Adab Melakukan Hubungan Seks

Naluri, nafsu dan syahwat dianugerah Tuhan kepada manusia supaya mereka dapat berpasangan dan membiak melalui hubungan seksual.

Perbezaan manusia dengan haiwan daripada segi hubungan seksual ialah manusia boleh melakukannya pada bila-bila masa, tetapi haiwan hanya mengikut waktu khusus atau waktu ‘estrus’.

Mereka yang baru baligh juga mahu mencuba tanpa menyedari tanggungjawab dan risiko jika hubungan seks disalah laku.

Di sebalik itu, ada pasangan yang sudah berumahtangga tidak dapat melakukan hubungan seksual kerana belum bersedia atau takut gagal atau sakit, dengan ada juga pasangan tidak tahu cara memulakannya.

Perkara ini agak janggal kerana kini wujud pelbagai maklumat dan panduan, baik dalam bentuk buku atau tayangan video, untuk mulakan hubungan kelamin, selain di internet lengkap dengan gambar sekali. Justeru, tiada sebab kenapa pasangan tidak dapat melakukannya.

Buku panduan mengenai persetubuhan sudah lama wujud. Buku seperti ‘Kama Sutra’ oleh pendita India, Vatsayana dan buku bertajuk ‘Kebun Harum’ atau ‘Perfume Garden’ oleh ahli falsafah Ialam, Sheikh Nefzawi, dan yang terbaru ‘The Joy of Sex’ oleh Alex Comfort mampu memberi pembaca panduan mengenai cara dan gaya bersetubuh, termasuk cara memulakannya.

Panduan jimak dalam Islam juga diketengahkan oleh Imam Al-Suyuti dan Al-Nawawi. Malah, Rasulullah SAW menjelaskan, jimak itu ibadah dan ada tertibnya, termasuk kebersihan badan dan adab bersetubuh.

Hubungan seksual ini hanya untuk pasangan berkahwin dan hukumnya haram bagi yang tidak. Tiada batasan untuk pasangan suami isteri melakukan hubungan kelamin, kecuali ketika isteri haid dan melakukannya melalui dubur.

Suami perlu melakukan belaian dan sentuhan supaya isteri bersedia menerima kemasukan zakar ke dalam faraj dan jika suami tidak melakukan itu dan masuk tanpa isteri bersedia, si suami dilaknati Tuhan.

Jadi hubungan seksual dalam pandangan Islam adalah satu ibadah dan tanggungjawab yang perlu dimanfaatkan oleh pasangan, sekali gus mustahak untuk mereka berusaha menjayakannya.

Mungkin tips untuk memulakan hubungan keintiman seksual bermula dengan pasangan dalam keadaan selesa dan mesra. Mereka boleh mulakan dengan sentuhan dan belaian sambil melakukan kucupan dan sentuhan erotik ke bahagian tubuh yang merangsangkan.

Dalam keadaan terangsang, tentu suami mencapai ereksi dan isteri mengalami kelembapan anggota sulit. Dalam keadaan bersedia, lebih mudah untuk suami dan isteri memainkan fungsi masing-masing dengan lebih lancar.

Jika isteri cemas atau ‘seriau’ (bimbang), dia tidak dapat mengawal faraj dan sukar untuk suami mendekatinya kerana faraj dalam keadaan kemut. Keadaan ini dikenali sebagai ‘vaginismus’.

Hubungan keintiman dalam perkahwinan dapat mengeratkan silaturahim antara pasangan jika hubungan itu selesa, mesra dan menyeronokan.

Suami perlu melakukan sentuhan intim yang dapat menimbulkan keseronokan isteri. Apabila isteri dalam keadaan terangsang, pastikan ereksi disalurkan apabila isteri bersedia dan bukan sebelum itu.

Isteri perlu memberi isyarat yang dia bersedia untuk hubungan seksual penetrasi dan suami pastikan gerakan dilakukan secara terkawal.

Jika suami terpancut awal, pastikan dia dapat mengulangi hubungan seksual itu kemudian kerana kemungkinan ejakulasi cepat berlaku kali kedua jarang berlaku.

Isteri jangan rasa tertekan jika suami masih gagal mengawal daya saraf untuk mengekalkan daripada ejakulasi cepat. Mungkin apabila sensitiviti anggota kemaluannya dapat dikurangkan, lama-kelamaan suami dapat memanjangkan sentuhan intim itu dan dapatlah isteri menikmati kepuasan.

Suami perlu merujuk kepada doktor jika dia masih tidak dapat mengawal daya ejakulasi dan kekal dengan keadaan cepat klimaks.

Pasangan wanita perlu faham suami yang masih baru dalam hal hubungan seksual perlu masa untuk mengawal diri dan perasaan syahwat untuk mengatasi keadaan cepat klimaks itu.

Kadangkala suami tidak tahu dia cepat klimaks jika perkara itu tidak dijelaskan kepadanya. Dalam kajian yang pernah dijalankan pakar seksual, kebanyakan lelaki klimaks selepas dua minit jika dikira dari waktu geselan kemaluan dilakukan sehingga kemuncak.

Ada juga keadaan yang mana isteri dapat mencapai klimaks dengan cepat dan kerap serta mudah terasa letih sebelum suami selesai klimaks.

Jadi soal klimaks cepat boleh berlaku dua hala! Jika suami cepat klimaks, suami perlu diberitahu dan diajak berjumpa doktor untuk pemantapan fungsi syahwat. Rawatan moden sedia ada dapat menangani masalah dengan baik.

Perlu diingatkan, pasangan tidak digalakkan berjumpa dukun atau tukang urut yang boleh memanjangkan masalah itu dengan rekaan dan cerita karut mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular