Kisah Benar Haruan Makan Anak

Mengadakan hubungan seks atau mati kelaparan. Itu pilihan yang ditawarkan kepada Elisabeth Fritzl (kini berusia 42 tahun) sepanjang dia menjadi mangsa kurungan bapanya sejak 24 tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, Elisabeth bukan hanya dikurung di dalam bilik rahsia bawah tanah di kediaman mereka di Ybsstrasse, Amstetten, Austria sejak 1984, tetapi turut menjadi hamba seks bapanya sehingga melahirkan tujuh anak berusia antara lima hingga 20 tahun.

Selepas keluar daripada ‘penjara’ pertengahan bulan lalu, keadaan fizikal Elisabeth dan anaknya berbeza daripada rakan seusia mereka.

Wajah Elisabeth misalnya lebih tua dari usianya dengan rambut beruban atau putih, selain kulit pucat.

Anaknya juga yang mempunyai kulit pucat turut kehilangan hampir semua gigi, selain mata mereka tidak boleh terkena cahaya matahari.

Menurut pakar, keadaan itu disebabkan mereka terlalu lama menetap di dalam bilik berkenaan dan ia mengambil masa lama untuk pulih.

Kesan lain, anak Elisabeth sukar berjalan seperti orang lain dalam keadaan berdiri tegak, sebaliknya hanya mampu membongkok dan merangkak. Mereka juga tidak mampu bercakap sempurna, hanya mampu mendengus atau membuat bunyi seperti haiwan. Begitupun, mereka faham apa yang diucapkan ibu mereka.

Antara anak hasil hubungan Elisabeth dan bapanya ialah Kerstin, 19; Stefen, 18; Lisa, 15; Monika, 14; Alex, 12; dan Felix, lima tahun. Seorang lagi anaknya meninggal dunia dan mayatnya dibakar.

Bapanya, Josef Fritzl, 73, yang menggemparkan rakyat negara itu dengan kekejaman dilakukannya kini ditahan, sekali gus dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan. Jika sabit kesalahan, lelaki kejam itu bakal dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Dalam satu laporan polis, Elisabeth berkata, dia tiada pilihan selain melakukan hubungan seks dengan bapanya bagi memastikan dia dapat terus hidup, begitu juga anaknya.

Katanya, jika memilih untuk berkata tidak atas kehendak bapanya yang hanya mahu memuaskan nafsunya, dia bersama anak berkemungkinan menemui ajal selain Fritzl boleh bertindak ganas.

“Saya tidak tahu bagaimana semua ini boleh bermula, namun bapa saya memilih saya untuk dirinya.

“Bagaimana saya boleh bertahan (selama 24 tahun)? Dua pilihan itu jawapannya, sama ada membenarkannya merogol saya atau kami mati kelaparan,” katanya ketika disoal-siasat pihak berkuasa.

Elisabeth berkata, sepanjang hidup dalam bilik kurungan berukuran 60 meter persegi dengan ketinggian 1.7 meter itu, mereka sangat menderita meskipun ada kemudahan seperti perabot, tandas, sinki dan dapur.

Kini, katanya, selepas bebas daripada cengkaman kejam bapanya, dia bersama anak trauma apabila kembali ke dunia ‘baru’ yang ditinggalkan 24 tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh kurungan itu, dia berusaha melarikan diri sebanyak dua kali, malah ia berjaya dilakukan, tetapi pihak berkuasa memulangkannya semula kepada bapanya.

Wanita itu juga mengaku meskipun jiwanya memberontak, namun dia malu untuk memberitahu perkara sebenar kepada orang lain, termasuk rakannya mengenai apa yang berlaku.

Menurut Elisabeth, dia mula menjadi mangsa dera dan seksual bapanya sejak berusia 11 tahun.

Katanya, Fritzl meliwat dan menderanya tidak kira di mana saja, sama ada di rumah selepas balik sekolah, dalam kereta atau kawasan semak-samun.

Pada 29 Ogos 1984 atau pada usia Elisabeth 18 tahun, dia mula dikurung di bilik bawah tanah berkenaan sehingga usianya 42 tahun.

Sepanjang dalam kurungan, ibu Elisabeth, Rosemarie, dilaporkan tidak mengetahui mengenai kehidupan anaknya.

Dalam satu laporan, Fritzl mendakwa anaknya keluar rumah untuk menyertai satu kumpulan ajaran sesat, malah bapa kepada tujuh anak bersama ikatan perkahwinan sah dengan Rosemarie itu memaksa Elisabeth menulis surat mengenai hasratnya dan akan pulang selepas enam bulan.

Sepanjang dalam tahanan, Fritzl dilaporkan membeli makanan serta pakaian dan kelengkapan bayi untuk ‘anaknya’.

Begitupun, 19 April lalu adalah tarikh keramat dan bersejarah bagi Elisabeth, sekali gus membuka rahsia yang tersimpan selama 24 tahun. Pada hari berkenaan, Fritzl membawa Kerstin ke Provincial Clinic untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Fritzl berkata kepada kakitangan hospital terbabit, remaja itu cucunya iaitu anak kepada seorang anaknya yang meninggalkan Kerstin di depan pintu rumah sebelum menghilangkan diri untuk menyertai kumpulan ajaran sesat.

Pada masa sama, Elisabeth menulis nota ringkas yang disematkan dalam baju Kerstin tanpa pengetahuan bapanya. Nota itu tertulis:

“Rabu lalu, saya memberinya aspirin dan ubat batuk untuk melegakan kesakitannya. Sehari kemudian, sakitnya tidak sembuh, malah sehari selepas itu bertambah teruk lagi sehingga dia mula menggigit bibir dan lidah.

“Tolong, tolong selamatkan dia! Kerstin sangat takut kepada seseorang dan dia tidak pernah ke hospital (mendapatkan rawatan).

“Jika ada sebarang masalah kepadanya, sila jumpa bapa saya, dia seorang saja yang tahu keadaan sebenar. Kerstin, tolong bertahan dan sabar sehingga kita berjumpa lagi.”

Doktor yang tidak memiliki rekod perubatan Kerstin meminta ibu bapanya tampil untuk memberi maklumat dan Fritzl kemudian mengizinkan hospital berhubung dengan Elisabeth.

Penemuan surat berkenaan juga menimbulkan pelbagai persoalan sehingga polis pada 22 April lalu mengarahkan ujian DNA dijalankan ke atas Kerstin, Fritzl, isterinya serta anak untuk mengenal pasti pertalian darah.

Pada 26 April, Fritzl membawa Elisabeth ke hospital bersama dua lagi anak mereka untuk memberi maklumat lanjut mengenai Kerstin. Dalam sesi soal jawab bersama hospital, mereka curiga dengan maklumat yang diberikan kedua-duanya.

Justeru, polis diberitahu mengenai keterangan meragukan bapa dan anak terbabit sebelum mereka tiba dan menyoal siasat secara berasingan. Pada mulanya, Elisabeth takut untuk memberitahu keadaan sebenar kerana bimbang bapanya mengetahui perkara yang dibincangkan, namun selepas diyakinkan, dia menceritakan semuanya.

Berdasarkan maklumat itu, polis terus menyiasat rumah Fritzl dan menemui bilik bawah tanah berkenaan yang mempunyai tiga bilik sempit, selain peralatan rumah.

Pendedahan itu turut mengejutkan masyarakat setempat yang mengenalinya sebagai lelaki pendiam, sopan, rajin serta baik hati.

Dalam pada itu, doktor yang merawat anak Elisabeth menyatakan, mereka lebih pendiam berbanding kanak-kanak sebaya lain yang suka bermain, menjerit dan berlari-lari.

Namun, katanya, kecuali Kerstin, anak yang lain semuanya sihat, malah menyukai makanan yang diberi kepada mereka.

Pengusaha roti yang menyewa kedai bersebelahan kediaman itu, Guenther Pramreiter, berkata Fritzl sering singgah di kedainya.

“Dia peramah, kami ada berbual mengenai pelbagai topik. Dia juga sering datang bersama seorang anak, pada saya dia bapa penyayang,” katanya.

Jiran lain mengakui, Fritzl seorang yang tegas dan bersikap kuku besi dalam urusan keluarganya. Rakan lelaki itu yang pernah bercuti bersamanya ke Thailand, Paul H, berkata personaliti Fritzl berbeza ketika bersama kenalan dan keluarga.

“Dengan saya, dia lelaki mesra dan kelakar, tetapi bertukar menjadi garang dan bengis apabila bersama keluarga,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, anak Fritzl sentiasa ketakutan jika dia ada bersama mereka, malah Rosemarie juga dilihat seperti hamba lelaki berkenaan.

Sementara itu, dalam rekod polis, Fritzl pernah menghadapi dakwaan merogol, khianat dan menipu insurans. Media Austria melaporkan, Fritzl didapati bersalah atas tuduhan cubaan merogol pada 1960-an tetapi rekod itu dipadamkan.

Dalam pada itu, seorang penyiasat mewujudkan andaian, jika Fritzl meninggal dunia, tiada siapa mengetahui mengenai kehidupan anaknya dan mungkin mereka tidak ditemui sampai bila-bila.

Susunan FUAD HADINATA YAACOB

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular