Remaja mudah ketagih seks

Remaja melepasi tahap umur 'akil baligh' adalah golongan paling ramai melayari laman web lucah dan menjadi sasaran paling mudah disebabkan 'ledakan perasaan' yang cenderung kepada perlakuan seksual.

Perubahan tahap umur itu mendorong kepada keinginan kuat mengikut kehendak nafsu apatah lagi jika menonton video, melihat gambar lucah atau membaca artikel seks.

Profesor Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), berkata terlalu banyak kesan negatif jika membiarkan remaja melayari internet tanpa pengawasan yang mendorong mereka melayari laman web lucah.

"Remaja akil baligh cukup mudah naik nafsu syahwat terutama apabila melihat bahan lucah, mereka juga sudah tahu apa itu hubungan seks. Perubahan itu akan mencapai kemuncak jika wujud pergaulan tanpa batasan dan ketagihan seks.

"Banyak kes rogol bawah umur berlaku antara kenalan, rakan, pasangan kekasih disebabkan mereka tidak mempedulikan larangan agama dan undang-undang. Apa yang mereka fikirkan hanya untuk berseronok disebabkan wujudnya 'pencetus' iaitu bahan lucah.

"Jika tidak terdedah kepada anasir tidak sihat ini, masalah sosial itu tidak akan berlaku," katanya.

Bagi sesetengah remaja berniat jahat, mereka sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi kehendak nafsu termasuk meletakkan pil khayal ke dalam minuman teman wanita atau kenalan sebelum merogol mangsa.

Dr Mariani berkata, aktiviti itu akan memberi kesan langsung kepada remaja yang masih bersekolah, mereka akan mengabaikan mata pelajaran, pencapaian akademik merosot, keruntuhan moral serta hubungan renggang dengan keluarga.

"Apabila sudah terjerumus, tentu ibu bapa akan marah tanpa menyedari apa sebenarnya dilalui anak-anak. Akan timbul juga masalah apabila keluarga terlalu mengawasi anak-anak di rumah, mereka akan mencari jalan melayari internet di luar rumah disebabkan ketagihan," katanya.

Faktor bayaran serendah 15 sen sebagai yuran melayari laman web juga mendorong ketagihan dan Mariani percaya kegiatan itu mensasarkan kepada remaja daripada keluarga berpendapatan sederhana ke bawah yang dilihat lebih daripada mampu untuk menjelaskan kadar bayaran berkenaan.

Katanya, dengan kadar bayaran itu, sesiapa saja mampu melayari laman web lucah dan tidak mustahil ada antaranya sanggup menyimpan wang saku ke sekolah kerana mahu menghabiskan masa melayari web itu.

"Semua ini membuktikan capaian internet cukup mudah, kanak-kanak juga boleh melakukannya. Apa yang kita saksikan sekarang ialah runtuhnya moral masyarakat kini, kes gugurkan kandungan, buang bayi berleluasa," katanya.

Faktor tiada penguatkuasaan konkrit, tiada pegangan agama serta wujudnya peluang serta pilihan yang banyak dan murah untuk mendapatkan bahan lucah kini menjadikan kegiatan itu menguntungkan satu pihak, pada masa sama meruntuhkan institusi masyarakat.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular