Jutawwan muda, Andrew Stuart Luster, 37, boleh dikatakan antara jutawan bernasib malang di dunia ini hanya disebabkan tiga wanita.
Meskipun memiliki segala-galanya — wang, rumah dan kereta mewah — namun hanya kerana wanita berkenaan, semuanya musnah dalam sekelip mata, termasuk perniagaan kosmetik yang diwarisi daripada keluarganya, Max Factor.
Puncanya daripada nafsu dan disebabkan faktor itu juga, syarikat bernilai berbilion ringgit itu terpaksa menanggung beban hutang yang banyak, malah Luster ‘tersungkur’ kerana tidak mampu menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak.
Itu ‘penangan’ yang dihadapi lelaki kelahiran Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) itu apabila dia didakwa merogol seterusnya memberi dadah kepada tiga wanita dalam kejadian berasingan bermula 1996 hingga 2000.
Meskipun tidak ramai serta tiada wanita menjadi mangsa bunuh lelaki bernafsu buas itu, namun keupayaan wanita terbabit cukup untuk menjadikan diri Luster bankrap, sekali gus merengkok dalam penjara.
Dalam kejadian itu, Luster didakwa memberi dadah jenis Rohypnol atau gamma-hydroxybutate (GHB) yang berfungsi melemah dan mengkhayalkan seseorang.
Apabila sudah tidak bermaya, kesempatan ‘terhidang’ itu digunakan Luster untuk merogol mangsanya, malah dia turut merakam aksi seksnya sebagai koleksi peribadi.
Kes rogol membabitkan Luster dilaporkan berlaku pada 1996, 1997 dan 2000, namun nasibnya malang apabila seorang penuntut kolej yang juga seorang mangsanya berusia 21 tahun membuat laporan polis pada 19 Julai 2000 mendakwa Luster memberinya dadah sebelum merogol.
Penuntut terbabit berkata, Luster memberi GHB dan Ecstasy dalam bentuk cecair sehingga dia tidak bermaya dan lemah sebelum lelaki itu mengambil kesempatan merogolnya.
Berikutan laporan itu, Luster ditahan untuk membantu siasatan bukan satu tetapi kes rogol yang dilakukannya sebelum itu turut terbongkar. Penemuan pita video seks membabitkan Luster dan mangsanya di rumah lelaki itu bertajuk ‘Shauna GHBing’ menjadi bukti penting dalam kes berkenaan.
Pada 2002, Luster dikenakan tahanan rumah sementara menunggu perbicaraan dengan diawasi alat pengesan elektronik bersama wang jaminan AS$1 juta (RM3.5 juta).
Bagaimanapun, dia hanya mampu bertahan beberapa bulan saja sebelum melarikan diri seterusnya meninggalkan AS menuju ke Mexico.
Meskipun Luster melarikan diri, namun mengikut undang-undang California, perbicaraan masih boleh dijalankan. Pada 21 Januari 2003, mahkamah mendapati dia bersalah atas 86 tuduhan jenayah seksual selain dadah.
Pada 18 Februari tahun sama pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 124 tahun membabitkan enam tahun untuk setiap satu daripada 20 tuduhan penggunaan dadah bagi tujuan merogol dan empat tahun atas dakwaan meracun mangsa. Dia juga dikenakan denda AS$1 juta (RM3.5 juta) atas kesalahan berkenaan.
Dalam pada itu, meskipun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman, pihak berkuasa masih meneruskan pencarian ke atas Luster di Mexico. Mereka menggunakan khidmat pakar, Duane Chapman yang turut disertai anaknya, Leland Chapman bersama dua kakitangan sebuah televisyen.
Usaha mereka berjaya apabila Luster berjaya ditemui pada 18 Jun 2003 di sebuah kelab malam di Guadalajara ketika berhibur dengan menggunakan nama samaran ‘David Carrera’.
Keesokannya Luster dibawa ke AS untuk menjalani hukuman penjara di Mule Creek. Di California, dilaporkan tiada kebenaran parol diberikan dan berdasarkan kes Luster, dia mesti menjalani hukuman sekurang-kurangnya 85 peratus atau 105 tahun sebelum boleh dibebaskan jika berkelakuan baik.
Ini bermakna dia hanya boleh keluar atau bebas dari penjara pada Oktober 2108 atau ketika usianya 141 tahun.
Sementara itu, dua mangsa Luster yang mengemukakan saman sivil terhadapnya berjaya dalam tuntutan berkenaan, sekali gus lelaki itu diarahkan membayar jumlah keseluruhan, AS$39 juta (RM136.5 juta).
Disebabkan tidak mampu membayar saman itu selain kos peguam yang ditanggung, Luster akhirnya menjual semua harta yang dimiliki sehingga satu peringkat dia diisytiharkan muflis.
Kes jenayah Luster menarik minat penggiat seni untuk menerbitkan filem berdasarkan kisah benar yang dilaluinya bertajuk, ‘A Date With Darkness: The Trial and Capture.’
Sedikit mengenai kisah hidup sebelum kejadian itu, Luster hidup mewah melalui syarikat gergasi milik keluarga yang diwarisinya.
Dilaporkan, dia pernah memperuntukkan AS$3.1 juta (RM10.8 juta) hanya untuk melancong dan berhibur.
INFO
NAMA: Andrew Stuart Luster
UMUR: 37 tahun (Pada tarikh kejadian - 2000)
LAHIR: 15 Disember 1963, Los Angeles, California, Amerika Syarikat.
JENAYAH: Didakwa atas 86 tuduhan jenayah seksual membabitkan rogol dan penyalahgunaan dadah.
HUKUMAN: Luster didapati bersalah memberi dadah sebelum merogol tiga wanita dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 124 tahun atas pelbagai kesalahan terutama jenayah seksual.
0 ulasan:
Catat Ulasan