu teksi sekitar Lembah Klang sudah mengikuti kursus ini yang bertujuan ‘memulihkan’ diri mereka.
“Kami turut pilih pemandu teksi yang dilaporkan mengenakan tambang lebih, tidak guna meter dan memilih penumpang,” katanya yang mensasarkan seribu pemandu teksi mengikuti kursus itu sehingga akhir tahun ini.
Beliau turut menasihatkan pemandu teksi supaya elakkan tiga perkara iaitu perempuan, judi dan arak bagi memastikan hidup mengikut cara yang diredai dan halal.
Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor turut tidak menafikan kegiatan segelintir pemandu teksi yang menjalin hubungan dengan GRO memang berlaku.
Pengerusinya, M Manickam berkata kes berlaku apabila GRO terbabit tidak mempunyai wang untuk membayar tambang dan mengambil jalan mudah dengan menawarkan seks sebagai bayaran.
“Meskipun tidak ada aduan rasmi mengenai perkara ini, namun ia berlaku. Apabila GRO ini tidak dapat cari makan sekali gus pendapatan tidak mencukupi, pelbagai perkara boleh berlaku termasuk kes seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Persekutuan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran, berkata beliau tidak pernah menerima aduan daripada persatuan dan pemandu teksi mengenai kegiatan pemandu teksi menerima habuan seks daripada penumpang.
Malah, katanya, jika ia berlaku sekalipun pihaknya tidak dapat mengambil tindakan undang-undang (LPKP) sedia ada mahupun membatalkan permit dan lesen kerana ia ‘bukan kesalahan’.
“Di pihak kami (LPKP), pemandu (teksi) cuma dikawal dan dipantau daripada segi kesalahan penggunaan meter berbayar dan apa-apa garis panduan yang sudah ditetapkan.
“Jika ia (kesalahan habuan seks) berlaku, tiada apa-apa tindakan boleh dilakukan. Bagaimanapun, pemandu sepatutnya tidak berbuat demikian kerana ia menjejaskan imej dan memalukan pemandu teksi yang ingin mencari rezeki,” katanya ketika dihubungi.
0 ulasan:
Catat Ulasan