Bercinta Dengan Pengkid

Lisa menyulam rasa cinta bersama seorang pengkid, Eddy hampir lima tahun. Namun akhirnya dia menyedari percintaan yang disemai tidak kemana. Apa kesudahan perjalanan cinta dua wanita ini?

Semuanya bermula setelah dia menjejakkan kaki ke sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di salah sebuah negeri di selatan tanah air.

Perkenalan dengan rakan sekolej, Eddy, 23, yang berperwatakan seperti lelaki pada awalnya hanyalah perkenalan biasa. Tetapi lama-kelamaan Lisa, 23, menyedari ada kelainan dalam layanan Eddy terhadap dirinya.

Walaupun pada mulanya Lisa agak kekok dan berang dengan perlakuan yang ditunjukkan Eddy, namun akhirnya dia akur dan mengakui perasaan sayang yang mula berputik di hatinya.

"Memang saya cuba sedaya-upaya untuk mengelak daripada menyayangi kaum sejenis seperti Eddy. Apatah lagi mengetahui ia adalah satu dosa besar dan haram di sisi Islam. Bagaimanapun, saya tidak dapat menahan diri untuk mengharapkan belaian dan kasih sayangnya.

"Eddy begitu istimewa. Cara, layanan, sikap dan perbuatannya sentiasa menggembirakan hati saya. Apabila bersama Eddy, saya rasa begitu selesa dan dihargai. Mungkin kerana dia juga perempuan, maka dia amat memahami perasaan saya.

"Sejak itu, kami menjadi pasangan yang begitu romantis. Contohnya jika saya ke bilik air untuk mencuci baju, dia akan menemani saya sambil kami berbual-bual mesra. Waktu itu, saya rasa sayalah insan paling gembira di dunia ini," ujar Lisa mengimbau semula momen hitam dalam hidupnya.

Apa yang pasti, Lisa turut berdepan dengan lelaki yang sering membawa masalah dan menjadikan perempuan sebagai mangsa. Ini membuatkan hati wanitanya tertutup untuk menerima kehadiran lelaki.

"Boleh dikatakan persekitaran saya terdedah kepada situasi sedemikian. Ayah contoh paling terdekat menyebabkan saya benci pada lelaki kerana menghancurkan perasaan ibu selain sepupu saya yang dipermainkan suami," terang Lisa dalam nada geram.

Cuma, Lisa amat bersyukur kerana keterlanjurannya bercinta dengan pengkid masih boleh diperbaiki. Peristiwa dia terasa dipermainkan oleh teman pengkidnya yang dikatakan mempunyai pasangan lain, menyebabkan Lisa cemburu dan marah.

Lantaran mahu menyakitkan hati Eddy pula, dia menerima lamaran seorang lelaki yang telah lama menyimpan perasaan padanya meskipun lelaki itu mengetahui bahawa dia berpasangan dengan pengkid.

Tambahan pula, dia menganggap itu adalah jalan terbaik untuk membalas dendam di atas perbuatan Eddy yang menduakan dirinya.

"Dalam tempoh empat bulan pertama perkahwinan, saya sebenarnya masih tidak boleh menerima suami sepenuh hati. Ini kerana apa yang saya lakukan semata-mata hanya untuk membangkitkan kemarahan Eddy. Memang dia begitu tertekan dan sedih apabila melihat saya berkahwin. Jika tidak mana mungkin dia sanggup memujuk saya untuk lari pada malam perkahwinan saya.

"Kalau diturutkan hati, mahu saja saya lari bersama Eddy kerana perasaan sayang masih berbekas di hati. Tetapi apabila memikirkan persiapan yang telah dibuat dan mengenangkan ibu yang bakal menanggung malu jika ia berlaku, saya tahan diri untuk mengikutnya.

"Alhamdulillah, suami berjaya melembutkan hati saya untuk menerimanya sepenuh hati.

"Setelah merenung jauh dan bermuhasabah diri, saya nekad untuk mencurahkan sepenuh kasih sayang pada suami yang sanggup menerima saya seadanya. Kini, hidup saya lebih bermakna apabila kami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang comel. Perasaan apabila bergelar ibu sungguh indah. Kehidupan saya sebagai seorang wanita di dunia ini seperti sudah lengkap," ujar Lisa yang menjalin percintaan dengan Eddy selama lima tahun.

Lisa sempat menitipkan pesanan kepada golongan berkenaan agar membuka pintu hati untuk berubah. Semuanya perlu bermula dari dalam diri.

"Ingatlah bahawa apa yang dilakukan ini tak ke mana. Ia hanyalah sekadar keseronokan duniawi semata-mata. Kuatkan hati dan tabahkan diri untuk berubah kerana ia bukan satu perkara mudah. Sekali anda melangkah untuk berubah, seribu dugaan akan datang melanda. Tapi percayalah, Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang sabar."

Kisah Zen

Langkah masih jauh buat Zen, 25, seorang pengkid yang dalam proses berubah untuk menjadi wanita sejati.

Pengalaman selama bertahun-tahun berpasangan dengan kekasih wanitanya menyebabkan Zen begitu sukar mengikis perasaan sayang pada kaum sejantinanya itu.

Meskipun Zen mengakui dia sudah tidak melakukan perkara terkutuk bersama pasangannya itu, tetapi mereka masih lagi tinggal bersama.

"Memang saya cuba untuk berubah. Tetapi ia tidak dapat berlaku dalam masa yang singkat. Saya melakukannya secara perlahan-lahan. Tetapi saya tidak boleh menipu diri bahawa perasaan cinta dan sayang masih penuh di hati. Malah, saya rasa amat cemburu apabila melihat dia bermesra dengan teman lelakinya.

"Justeru, saya cuba mendekatkan diri dengan Tuhan dan melaksanakan kewajipan sebagai seorang Islam seperti solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Tidak dinafikan ia memberi kesan positif untuk saya tegar menghadapi dugaan ini. Namun, dalam masa yang sama fikiran saya masih tertumpu padanya.

"Tidak terkecuali, saya turut berfikir jika saya sudah berubah sepenuhnya menjadi wanita sejati, adakah insan bergelar lelaki yang sanggup menerima diri saya seadanya. Adakah dia sanggup mengambil saya sebagai isteri jika mengetahui kisah silam saya?

"Apa pun saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Yang pasti, niat saya untuk berubah akan diberkati dan saya bertekad untuk membasuh palitan lumpur dalam kanvas kehidupan saya ini," tutur Zen yang mula menjadi pengkid sejak berusia 13 tahun.

Pengkid adalah hidup saya

BERLAINAN dengan Lisa dan Zen, seorang lagi pengkid yang ditemui, Im tidak peduli dengan apa yang diperkatakan orang mengenai dirinya.

Malah, dia bangga dikenali sebagai pengkid dan mempunyai pasangan yang juga kaum sejenisnya. Apa yang penting dia bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya meskipun tahu ia bergelumang dosa dan noda.

“Terus-terang saya katakan, tiada langsung hasrat di hati untuk berubah menjadi wanita sejati. Saya gembira begini. Saya percaya ramai lagi berfikiran seperti saya. Dosa saya sendiri yang tanggung. Jadi biarkanlah saya begini.
“Mungkin saya dilahirkan memang untuk menjadi pengkid. Naluri saya langsung tiada pada lelaki yang hanya tahu mengecewakan dan menghancurkan hati perempuan.

Bak kata pepatah habis madu sepah dibuang. Seolah-olah kami ini sampah yang tidak berharga,” jelas Im meluahkan perasaan di hatinya.

Tambah Im lagi, sejak di bangku sekolah dia telah mula mengadakan hubungan sejenis dengan rakannya. Justeru, setelah berbelas tahun hidup dalam keadaan sedemikian, pintu hatinya seolah-olah sudah terkunci untuk berubah kepada fitrah asalnya.

“Entahlah, saya pun tak tahu mengapa ini boleh berlaku. Benda sudah terjadi. Saya tidak mampu berundur semula. Tambahan pula keluarga telah membuang saya apabila mengetahui saya menjadi pengkid. Sudah ditakdirkan saya menjadi pengkid mungkin untuk selama-lamanya,” kata Im yang bersusuk tubuh kecil tetapi tegap.

Tidakkah dia teringin mempunyai kehidupan seperti wanita lain yang mempunyai suami dan anak-anak sebagai pelengkap kehidupan? “Buat apa saya nak cari nahas berkahwin dan mempunyai anak sedangkan saya tahu naluri saya langsung tiada pada lelaki.

“Seperkara lagi, saya tak mahu menyusahkan hidup dengan berkahwin dan terikat dengan lelaki yang mungkin akan membuang saya apabila sudah tidak diperlukan lagi. Banyak kes-kes sedemikian yang dipaparkan di akhbar. Justeru, untuk apa saya berbuat demikian.”

Bagaimanapun, jauh di sudut hati Im, dia tidak menolak seandainya satu hari nanti, pintu hatinya terbuka untuk berubah melalui hidayah yang diberikan Allah. Namun, dia tidak pasti bila perkara itu akan berlaku.

“Biarlah Tuhan yang menentukan segalanya. Terlalu besar dosa yang telah saya lakukan. Tetapi buat masa ini, pengkid adalah hidup saya. Tiada siapa yang boleh menafikannya,” tegas ucapan Im mengenai dirinya yang tersasar jauh dari landasan sebenar sebuah kehidupan.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR



Rahsia Doa Pengasih. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Kecurangan Pasangan. Keterangan lanjut, sila klik sini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular