Sudah menjadi lumrah, manusia yang berpasangan dan berkeluarga akan menikmati hubungan keintiman seks kerana ia bukan saja penting untuk mendapatkan zuriat, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim suami isteri.
Bagaimanapun, untuk menjayakan hubungan seksual, seseorang itu harus ada keyakinan diri terhadap tahap kesihatan mereka. Bagi yang mendapati ada 'masalah dalaman', perkara sebaik-baiknya ialah merujuk dan mendapatkan rawatan doktor.
Mendiamkan diri tanpa berbuat apa-apa apabila berasa sesuatu tidak kena terhadap tahap kesihatan mereka bukan saja tidak digalakkan, tetapi berbahaya.
Malah, bersikap terbuka dan tidak menyorok masalah dengan berlagak seperti tiada apa berlaku dapat menyelamatkan tekanan ke atas diri sendiri dan pasangan.
Tiada sebab individu yang mengalami masalah penyakit jantung tidak dapat berfungsi sebagai individu yang normal daripada segi kemampuan batinnya jika penyakitnya mendapat rawatan.
Jika dia dapat melakukan aktiviti harian dan dapat menaiki tangga tanpa terasa kepenatan atau sesak nafas, hubungan kelamin mampu dilakukannya selagi dia boleh mencapai ereksi.
Sebahagian besar lelaki yang mengalami sakit jantung tidak mampu mencapai ereksi yang mencukupi, sama ada ereksi tidak kekal atau tiada langsung, walaupun sangat terangsang.
Malah, lelaki berusia 40 tahun ke atas yang kerap mengalami masalah ereksi perlu diperiksa untuk memastikan sama ada mereka ada penyakit jantung.
Bagaimanapun, tiada sebab lelaki yang selesai menjalani pembedahan pemintasan jantung tidak dapat melakukan hubungan seksual kerana kesihatan tubuhnya pulih, melainkan jika dia mengalami Disfungsi Erektil (DE) yang mana mereka perlu mendapatkan rawatan.
Jika isteri yang sihat mendapati sesuatu tidak kena dengan suami, tidak salah untuk bertanya perkara itu kerana tiada sebab untuk pasangannya menyembunyikan masalah kelemahan syahwatnya hanya untuk menutup aib.
Selain kesihatan jantung, banyak masalah kesihatan boleh menggugat kemampuan syahwat lelaki seperti tua. Kemungkinan lelaki berumur 40 tahun mengalami DE ialah 40 peratus.
Hormon testosterone didapati memainkan fungsi mengukuhkan keaktifan otot zakar dan tindak balas ereksi, dan ini juga menurun apabila usia lelaki mencapai 40 tahun ke atas.
Semua masalah ada rawatan dan yang mustahak ialah untuk lelaki itu berjumpa doktor. Ubat PDE-5 Inhibitor saperti Viagra, Cialis dan Levitra dapat membantu melancarkan darah ke dalam otot zakar ketika hendak melakukan persetubuhan.
Ubat ini tidak boleh makan bersama ubat 'Nitrate' yang biasa diberi kepada lelaki yang sakit jantung. Biasanya Nitrate tidak lagi diperlukan lelaki yang menjalani pemintasan darah kepada jantung.
Selain ubat ini, ada pendekatan lain seperti terapi suntikan Kavernosa dengan ubat Caverject. Pam vakum juga sesuai jika tiada cara lain. Yang mustahak ialah lelaki itu berjumpa doktor dan bukan segala 'pak karut' atau tukang urut. Sampai masanya rawatan DE dikendali melalui rawatan moden.
DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby
0 ulasan:
Catat Ulasan