Masalah Seksual Perempuan

Acap kali kita mendengar perbincangan tentang masalah seksual di kalangan lelaki seperti gangguan ereksi atau ketegangan, disfungsi ereksi (ED) atau mati pucuk, ejakulasi pramatang, lemah tenaga batin, keabnormalan alat kelaimin dan lain-lain lagi.

Apa pula halnya dengan wanita? Dalam pada disfungsi seksual lelaki menarik perhatian ramai baik dari segi penyelidikan mahupun perkembangan rawatannya, disfungsi seksual wanita atau lebih popular sebagai FSD, umpama melukut di tepi gantang – dipinggirkan oleh majoriti komuniti perubatan.

Hakikatnya, ramai wanita yang menderita. Jurnal Persatuan Perubatan Amerika melaporkan, lebih 43 peratus (kira-kira 40 juta) warganitanya ada mengalami beberapa bentuk gangguan seksual.

Malah, setiap wanita dipercayai mengalami FSD sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka.

Ia termasuklah pelbagai gangguan berkaitan keinginan syahwat, rangsangan/kebangkitan semasa hubungan kelamin, masalah mencapai orgasma atau kemuncak mahupun sakit ketika bersama suami.

Adakah anda pun sama? Jika ya, anda tidak berseorangan dan berita baiknya, ia boleh dibantu.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor, perbincangan mengenai hubungan seksual bukan lagi satu pantang larang di kalangan wanita.

Malah, isu ini perlu dibincangkan untuk menyerlahkan lagi hubungan suami isteri.

‘‘Keseksualan bukan sahaja merangkumi praktis seks tetapi perkara-perkara lain seperti bagaimana anda melihat diri sendiri, perhubungan dengan suami, bagaimana anda menggambarkan diri kepadanya, pengalaman hubungan lampau serta perhubungan harian juga akan mempengaruhi aktiviti serta kepuasan hubungan seks.

‘‘Minat serta rangsangan terhadap gerak balas seks mempunyai darjah yang berbeza-beza. Kebanyakan wanita mendapat gerak balas kemuncak pada umur lewat 30-an dan awal 40-an,’’ ujarnya.

Beliau berkata, kualiti pengalaman wanita turut dipengaruhi oleh variasi individu, situasi kehidupan semasa, umur, paras hormon dan tahap kesihatan mereka.

Masalah seksual berlaku apabila kepuasan hubungan serta aktiviti seks wanita terganggu atau lebih dikenali sebagai disfungsi seksual wanita (FSD).

Untuk memahaminya, kitar gerak balas seksual perlu difahami. Kitaran ini sama sahaja di antara wanita dan lelaki cuma bezanya dari segi perkadaran serta perubahan fizikal.

Umumnya, kitaran terbahagi kepada empat fasa iaitu fasa keghairahan/kehendak, fasa kebangkitan, fasa orgasma dan fasa resolusi.

Permasalahan seksual

Permasalahan seksual berlaku apabila wanita tidak mencapai salah satu daripada fasa-fasa di atas sehingga menjejaskan hubungan dengan suami dan mengalami kemurungan. Ia terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Kurangnya minat serta kehendak. Ini akan mematikan kitaran fasa seksual sebelum ia bermula. Masalah ini mungkin bercorak sementara tetapi ada juga yang berkekalan. Pasangan anda juga mungkin mengalaminya.

2. Kesulitan dari segi rangsangan, mengambil masa yang terlalu lama dan mungkin gagal mencapai orgasma. Lambat-laun, keadaan ini akan menyebabkan satu lingkaran yang buruk dan akhir sekali menyebabkan wanita menderita.

3. Sakit semasa melakukan hubungan kelamin (dispareunia). Kesakitan sama ada pada kawasan luaran ataupun dalaman. Banyak penyakit yang berkaitan dengan sakit puan boleh memberikan kesakitan ini.

Penyebab-penyebab disfungsi seksual wanita

1. Masalah perhubungan. Perbezaan ketara di antara puan dan suami mungkin disebabkan oleh pembahagian tugas berbeza, cemburu, masalah kewangan, kesibukan kerja, berbalah tentang anak, isu-isu pengawalan, ego dan penderaan. Campur tangan orang lain dalam hubungan suami isteri.

2. Masalah emosi. Kemurungan dan keresahan boleh mengganggu kesejahteraan hubungan anda, begitu juga dengan rasa bersalah, bimbang atau cemas.

3. Kurang rangsangan terutamanya bagi pasangan yang masih muda. Suami mungkin tidak tahu akan fasa-fasa rangsangan seksual serta bahagian-bahagian anatomi jantina yang boleh mendorong rangsangan secukupnya. Tiadanya komunikasi yang baik di antara pasangan mungkin mencetuskan isu ini.

4. Masalah sakit puan seperti:

* Kekeringan faraj. Dr. Shah Reza memberitahu: ‘‘Sekiranya anda masih muda, ini mungkin disebabkan oleh rangsangan yang tidak mencukupi tetapi untuk mereka yang sudah matang dan berusia, ia mungkin berpunca daripada perubahan paras hormon.

‘‘Kekeringan menyebabkan ketidakselesaan hubungan kelamin sekali gus membantutkan rangsangan. Ubat-ubatan preskripsi juga mungkin boleh memberikan kesan sampingan,’’ jelas beliau.

* Vaginismus. Kekejangan pada otot-

otot faraj menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin. Ketakutan terhadap hubungan juga boleh mengakibatkannya. Faraj yang sepatutnya melebar semasa terangsang sekarang menyempit dan tidak membenarkan kemasukan organ pembiakan suami

Penyebab-penyebab lain vaginismus termasuklah luka-luka bersalin, bekas pembedahan di kawasan faraj dan juga luarannya, sejarah penganiayaan seks semasa kecil, infeksi genitalia/alat kelamin ataupun penggunaan ubat-ubat seperti larutan pencuci faraj, iritasi/rengsa kondom dan mungkin juga bahan kimia spermisidal/agen pemusnah sperma

* Penyakit tularan seks. Penyakit-penyakit yang disebarkan melalui hubungan kelamin seperti siflis, gonorea, klamidia, herpes dan ketuat di organ kelamin adalah antara penyakit yang menyebabkan perubahan pada organ kelamin dan seterusnya menyebabkan kesakitan dan rangsang tidak optimum

* Vaginitis. Radang atau rengsa pada tisu-tisu faraj dan sekelilingnya menyebabkan hubungan kelamin tidak selesa dan menyakitkan

* Endometriosis. Ketumbuhan pada organ pinggul, parut-parut pembedahan. Semua ini menyebabkan penyumbatan serta halangan terhadap aktiviti hubungan kelamin

* Penyakit keradangan pada organ pembiakan wanita. ‘‘Apabila infeksi berlaku pada rahim, tiub-tiub falopio dan ovari menyebabkan menjeleket (melekat) pada bahagian-bahagian tersebut dan seterusnya perubahan fizikal mereka.

‘‘Dalam hubungan kelamin normal, terdapatnya pergerakan organ-organ tersebut dan apabila ini berlaku di persekitaran yang abnormal, kesakitan serta ketidakselesaan boleh berlaku,’’ kata Dr. Shah Reza.

* Kerosakan saraf selepas pembedahan. Kadangkala pembedahan yang sukar serta rumit boleh mencederakan saraf-saraf kecil. Ini akan menenggelamkan sensasi serta berahi

5. Keadaan fizikal wanita. Hubungan kelamin memerlukan tubuh badan yang sihat, menyerupai mana-mana sukan bercorak fizikal. Anda disarankan banyak bersenam atau beriadah agar tubuh badan sentiasa sihat dan segar.

Banyak keadaan-

keadaan fizikal yang dikaitkan seperti letih dan lesu; penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hepar/hati, buah pinggang dan juga jantung; kanser; penyakit neurologi; keabnormalan aliran darah dan vaskular; ketidakseimbangan hormon; menopaus; mengandung; penyalahgunaan alkohol dan juga dadah.

6. Ubat-ubatan preskripsi. Banyak ubat-

ubat preskripsi yang mencacatkan nafsu, keinginan serta kebangkitan seperti ubat antikemurungan, antipsikotik, ubat darah tinggi, kemoterapi.

7. Rawatan perubatan, seperti radioterapi. Ini boleh menyebabkan kelinciran faraj terbantut manakala kulit-kulit dan tisu-tisu di bahagian faraj dan luaran menjadi sakit dan sensitif.

8. Sejarah penderaan. Mungkin pada masa dahulu, terang Dr. Shah Reza, seseorang wanita itu mempunyai sejarah dianiayai. Jadi dalam hubungan semasa, mereka menjadi takut serta cemas, masih terbayang-bayang episod lampau lalu menenggelamkan minat, seterusnya fasa-fasa seksual wanita puan.

9. Sikap terhadap seks. Mungkin wanita tidak pernah berpengetahuan mengenai isu-

isu seks disebabkan oleh cara dibesarkan di mana isu-isu seks dikaitkan dengan sesuatu yang kotor dan berdosa sekiranya dibincangkan.

‘‘Media massa turut memainkan peranan dalam mempengaruhi wanita dan pasangannya dalam isu-isu seksual, harus ingat bukan semua maklumat yang disampaikan itu benar dan boleh dipercayai tanpa apa-apa perbincangan.

‘‘Ada tabloid-tabloid yang menyiarkan artikel-artikel jenayah seksual keterlaluan sehinggkan wanita takut berhubungan dengan suami,’’ kata Dr. Shah Reza.

Tambahnya, terdapat juga filem-filem yang menggambarkan seks sebagai sesuatu yang luar dari alam nyata sehingga mempengaruhi seseorang untuk mencapai sesuatu yang luar biasa.

Apabila ia tidak berlaku, wanita menganggapnya satu kelemahan. Lebih malang lagi, ia menjadikan hubungan mereka tandus.

10. Masalah dengan suami. Sekiranya suami anda bermasalah dari segi seksual dan juga kesihatannya, ia akan memberikan kesan langsung terhadap isteri.

Langkah-langkah bersama yang boleh diambil

Dengan pemikiran terbuka dan sedikit kreativiti, permasalahan seksual boleh diselesaikan. Yang penting anda dan suami haruslah berbincang sesama sendiri supaya perhubungan yang terjalin menjadi lebih sihat, segar dan tegar untuk tahun-tahun selanjutnya.

* Banyak permasalahan akan pergi dan hilang dengan sendirinya. Kesabaran serta kefahaman yang diperlukan

* Puan serta suami sebaik-baiknya berbincang sesama sendiri mengenai isu-isu perhubungan seksual. Setelah sekian lama berkahwin, adalah satu masalah besar sekiranya tuan dan puan masih malu-malu. Jangkaan seksual masing-masing perlu diterokai supaya kesejahteraan seksual tercapai

* Jadikan penyelesaian ke arah kreativiti dan menyeronokkan. Fikirkan cara mana untuk menambahkan berahi serta rangsangan dalam hubungan seksual

* Kadangkala, berbulan madu sekali lagi tanpa kehadiran anak-anak boleh menyemarakkan hubungan seksual

* Penggunaan bendalir lubrikasi/pelincir untuk mengurangkan kekeringan di faraj

* Membaca banyak buku-buku dorongan ke arah hubungan seksual yang lebih menyeronokkan

* Kongsi fantasi seksual anda dengan suami dan begitulah jua sebaliknya, ini mengubah kehidupan rutin seksual kalian berdua

* Perbanyakkan sentuhan dan urut-urutan sensual. Jangan terlalu gelojoh

* Kedudukan serta senario hubungan kelamin yang lain dari rutin.


Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular