Mangsa Ilmu Hitam GRO

“Saya bagaikan lembu dicucuk hidung. Apa saja kemahuannya, saya turuti. Jika dia bersama rakannya, saya diperbodohkan. Kepala saya ditolak, kaki saya disepak, tetapi saya sedikitpun tidak marah.”

Begitulah pengakuan seorang ‘mangsa’ ilmu hitam GRO yang sehingga kini masih bersama temannya.

Mahu dikenali sebagai Izwan, 28, lelaki ini mengakui, sejak mengenali seorang GRO ketika berkunjung ke sebuah kelab malam dua bulan lalu, tidak kira siang atau malam, fikirannya hanya tertumpu kepada GRO itu.

“Kehidupan saya jauh berubah. Saya memang jenis suka bersosial, tetapi kini saya seperti ‘orang bodoh’. Kerja terganggu dan wang pula sentiasa habis gara-gara diberi kepada GRO itu,” katanya.


Menurut Izwan, sebelum mengenali GRO itu dia mengakui gemar melanggan pelacur dan sesekali ke kelab malam melanggan GRO, tetapi tidak sampai ke tahap melakukan hubungan seks.

“Ketika melanggan pelacur, tidak pula saya berasa apa-apa. Saya langsung tidak ingat kepada pelacur yang dilanggan.

“Bagaimanapun, selepas melanggan seorang GRO dua bulan lalu sehingga sampai ke bilik tidur, pulang saja ke rumah saya menjadi seperti orang ‘angau’.

“Saya asyik teringatkan wajahnya dan mahu bertemunya. Kesudahannya setiap hari saya bertemunya dan menagih seks daripadanya,” katanya.

Izwan berkata, pada mulanya GRO itu melayannya dengan baik, menyebabkan dia tidak mengesyaki apa-apa.

Bagaimanapun, katanya, selepas tiga minggu bersama, GRO itu mula menunjukkan ‘belangnya’.

“Saya menjemputnya pergi dan balik kerja. Jika dia hendak ke mana sekalipun, saya menghantarnya sehingga kadangkala terpaksa ponteng kerja dan ‘curi tulang’.

“Dulu jangan harap saya nak buat begitu kepada ‘beberapa’ teman wanita saya walaupun dipujuk rayu. Bagaimanapun, kini apa saja arahan GRO itu saya patuh,” katanya.

Menurut Izwan, apabila keluar berhibur bersama rakan, GRO itu kerap memperlakukan pelbagai perkara yang menjatuhkan maruahnya sebagai lelaki.

“Jika kami keluar bersama rakan, saya diperbodohkan. Apabila tidak puas hati dengan saya, kepala saya ditolak dan saya juga ditendangnya.

“Bagaimanapun, saya sedikitpun tidak marah. Keadaan saya itu menimbulkan perasaan sangsi di kalangan rakan sehingga kebanyakan daripada mereka menyuruh saya berubat kerana bimbang terkena ilmu hitam,” katanya.

Izwan berkata, dia enggan mempercayai apa yang diperkatakan rakannya, sebaliknya menuduh rakannya iri hati dengan hubungannya bersama GRO itu.

“Satu hari seorang rakan memberitahu mahu mengajak saya keluar ‘melepak’, tetapi rupa-rupanya saya dibawa menemui seorang pengamal perubatan tradisional.

“Mahu tidak mahu saya biarkan diri saya diperiksa. Pengamal perubatan tradisional itu memberitahu, memang saya terkena ilmu hitam kerana GRO yang menjadi teman saya memakai susuk di beberapa bahagian tubuhnya, termasuk kemaluan,” katanya.

Menurut Izwan, dia enggan percaya apa yang didakwa pengamal perubatan tradisional itu, tetapi pada masa sama mengakui sedar dirinya dipergunakan GRO itu.

“Entahlah... ketika bertemu kamu (wartawan Metro Ahad), saya boleh bercerita mengenai masalah saya. Bagaimanapun, saya tetap mengingati GRO itu dan mahu sentiasa bersamanya. Apabila bersama, apa yang dilakukannya walaupun keterlaluan, saya boleh menerimanya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa berstatus suami orang berdepan pengalaman lebih tragis apabila sanggup membiarkan isteri dan seorang anaknya yang masih kecil terkontang-kanting meneruskan hidup.

Mahu dikenali sebagai Imran, 35, dia menempuh tempoh setahun yang menyeksakan selepas melanggan seorang GRO di sebuah kelab di Utara ketika bertugas di luar kawasan.

“Niat saya hanya mahu ‘suka-suka’ dan berhibur, tetapi terlanjur sehingga ke bilik tidur.

“Apabila pulang ke Kuala Lumpur, fikiran saya asyik teringat kepadanya, sehingga satu ketika sanggup memandu ke Utara seorang diri semata-mata untuk bertemunya.

“Beberapa hari saya tidak pulang ke rumah dan ponteng kerja. Pulang ke rumah, isteri dan anak tidak saya pedulikan,” katanya.

Menurut Imran, rumah tangganya berantakan kerana hampir semua masanya dihabiskan bersama GRO itu.

“Selama setahun saya mengabaikan isteri, anak dan berhabis wang saya ditinggalkan GRO itu. Seperti orang gila, saya merayu supaya meneruskan hubungannya dengan saya dan saya sanggup mengahwininya pada bila-bila masa, tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Menurut Imran, dalam keadaan sedemikian, isteri dan keluarganya tetap membantu dengan membawanya berubat.

“Saya dikatakan terkena ilmu hitam. GRO itu dikatakan memakai susuk berlian di kemaluannya, menyebabkan kali pertama mengadakan hubungan seks dengannya, saya asyik mengingatinya.

“Gara-gara susuk itu juga saya menjadi seperti ‘orang bodoh’ dan mengikuti apa saja kemahuannya. Kini, saya masih dalam proses berubat,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular