Fizikal pengaruhi tarikan seksual

Bagi sesetengah suku masyarakat Orang Asli, persepsi wanita yang ideal mestilah bertubuh gempal dengan buah dada yang besar dan bentuk pinggul yang boleh melahirkan anak.

Di sesetengah tempat lain, wanita yang bertubuh ramping seperti `gelas waktu' menjadi idaman. Kepada wanita pula, secara umumnya mereka pula lebih menggemari lelaki yang mempunyai dada yang bidang. Apa juga pilihan mereka, ternyata orientasi daya tarikan antara lelaki dan wanita lebih banyak berlandaskan pada faktor-faktor fizikal.

``Bagaimanapun, daya penarik itu sendiri bukanlah suatu kualiti yang bersifat universal kerana seseorang yang mungkin menarik di matanya mungkin tidak dipandang kali kedua oleh orang lain,'' demikian menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Dr. Mariani Md. Nor.

Dari sudut biologi, tarikan antara lelaki dan wanita dipercayai datangnya dari `aroma' kimia yang dikeluarkan oleh badan. ``Kita mungkin pernah mendengar pendapat yang mengatakan keserasian seseorang itu dikatakan banyak bergantung kepada body chemistry,'' kata Pakar Ekologi Kimia, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fauziah Abdullah.

Wartawan NAJIBAH HASSAN dan SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN mengupas isu daya tarikan seksual antara lelaki dan wanita ini dari perspektif sains biologi dan psikologi.

APAKAH yang membuatkan anda tertarik pada seseorang? Beberapa kajian di seluruh dunia mendapati, rata-rata lelaki yang diajukan soalan ini memberikan keutamaan terhadap kecantikan fizikal wanita sebagai pasangan seksual.

Sebaliknya, faktor-faktor seperti kepintaran, kedudukan kewangan yang stabil, nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab dan penyayang, pandai berjenaka, sedikit kacak dan lain-lain menjadi tarikan wanita kepada lelaki.

Bagaimanapun, daya penarik itu sendiri bukanlah suatu kualiti yang bersifat universal kerana seseorang yang mungkin menarik di mata anda mungkin tidak dipandang kali kedua oleh orang lain.

Ini kerana, piawaian tarikan fizikal tidak dilahirkan bersama manusia ke dunia tetapi merupakan sesuatu yang dipelajari.

Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM) Dr. Mariani Md. Nor berkata, daya penarik seksual merupakan satu bentuk komunikasi bukan verbal yang boleh merangsang nafsu seseorang.

Ia turut diiringi komunikasi verbal dan kedua-duanya mempunyai maklum balas yang dipusatkan kepada nafsu seks.

``Tarikan seks boleh timbul sama ada melalui cara pemakaian, raut wajah, lirikan mata, bentuk badan, mulut, warna lipstik yang menggiurkan, kepetahan berkata-kata dan sebagainya.

``Tetapi secara universalnya, kecantikan akan datang dahulu berbanding yang lain,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, faktor-faktor tersebut disulitkan dengan tumpuan terhadap ciri-ciri tertentu tubuh seperti buah dada, kaki, rambut atau otot-otot badan.

Dalam hubungan ini, terdapat tahap-tahap berahi dalam individu yang bertindak balas terhadap bahagian badan tertentu sebagai tanda tarikan.

Menurutnya, kebanyakan orang mengeluarkan darjah seksual yang tinggi dan boleh memuncak nafsunya disebabkan oleh rangsangan-rangsangan yang lazimnya tidak berkaitan dengan seks.

``Bagi sesetengah orang, hanya dengan melihat wajahnya sahaja sudah mampu merangsang naluri seks orang lain,'' katanya.

Beliau berkata, sekiranya kesemua aspek adalah normal, seseorang itu tidak memerlukan kecantikan fizikal yang ketara untuk dikenal pasti sebagai individu yang mempunyai daya tarikan seksual tinggi.

``Personaliti dan peribadi yang mulia merupakan perkara yang muncul di hadapan. ``Dalam kebanyakan kes, mereka boleh menjadi daya penarik seksual yang tiada tandingannya sekalipun tidak mempunyai tarikan seksual dalam penampilannya,'' katanya.

Mengulas lanjut, tarikan fizikal boleh membawa kepada tarikan seksual yang lama-kelamaan mewujudkan kasih sayang di antara dua jiwa.

Dr. Mariani berkata, salah satu aspek penting yang menyebabkan daya tarikan seksual ialah apabila orang yang melihat itu telah memahatkan di dalam mindanya `Dia memang seksi'.

``Apabila seseorang berkata begitu, dia sudah membuat satu tanggapan bahawa individu tersebut mempunyai tarikan seks walaupun tidak berpakaian ghairah,'' katanya.

Tambahnya, lelaki biasanya akan lebih tertarik pada wanita yang berpakaian seksi berbanding yang cantik tetapi menutup badannya.

Tetapi, pandangan tersebut hanya setakat itu sahaja kerana dalam jangka pertengahan dan panjang, dia akan menyedari hakikat daya penarik tanpa paksaan dan semula jadi (tidak mendedahkan tubuh badan).

``Manusia, selagi dia tidak dapat melihat, selagi itulah dia berkobar-kobar untuk melihat,'' tegasnya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, ada pasangan yang kita lihat seperti `pinang silap belah' apabila si perempuannya mungkin tidak setanding atau jauh lebih cantik dari lelaki, atau sebaliknya.

Namun, katanya, bagi pasangan itu sendiri, pilihannya itulah yang paling cantik di matanya.

Ditanya mengenai jenayah rogol yang tidak mengira pemakaian yang menutup aurat, Dr. Mariani berkata, ia disebabkan oleh tarikan seks yang sedia tertanam di dalam fikiran seseorang.

``Kejadian gangguan seks dan kegiatan salah laku seks seperti meraba, menggeselkan badan semasa kesesakan dan merogol merupakan gerak balas dari tarikan seks yang terpendam di dalam diri seseorang.

``Perogol sudah ada tarikan pada orang lain dan dia bayangkannya pada si mangsa walaupun dia menutup auratnya dengan sempurna,'' katanya.

Definisi tarikan seksual

Tarikan seksual seseorang kepada seseorang yang lain bergantung kepada kedua-dua individu.

Pada tahap-tahap tertentu, terdapat persetujuan umum bahawa seseorang itu mempunyai daya penarik seksual. Tetapi bagi sesetengah yang lain pula, ia lebih merupakan kepada soal cita rasa.

Faktor pendorong

Kebanyakan tarikan seksual manusia adalah berpunca dari:

* persepsi penglihatan (rupa seseorang)

* pendengaran (suara atau derap langkah kaki seseorang)

* bau, sama ada bau semula jadi badan seseorang atau menggunakan alat pewangi, bau yang tidak bersesuaian boleh menjijikkan seseorang

Tarikan seksual berdasarkan pandangan mata lazimnya meliputi:


* penampilan diri seseorang seperti cara berpakaian yang telah dipersetujui oleh budaya setempat

* kurang atau tidak berpenyakit luaran

* kesamaan darjah bahagian tubuh yang tinggi di antara kiri dan kanan terutamanya muka

* potongan badan yang menarik

Proses biologi apabila berlakunya tarikan seksual

Kebanyakan ahli sains percaya bahawa tarikan seksual bermula di dalam struktur bersaiz kacang pis yang dinamakan hipotalamus yang terdapat di dalam bahagian primitif otak manusia.

Ikatan saraf-saraf halus ini menyebabkan serangkaian rangsangan apabila seseorang melihat seseorang yang lain sebagai menarik dari segi seksual.

Hipotalamus terus memberitahu kelenjar pituari yang kemudiannya merembeskan hormon-hormon ke kelenjar seks. Kelenjar seks bertindak balas segera dengan mengeluarkan estrogen, progesteron dan testosteron.

Antara tindak balas tarikan seksual

* merasa seronok apabila berbual dengan

seseorang yang lain

* jantung berdegup kencang

* otot-otot menjadi tegang

* sedikit pening

* badan menggigil

* tangan menggeletar

* berpeluh dingin

* muka merah padam.


Kesan tindak balas rangsangan seksual yang utama ialah klimaks. Ini berlaku secara semula jadi, iaitu suatu petanda bahawa rangsangan seksual sudah sampai ke peringkat muktamad.

Individu itu menghayati rangsangan dan rangsangan itu telah sampai ke kemuncak. Bagaimanapun terdapat sebilangan individu, baik lelaki atau perempuan yang tidak mencapai kemuncak. Walaupun sedang menghayati rangsangan seksual, seolah-olah tiada kesudahan dan akhirnya terpaksa menghentikan hubungan seksual itu apabila dia terasa penat atau pasangannya letih.

Perkara ini boleh berlaku sekali sekala atau menjadi berterusan.

Satu perkara yang mustahak semasa melakukan hubungan seksual ialah menumpukan rangsangan seksual yang sedang dialaminya. Sambil menghayati, membina sehingga sampai ke kemuncak. Dia perlu menghayati rangsangan seksual dengan meningkatkan daya tumpuan kepada rangsangan seksual.

Apabila perasaan batin itu bergelora dia akan mencapai kemuncak. Jika semasa melakukan hubungan seksual, individu itu rasa macam terpaksa, mood dan mindanya tidak ada dalam hubungan seksual itu.

Sudah tentu dia tidak dapat memberi perhatiannya kepada rangsangan seksual itu dan tidak akan mencapai kemuncak. Jika dia gagal untuk mencapai kemuncak, dia akan rasa serba salah, mungkin tidak puas dalam hubungan seks dan akan mengalami tekanan.

Masalah lambat mencapai klimaks, tidak mencapai klimaks atau gagal untuk mencapai klimaks (ejakulasi) boleh berlaku pada bila-bila masa.

Sebilangan lelaki yang mengalami penyakit kencing manis kadangkala mengalami masalah tersebut. Ini berlaku kerana kerosakan urat saraf akibat kesan negatif penyakit itu. Masalah ini berterusan dan boleh menghalang kehamilan, kerana tiada ejakulasi.

Masalah ini boleh diatasi dengan ubat yang dapat memulihkan ejakulasi yang terbantut itu. Terdapat juga individu yang kerap melakukan onani walaupun telah berkahwin, masih lagi mengamalkan amalan itu pada waktu tertentu, mendapati tidak dapat mencapai kemuncak ketika melakukan hubungan seksual dengan pasangan. Terdapat juga mereka yang mengamalkan hubungan seks melalui lubang najis dan seronok dengan rangsangan yang dihayati, selepas itu gagal untuk mencapai klimaks dengan cara `biasa'.

Lelaki yang berumur tidak mudah mencapai klimaks, kerana zakar kurang sensitif dan rangsangan tidak memberi tindak balas seperti waktu muda dulu.

Tip untuk mencapai kemuncak ialah:

a. Pastikan yang anda benar-benar berhajat untuk melakukan hubungan seks, bukan rasa macam dipaksa atau terpaksa.

b. Pastikan minda anda tidak melayang, selain kepada penghayatan hubungan seksual.

c. Pastikan mood anda bergelora untuk melakukan hubungan seksual

d. Pastikan melakukan hubungan sentuhan intim sebagai permulaan rangsangan seksual. Semasa melakukan hubungan seksual pastikan yang anda merangsangkan anggota seks anda dan anda menghayati rangsangan yang membina. Jika gagal mungkin anda perlu berjumpa doktor untuk bimbingan atau rawatan.

Dr Ismail Thamby

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular