Sebagai seorang ketua keluarga, Fariz tidak pernah lupa untuk menjalankan tanggungjawabnya. Apa sahaja yang diminta oleh isteri dan anak-anak akan cuba dipenuhi. Bagi Fariz, jika dia tidak menunaikan permintaan mereka, siapa lagi yang boleh diharapkan. Tapi di sebalik kebahagiaan yang dimiliki, ramai yang tidak tahu akan rahsia yang dimiliki oleh Fariz. Sebagai seorang lelaki, Fariz boleh dikategorikan sebagai lelaki yang mempunyai nafsu yang tinggi.
Pada mulanya Fariz tidak menyedari sikapnya itu. Semuanya bermula ketika Fariz dibawa oleh salah seorang kenalan bisnesnya ketika mereka keluar meraikan kejayaan syarikatnya. Pada mulanya Fariz enggan ke kelab hiburan eksekutif sebegitu. Namun setelah dipujuk berkali-kali, cair hati Fariz juga dengan pelawaan tersebut. Dalam hati Fariz berkata, kalau setakat pergi melihat apa salahnya. Tidak ada ruginya.
Maka bermulalah episod baru dalam kehidupan Fariz. Setelah pertama kali kenal dengan kelab hiburan sebegitu, Fariz terasa suatu perbezaan berlaku dalam dirinya. Dia terasa gembira dengan apa yang dilakukannya. Malah Fariz terasa layanan yang diterima daripada pelayan wanita ataupun GRO di kelab tersebut melebihi layanan yang diberikan isterinya.
Sejak mula mengenali kehidupan baru ini, Fariz akan cuba untuk mengunjunginya setiap kali ada peluang. Jika pertama kali pergi, Fariz pergi bersama kenalan bisnesnya, tetapi kali ini dia berani pergi seorang diri. Apa yang membuatkan Fariz seronok berada di sana ialah, sekiranya mahu melakukan hubungan intim dengan wanita di kelab tersebut, dia boleh melakukannya pada bila-bila masa sahaja. Jika ada wang, semuanya boleh berlaku.
Kegiatan baru Fariz ini tidak dapat dihidu oleh isterinya. Baginya, rahsia tetap rahsia. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Itulah yang diberitahunya kepada kenalan bisnesnya.
Apabila sering berkunjung ke kelab eksekutif dan sering mendapat 'khidmat khas' di sana, nafsu Fariz mula menjadi kuat. Sebagaimana dia dilayan oleh wanita di kelab, begitu jugalah dia mahu isteri melayaninya.
Pada mulanya isteri Fariz terkejut dengan keinginan suaminya itu. Sebagai isteri, dia menurut. Apa yang diingini Fariz akan cuba ditunaikan. Tetapi Fariz tidak pernah puas dengan apa yang diberikan oleh isterinya. Jika isterinya tidak memberi kepuasan, Fariz mula pandai untuk mengangkat tangan memukul isterinya.
Apabila Fariz mula berani angkat tangan, isterinya mula sedar akan perubahan suaminya. Demi anak-anak, isteri Fariz tidak berbuat apa-apa. Mungkin lain kali Fariz tidak akan buat lagi perangai. Itulah fikir isterinya.
Namun setelah muka dan badannya lebam-lebam setiap kali keinginannya tidak dipenuhi isteri Fariz mula tidak tahan. Tanpa pengetahuan Fariz, isterinya telah lari ke rumah ibu bapanya dan mengadu kepada ahli keluarganya. Apabila mendengarkan perangai Fariz itu, ibu bapa isterinya amat terkejut dan amat marah.
Disebabkan tidak mahu anak mereka diperlakukan sedemikian, orang tua isterinya telah memanggil Fariz untuk meminta penjelasan. Ketika itu Fariz terkejut bila memikirkan bagaimana mentuanya tahu akan sikap buruknya itu.
Setelah disoal Fariz pada mulanya menafikan perlakuan terhadap isterinya. Teapi setelah bukti ditunjukkan oleh isterinya, Fariz tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksalah dia mengiyakan kebenaran yang selama ini menjadi rahsianya.
Apabila mentuanya bertanyakan kepada Fariz apa yang membuatkan Fariz bersikap sebegitu, Fariz terdiam. Setelah dinasihati dan dipujuk oleh mentuanya, barulah Fariz menceritakan segalanya. Kata Fariz dia tidak puas dengan layanan isterinya. Dia mahukan isterinya melayani nafsu batinnya sebagaimana yang dilakukan oleh wanita di kelab malam.
Terkejut mentua Fariz dengan pengakuan menantunya itu. Walaupun pada mulanya tujuan mentua Fariz berbincang agar menantu dan isterinya boleh berbaik-baik semula tetapi setelah mendapat tahu bahawa Fariz bukan setakat memukul isteri tetapi juga curang dalam perkahwinan yang telah dibina selama 10 tahun itu, tidak ada jalan penyelesaian lain daripada meminta Fariz untuk melepaskan anak mereka.
Fariz merayu agar isterinya tidak menurut kata ibu bapanya dan kekal bersamanya. Namun kerana sudah terluka dengan sikap Fariz, isterinya bersetuju dengan akur ibu dengan kata ibu bapanya. Malah kata isterinya, dia tidak sanggup lagi bersama Fariz setelah mengetahui bahawa suaminya curang.
Sumber: Mingguan Wanita
0 ulasan:
Catat Ulasan