Seperti biasa, William Tan, 36, akan bangun seawal pagi untuk melakukan aktiviti sukan yang paling digemarinya, berjoging. Lumrah bagi sebahagian besar warga kota, aktiviti seumpama ini tidak lain semata-mata pelaburan untuk kesihatan.
Tetapi, lain pula ceritanya dengan William. Inilah kesempatan baginya untuk melakukan `hobi' lama yang telah ditinggalkannya.
Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya jika dia gagal menghendap atau mengintip mangsanya ketika mandi. Itulah hobinya. Sekalipun menyedari apa yang dilakukannya bakal mengundang risiko, namun William nekad.
Paling penting, hobi seumpama ini dapat memenuhi tuntutan nalurinya. Dia berasa puas jika dapat menghendap atau mengintip orang mandi. Bapa kepada tiga anak ini seolah-olah merasakan ada `kewajarannya' dia berjinak-jinak dengan hobi ini.
Tuntutan nafsunya seakan-akan berjaya dipenuhi apabila William dapat melihat tubuh mangsanya. Sebelum pulang, William akan memastikan dia tidak pulang ke rumah dengan `tangan kosong'. Puas menghendap, hobinya akan berakhir dengan tabiat onani. Itulah kepuasan mutlak baginya.
Aktiviti berjoging semakin ceria apabila saban hari dia berjaya mencari mangsa untuk diintai ketika mandi. Dengan erti kata lain, William telah menjadi ketagih dengan `hobi' ini.
Tidak cukup dengan itu, di pejabat tempat dia bekerja, William juga mempunyai aktiviti lebih `hebat'. Dia akan mencuri-curi peluang untuk memasuki tandas wanita. Bukan untuk membuang air kecil atau besar, sebaliknya mempunyai misi memuaskan nafsunya.
Di tandas wanita, dia menjalankan aktiviti menghendap yang lebih `mencabar'. Dengan menyembunyikan diri, William akan memastikan dia dapat melihat gerak-geri dan `aksi-aksi wanita' yang menggunakan tandas menerusi pantulan logam siling yang berkilat. Hasil pemerhatiannya, dia mula berfantasi.
Dia akan duduk berkurung di tandas wanita sehingga sekurang-kurangnya sejam dan menamatkan misinya dengan beronani. Apabila yakin sudah tiada orang dalam tandas, dia akan keluar. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Hobi yang menjadi `rutin' ini, akhirnya terbongkar apabila dia ditangkap pihak polis. Bagi mengelakkan masalah bertambah rumit, William bersetuju untuk mendapatkan bantuan pakar berhubung masalah yang dihadapinya.
Setelah dirujuk kepada pakar, William mengakui bahawa dia begitu gemar menghendap dan mengintai jirannya atau memasuki tandas wanita untuk tujuan yang sama sejak usia remaja lagi. Bagaimanapun, setelah meningkat dewasa dan berumah tangga, dia berjaya mengawal diri, sekali gus meninggalkan hobi tersebut.
Namun, konflik yang melanda rumah tangganya, sedikit sebanyak mendorong William mencari jalan keluar dengan mengulangi tabiat lamanya. ``Apabila isteri menuduh saya mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak, saya berasa tertekan, secara tidak langsung saya terdorong mengulang tabiat yang telah lama saya tinggalkan,'' katanya.
Dengan bantuan terapi tingkah laku, William berjaya mengurangkan `hobinya'. Bagaimanapun, isterinya, Anne harus memainkan banyak peranan. Bagi mengurangkan kecenderungan dan ketagihan tabiat lama suaminya, Anne terpaksa `melakonkan' watak seperti diingini suaminya.
William, akan mengintai atau menghendap ketika Anne sedang mandi atau berada di tandas. Pada masa yang sama, Anne juga memberi banyak perhatian kepada suaminya jika William berjaya `mengurangkan' tabiat lamanya.
Menurut pakar, sekalipun William mempunyai latar belakang pekerjaan yang baik, namun keyakinan dirinya agak rendah. Kemahiran komunikasi interpersonalnya juga agak terhad, sehinggakan usaha untuk mencari `teman hidup' yang kini menjadi isterinya diusahakan oleh kedua-dua ibu bapanya.
Masalah yang dihadapi oleh William, dikategorikan sebagai salah satu daripada pelbagai jenis ketagihan seks. Secara dasarnya, ketagihan seks ini merupakan satu masalah abnormal akibat tidak dapat menahan keinginan atau nafsu.
``Bagi melepaskan tuntutan nafsu ini, mereka akan melakukan sesuatu seperti menonton cakera padat video (VCD) lucah, melayari laman web lucah, mengintai atau menghendap orang mandi dan sebagainya. Melalui cara ini, mereka akan berfantasi seolah-olah mereka yang melakukannya, terangsang dan menikmatinya dengan masturbate,'' demikian menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Mohd. Zain.
Menurut beliau, seseorang itu dikategorikan ketagihan seks apabila mereka melakukan sesuatu aktiviti seperti merangsang nafsu mereka dengan kerap. Sekalipun si pelaku sedar apa yang dilakukan adalah salah dan berusaha tidak meneruskan `tabiat' ini, mereka sering kali gagal.
``Setiap kali melakukan perbuatan ini, mereka sering mengatakan itu adalah yang terakhir, tetapi biasanya mereka tetap mengulanginya,'' jelas beliau.
Ketagihan seks, katanya sama seperti ketagihan berjudi, minum minuman keras, ganja, dadah dan sebagainya. Kesemua ini memudaratkan kepada yang menghidapnya. Ketagihan seks melalui laman web, majalah, VCD lucah dan sebagainya, dikategorikan sebagai salah satu jenis ketagihan baru.
Hampir sebahagian besar mereka yang menghadapi masalah ini adalah lelaki. Mereka yang terlibat biasanya tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk berhubung (kemahiran interpersonal) dengan orang lain.
``Rata-rata di kalangan mereka ini, tidak dapat membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan secara normal. Dengan sebab itulah mereka sering berfantasi bahawa diri mereka melakukan aktiviti tersebut sekali gus merangsang nafsu seks,'' ujarnya.
Begitu juga dengan mereka yang gemar chatting, ia juga diklasifikasikan sebagai sejenis masalah ketagihan. Lebih membimbangkan, kata Azhar jika dahulu ketagihan ini hanya dapat dilepaskan melalui aktiviti seperti menghendap, mengintai atau melihat majalah-majalah lucah tetapi hari ini proses itu lebih mudah.
Ini kerana pada hari ini, terdapat kemudahan Internet serta VCD lucah yang berleluasa di pasaran. Meskipun, golongan ini tidak mengganggu orang lain untuk melepaskan ketagihan dan mendapat kepuasan dengan onani namun mereka perlu dibantu.
``Ketagihan seks ini sebenarnya mengganggu rutin harian kerana terpaksa memenuhi tuntutan nafsu dengan kerap onani. Sebagai contoh, jika pelajar mereka terpaksa meninggalkan kelas, begitu juga jika si pelaku pekerja,'' katanya.
Mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas yang diberi kerana begitu `asyik' dengan bahan-bahan lucah yang diperoleh. Malah, sesetengahnya menyalahgunakan kemudahan pejabat seperti menghabiskan masa berjam-jam di komputer melayari laman web lucah.
Ketagihan seks yang dilepaskan dengan menonton VCD lucah hingga lewat malam ini juga menyebabkan mereka `lalai' menunaikan tanggungjawab yang diberi.
(Nota: Nama yang tertera bukan identiti sebenar pesakit).
Ketagihan seks (sexual addiction) diertikan sebagai masalah yang berterusan dan dicirikan dengan pemikiran dan tindakan di luar kawalan (out of control). Ia merujuk kepada seseorang yang mencari pengalaman seksual secara kompulsif dan mempunyai tingkah laku tidak normal jika tidak dapat melepaskan nafsu mereka.
JENIS-JENIS KETAGIHAN SEKS
* Gemar menghendap atau mengintai orang
* Melayari laman web lucah
* Menonton VCD lucah
* Beronani
* Lain-lain jenis seksual perversion.
GEJALA
* Apabila biasa melakukan aktiviti tersebut, mereka berasa gelisah jika tidak dapat melakukan aktiviti berkenaan
* Mereka sanggup berusaha dan bersusah payah untuk mendapatkan bahan-bahan yang boleh
merangsang nafsu mereka
* Kekerapan yang tinggi
* Menghabiskan wang yang banyak
* Gagal menjalani kehidupan yang normal
* Menjejaskan kesihatan kerana tidak cukup tidur
* Tidak mempunyai interaksi yang normal
* Gagal menghentikan aktiviti tersebut
* Perubahan emosi seperti kemurungan dan cepat marah.
KESAN MENONTON VCD LUCAH
Sebahagian besar mereka yang menonton VCD lucah ini `tertipu' dengan lakonan adegan seks bahawa mereka boleh bertahan lama semasa melakukan hubungan seks.
Hakikatnya, adegan seks yang dilakonkan seolah-olah bertahan selama dua hingga tiga jam itu melangkaui tabiat normal.
MEMBEZAKAN INDIVIDU NORMAL DAN ABNORMAL
Sebagai manusia, naluri untuk melihat sesuatu yang luar biasa adalah normal.
Bagaimanapun, bagi individu normal, mereka tidak perlu bersusah payah mendapat atau melakukan sesuatu untuk merangsang nafsu mereka. Sebagai contoh, jika mereka menonton VCD lucah, mereka mungkin memberi pelbagai reaksi seperti rasa jijik, tidak suka, gembira dan sebagainya.
Mereka juga tidak berasa apa-apa jika tidak dapat menonton VCD terbabit atau melakukan aktiviti seperti menghendap atau mengintai.
INDIVIDU YANG TERDEDAH DENGAN KETAGIHAN INI
* Mereka yang mempunyai keyakinan diri yang rendah
* Tidak banyak interaksi interpersonal.
KESAN JANGKA PANJANG KETAGIHAN
Dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan perubahan biologi akibat aktiviti neurotransmitter yang sentiasa terangsang. Sebarang jenis ketagihan, boleh menyebabkan si pelaku mengalami kemurungan. Malah, risiko mereka mengalami kemurungan adalah 10 kali ganda daripada orang biasa.
Ketagihan seks yang mendorong mereka onani dengan kerap menyebabkan si pelaku hilang tumpuan dan kurang bertenaga. Malah, cara mereka onani juga berkemungkinan boleh memudaratkan alat kelamin.
Oleh NAJIBAH HASSAN
Kamasutra Bergambar Melayu, sila klik sini
Rahsia Malam Pertama. Keterangan lanjut, sila klik sini.
Petua Seks Hebat, sila klik sini.
Melambatkan Pancutan. Keterangan lanjut, sila klik sini.
Pancutkan Suami. Keterangan lanjut, sila klik sini.
0 ulasan:
Catat Ulasan