Mengikut Kamus Dewan, seks ialah, “1- Sifat-sifat yang membezakan laki-laki dan perempuan, jantina; 2- Keinginan syahwat.”
Ini bermaksud, seks membicarakan tentang jantina serta sifat-sifat yang membezakan antara lelaki dan perempuan agar kita bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita dan menggunakannya secara yang betul, dan agar kita menghormati mereka yang berlainan jenis dari kita dan tidak menzalimi mereka. Seks juga membicarakan tentang kehendak nafsu syahwat agar kita akhirnya mampu meletakkan nafsu ini di tempat yang terbaik baginya.
NAFSU SEPERTI LAYANG-LAYANG.
Pernahkah anda melihat layang-layang yang cantik melayang-melayang dan menari-nari di udara? Ya, ia suatu pemandangan yang mengasyikkan! Tahukah anda mengapa layang-layang itu terus menjadi cantik dan mampu terus melayang-layang di udara dan mampu terus mengasyikkan anda? Ia disebabkan benang yang ada di badannya terus mantap dan tidak putus. Apabila benang itu putus, hilanglah kecantikan layang-layang itu dan akhirnya akan tersadailah ia di tempat yang tidak menentu menanti kehancuran! Demikianlah dengan nafsu termasuk nafsu seks. Apabila benang agama terputus darinya dia akan tersadai di tempat yang hina menanti kehancuran.
SEKS ADALAH KEPERLUAN FITRAH.
Manusia perlukan seks kerana ia adalah keperluan atau fitrah manusia. Justeru dalam Islam konsep hidup ala rahib tidak pernah ada kerana agama Islam melayani fitrah manusia. Namun keperluan seks perlu diimbangi dengan nilai akhlak. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud “Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu.” (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.
SEKS ADALAH AMANAH.
Tubuh anda adalah amanah yang dianugerahkan Allah kepada anda. Justeru anggota seks juga adalah amanah. Apa pendapat anda jika seseorang diberikan wang kemudian dia meletakkan dan menggunakan wang itu sesuka hatinya? Sudah pasti anda akan mengatakan beliau seorang yang tidak jujur! Demikianlah juga dengan alat kelamin anda. Ia diberikan Allah kepada anda. Jika anda lakukan sesuka hati anda dengannya tanpa mengikut panduan agama, anda juga boleh dihukum sebagai seorang yang tidak jujur. Justeru, sahabat nabi, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, berkata, “Amanah ialah alat kelamin manusia. Jika manusia mampu menjaga amanah ini Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya.”
SEKS BUKAN SEKADAR MEMUASKAN NAFSU.
Seks yang sebenarnya ialah hubungan spirituil dan fizikal yang terjalin di antara sepasang suami isteri yang berkahwin secara halal, dinaungi oleh landasan syariat yang suci, demi untuk mencari keredaan Ilahi.Seks adalah satu hubungan suci antara dua insan, lelaki dan perempuan. Seks yang suci ini amat mendamaikan. Dalam Al-Quran Allah berfirman, “Di antara tanda kebesaran Allah ialah, Dia menjadikan bagimu jodoh daripada jenis manusia sepertimu agar kamu berasa tenteram bersamanya dan dijadikanNya di antaramu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum ayat 21) BBC Health bertarikh 3 Februari, 2001 melaporkan, komunikasi dua hala yang baik adalah penting untuk menghasilkan seks yang bermanfaat, dan untuk mencapainya, empat ramuan komunikasi perlu dihayati di dalam hidup, iaitu, kemesraan, saling faham memahami, keterbukaan dan bertolak ansur.
SEKS YANG HALAL ADALAH IBADAH.
Ibadah mendatangkan pahala, rahmat dan keberkatan. Perkara ini dijelaskan oleh nabi di dalam hadis yang bermaksud, “Sahabat-sahabat Nabi bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala?’ Bersabda Nabi Muhammad, ‘Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperolehi pahala’.” (Riwayat Muslim)
TIDAK CUKUP SEKADAR MEMAKAI KONDOM.
Barat menghalalkan hubungan seks luar nikah. Yang penting bagi mereka ialah memakai kondom agar kaum hawa terpelihara dari jangkitan AIDS. Dalam Islam zina adalah haram. Zina bermaksud, hubungan seks luar nikah yang dilakukan secara reda antara seorang lelaki dan perempuan. Walaupun ia dilakukan secara reda, ia adalah haram dan mendatangkan dosa. Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)
ZINA YANG HARAM ADA PADAHNYA.
Antara padahnya ialah kesan negatif di sudut emosi. Dr. David Weeks, seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh, membuat kajian selama sepuluh tahun untuk mengenal pasti kesan seks ke atas kesihatan manusia. Beliau memberi amaran bahawa perubahan-perubahan positif kesan dari hubungan seks tidak akan berlaku ke atas mereka yang suka bertukar-tukar pasangan, malah kadangkala mereka yang seperti ini mengalami perubahan yang negatif disebabkan kerisauan dan tekanan yang sering melanda mereka hasil dari perbuatan mereka itu. (Rujuk BBC News, Sex Keeps You Young, 10 March 1999) Di sudut agama, padahnya lebih jelas lagi. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperolehi di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperolehi di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)
SEKS BEBAS MEMBUNUH.
Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa..... Satu di antaranya ialah, apabila zina zahir di dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit-penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu.” (Riwayat Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Bazzar) Pada hari ini, penyakit-penyakit jangkitan seksual atau STD (sexually transmitted diseases) kerap menjangkiti individu melalui hubungan seks rambang. Lebih kurang dua puluh jenis penyakit dari grup ini telah dikenal pasti di antaranya ialah syphlis, gonorrhea, genital herpes, genital wart, trichomoniasis, bacterial vaginosis, infeksi cytomegalovirus, infeksi chlamydia dan yang paling berbahaya ialah AIDS. Di Amerika sahaja ia menjangkiti 13 juta manusia setahun dan majoritinya ialah dari kalangan kaum wanita. Kos yang diperlukan untuk merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion. Di antara komplikasi yang timbul kesan dari penyakit-penyakit ini ialah, mengandung di luar rahim atau ectopic pregnancy, barah, kemandulan, sakit jantung, infeksi dan sakit puan. Mengikut Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Amerika, jumlah kes penyakit jangkitan seksual semakin meningkat pada hari ini. Ia disebabkan ramai remaja terlibat dengan hubungan seks tanpa perkahwinan di samping berleluasanya seks bebas di dalam masyarakat. (Rujuk NIAID Fact Sheet, An Introduction to Sexually Transmitted Diseases, July 1999)
ZINA BUKAN SEKADAR HUBUNGAN KELAMIN.
Islam mengutuk segala bentuk perzinaan dan segala perkara yang boleh membawa kepadanya dianggap buruk dan diharamkan oleh Islam. Allah berfirman di dalam Al-Quran, “Dan janganlah kamu mendekati zina.” (Surah Al-Isra ayat 32) Antara alat yang boleh merangsang syahwat manusia dan kemudian membawanya kepada zina ialah mata. Sebagai contoh, melihat gambar-gambar dan menonton filem-filem lucah, adalah satu bentuk zina. Justeru, Allah berfirman, “Katakanlah kepada lelaki yang Mukmin, (kawallah) penglihatan mereka dan peliharalah alat kelamin mereka.”
BERDUA-DUAAN MEMBAWA RISIKO.
Barat bersikap liberal di dalam aspek pergaulan lelaki dan perempuan dan menganggapnya sebagai satu cara hidup yang sepatutnya dicontohi oleh orang lain. Namun statistik semasa menunjukkan, cara hidup sedemikian lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada kebaikan. Sebagai contoh, mengikut Jabatan Keadilan Amerika, bagi setiap dua minit seorang wanita mengalami gangguan seksual, dan pada tahun 1996, 307,000 orang wanita menjadi mangsa rogol dan serangan seksual di Amerika. Baru-baru ini kajian oleh National Women Study di Amerika menunjukkan lebih kurang 683,000 wanita menjadi mangsa rogol setiap tahun di Amerika. KEBANYAKAN DARIPADA KES-KES INI MELIBATKAN ORANG YANG DIKENALI TERUTAMANYA KETIKA SEDANG BERDUA-DUAAN DAN BERTEMU JANJI. Justeru, larangan bergaul bebas dan berdua-duaan yang ditetapkan oleh Islam amat relevan dengan dunia hari ini. Larangan ini mendatangkan banyak kebaikan terutamanya bagi kaum wanita.
BAHAYA SEKS KETIKA HAID.
Islam mengharamkan seks ketika waktu haid. Hukum ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid adalah kotoran. Justeru, hendaklah kamu tidak menyetubuhi wanita ketika haid sehinggalah mereka suci daripadanya.” (Surah Al-Baqarah ayat 222) Mengikut Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan yang beribu pejabat di Oregon, risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.
HARAM HOMOSEKS DAN LESBIAN.
Nabi Muhammad bersabda, “Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu ialah perbuatan kaum Lut. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Lut.” (Riwayat Ibn Majah, Tarmuzi dan Al-Hakim) Kaum Lut dihancurkan Allah disebabkan mereka tenggelam dengan perlakuan homoseks di kota Sodom.
ISLAM MENGGALAKKAN PERKAHWINAN.
Berhubung dengan ini Nabi bersabda, “Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka dia bukan dari umatku.” (Riwayat Tabrani & Baihaqi) Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda, “Wahai anak-anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (dari gelojak nafsu.” (Riwayat Bukhari)
CIRI-CIRI SUAMI ISTERI.
Nabi Muhammad bersabda, berhubung dengan kriteria pemilihan isteri, yang bermaksud: “Pilihlah yang mempunyai kebaikan agama, akan selamatlah kamu.” (Riwayat Bukhari-Muslim) Baginda juga tidak melupakan kriteria di dalam pemilihan suami, berdasarkan sabda Baginda, “Jika yang datang meminang anak perempuanmu seorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka terimalah dan kahwinkanlah dia dengan anakmu.” (Riwayat TIrmIzi)
WAJIB MANDI SELEPAS HUBUNGAN SEKS.
Kebersihan diri amat dipentingkan oleh Islam. Umat Islam diwajibkan mandi selepas mengadakan hubungan seks antara suami isteri, walaupun tanpa mengeluarkan air mani, seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad: “Apabila kemaluan bertemu dengan kemaluan, wajiblah mandi.” (Riwayat Tarmuzi) Di dalam riwayat yang lain Nabi bersabda, “Walaupun jika tidak mengeluarkan air mani.” (Riwayat Muslim dan Ahmad) Jika air mani keluar tanpa hubungan seks (sebagai contoh melalui mimpi), mandi tetap diwajibkan.
MANDI WAJIB SAINTIFIK.
Mengikut pakar-pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington, untuk mencegah penyakit jangkitan seksual daripada merebak, hubungan seks perlulah dilakukan hanya dengan mereka yang dipercayai, dan tidak dilakukan secara bebas. Menjaga kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan juga adalah penting. Malah pakar-pakar dari Institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan dari serangan penyakit-penyakit. (Rujuk The Institute for Technology in Health Care, Safer Sex: Reduce Your Risk Of Disease, After-Sex Hygiene, Washington, 2001)
(Untuk perincian sila dapatkan buku Dr. Danial bin Zainal Abidin bertajuk “Perubatan Islam dan Bukti Sain Moden Edisi Ke-2”)
Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin
0 ulasan:
Catat Ulasan