Seks Pada usia tua

Bagaikan satu perkara yang haram dan jijik di kalangan masyarakat kita yang berpegang teguh dengan resam orang timur, apabila soal berkaitan dengan hubungan seksual dibicarakan secara terbuka. Apatah lagi jika ia melibatkan mereka yang sudah berumur atau lanjut usia seolah-olah keperluan itu hanya untuk golongan muda saja.

Sedangkan, seks adalah antara kunci utama yang mengeratkan hubungan zahir mahupun batin pasangan suami isteri.

Malah, aktiviti seksual yang sihat dan berterusan mampu menyumbang kepada kesihatan keseluruhan seseorang.

Walau janggal, hakikatnya seks adalah satu perkara normal dan azali tanpa mengira usia selagi ia berlandaskan hukum syarak tanpa melanggar tata susila dan peradaban.

Wartawan ROSLAH OTHMAN dan NOOR AZMAH IBRAHIM cuba menyingkap seks di usia tua dari segi Islam, psikologi dan hasil-hasil kajian yang berkaitan.
SUDAH termaktub sejak azali, selain dikurniakan akal, manusia juga dilahirkan dengan pelbagai nafsu yang mana salah satunya syahwat.

Ia merupakan sesuatu yang semula jadi dan dinikmati sebagai sebahagian daripada kehidupan bagi insan normal.

Sebab itulah Islam amat mengalakan umatnya berkahwin dan mempunyai keluarga apabila sampai masanya.

Ia bukan sekadar untuk memanjangkan zuriat, tetapi juga sebagai saluran berkasih sayang dan memenuhi keperluan seks secara halal.

Namun, menyentuh tentang keperluan hubungan badan di kalangan mereka yang berusia, masyarakat mula bertukar nada.

Seolah-olah, ia hanya sesuai untuk dinikmati dan dikecapi oleh pasangan muda yang berusia 40 tahun ke bawah sahaja.

Menurut pakar terapi seks terkemuka, Dr. Rosie King, usia bukan penentu kepada aktif atau tidak aktiviti seksual mana-mana pasangan.

Sebaliknya, ia berkurangan atau terhenti terus kerana hak mereka dinafikan, serta rasa segan terhadap persepsi anak-anak dan masyarakat.

Berdasarkan satu kajian pada tahun 1980, aktiviti seksual pasangan yang berumur 70 hingga 74 berkurangan bukan kerana tiada keinginan, tetapi disebabkan masalah kesihatan dan rawatan perubatan.

``Pasangan yang berusia tidak semestinya hilang minat terhadap seks, tetapi mereka terpaksa tunduk kepada pandangan prejudis masyarakat.

``Sudah menjadi lumrah, orang tua dianggap tidak berguna, tidak bergigi, tidak berambut dan termasuk tidak lagi mempunyai kehidupan seksual,'' katanya.

Tambah beliau, peningkatan usia memberi tanda kepada pertukaran kehidupan dan tabiat seksual, bukannya penamat kepada aktiviti tersebut.

Malah, ia memberi cabaran dan peluang yang lebih luas untuk pasangan meneroka dan mencari penyelesaian kepada masalah berkaitan.

Satu kajian menunjukkan 7 daripada 10 pasangan yang berusia lebih daripada 60 tahun yang sihat masih aktif melakukan hubungan seksual.

``Seks adalah perkara penting dalam kehidupan lelaki mahupun wanita. Tidak ada halangan untuk menikmatinya selagi ada keinginan dan sihat fizikal.

``Meskipun mereka yang berusia berhak untuk mengatakan seks tidak lagi penting dan mahu mengurangkan aktivitinya, namun jangan sesekali melakukannya kerana faktor usia,'' tegas beliau.

Kata Dr. Rosie yang juga Fellow di Kolej Australasian bagi Pakar Perubatan Kesihatan Seksual, hubungan badan bukan hanya berfungsi sebagai sistem reproduksi tetapi juga untuk keseronokan, rekreasi dan kerehatan.

Malah, ia merupakan aktiviti atau perlakuan yang dapat mengeratkan hubungan fizikal mahupun emosi suami isteri.

``Kepentingan kesihatan seksual kepada kesihatan keseluruhan sering kali tidak diberi perhatian oleh masyarakat dan ia bukanlah ciri-ciri positif.

``Ia membabitkan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan seseorang individu dan kesannya tidak boleh diketepikan kerana ia sama penting seperti pemakanan dan senaman,'' katanya lagi.

Selain itu tegas beliau, menopause juga bukan satu pelepasan atau halangan untuk wanita tidak lagi menikmati hubungan seks.

Lebih-lebih lagi dengan adanya Penggantian Hormon dan Terapi Penggantian Testosterone yang dapat meningkatkan keinginan tersebut.

Bagaimana pun, beliau tidak menafikan perubahan seksual akan berlaku disebabkan usia yang semakin meningkat.

Antaranya, lambat terangsang, sensitiviti bahagian badan berkurangan, kesakitan dan sebagainya.

Begitu pun, mereka yang mengalaminya boleh mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah tersebut dengan kerjasama daripada pasangan masing-masing.

``Selain itu, jika anda mengalami masalah atau kesukaran dalam melakukan hubungan fizikal, jangan berasa segan untuk berjumpa doktor.

``Ia mungkin tanda-tanda awal mati pucuk yang boleh diatasi jika kita segera mendapatkan rawatan yang sesuai,'' katanya.

Menurut Dr. Rosie, hubungan badan ibarat tarian tanggo yang perlu sentiasa dilakukan secara berterusan.

Jika pasangan ingin terus menikmatinya di usia tua, mereka harus mengekalkan aktiviti tersebut di samping mengekalkan kesihatan fizikal.

``Selain mengambil berat tentang kesihatan, pasangan lanjut usia juga perlu menjaga perkahwinan yang mana salah satu daripadanya adalah hubungan badan.

``Kita mungkin tidak dapat melakukan perkara yang sama semasa berusia 20 tahun, tetapi kita masih dapat menikmati sentuhan intim dan berahi,'' katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular