Kebaikan seks selepas bersalin.

Kebaikan seks selepas bersalin.

Amalan di kalangan wanita di Kelantan, mereka lazimnya tidak melakukan hubungan kelamin untuk selama 100 hari selepas bersalin. Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan yang khusus, ia hanya amalan turun temurun daripada emak kepada anak.

Walaupun tidak ada hubungan kelamin, mereka masih tidur bersama suami. Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu. Dari segi perancangan keluarga, amalan ini memberangsangkan.

Kelahiran

Lain bangsa lain pula amalan mereka. Tidak ada bukti kenapa setiap amalan diperlakukan. Walaubagaimanapun, tempoh yang diamalkan ini boleh dikatakan bagus kerana wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas kepenatan bersalin serta mengandung selama 40 minggu.

Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa. Hubungan suami isteri bukanlah hanya hubungan kelamin semata-mata, ia lebih dari itu!

Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung kerap serta aktif dan menyeronokkan tetapi lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama untuk beberapa julat masa akan datang selepas ketibaan ahli keluarga baru.

Proses kelahiran merupakan proses fizikal yang meletihkan. Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya sama seperti pelari marathon semasa Sukan Olimpik! Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran.

Kemuncak emosi berlaku apabila ibu melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.

Badan ibu akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami perubahan hormon semasa mengandung. Adaptasi serta fokus isteri sekarang sebagai seorang ibu mula menampakkan keanggunan seorang wanita.

Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai ‘postpartum’, kehadiran si sayang baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi.

Kemaskini cara berkomunikasi suami dan isteri sebelum agenda hubungan kelamin bermula. Suami tentu dan perlu memahami akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.

Keinginan

Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin isteri terlupa akan hubungan kelamin. Ada doktor yang menasihati supaya berehat dari hubungan kelamin selama 6 minggu, namun nasihat ini sebenarnya tidak ada bukti kukuh.

Ada doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara 3 hingga 6 minggu, bergantung kepada:

* Berhentinya darah dan juga discaj selepas bersalin.

* Penyembuhan luka dari episiotomi di faraj semasa proses kelahiran

* Penyembuhan dari pembedahan caesarean

Sebab-sebab lain yang menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun selepas bersalin termasuklah:

* Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru kerana setiap kelahiran merupakan pengalaman baru. Banyakkan meminum air serta mengambil makanan yang berkhasiat. Senaman ringkas khas untuk mereka selepas bersalin juga boleh mengurangkan ketegangan.

* Ketegangan dan rasa tidak selesa, mungkin juga kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.

* Menyusu badan menyebabkan cairan lubrikasi di faraj menurun, jadi faraj menjadi kering dan hubungan kelamin jadi menyakitkan. Ada banyak cecair pelincir yang boleh didapati di farmasi untuk mengelakkan kekeringan.

* Anggapan bentuk badan sekarang tidak menarik, berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalu berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih).

* Cemas dan was-was tentang peranan sebagai ibu, apatah lagi melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.

* Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel, langsung mengganggu aktiviti kelamin.

Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan para ibu dan mereka mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin. Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.

Termengandung?

Isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel untuk masa sekarang. Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak mengamalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas 3 bulan.

Tetapi, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku selepas 3 minggu.

Jadi, berbincanglah antara suami isteri akan kaedah kontraseptif terbaik.

Berjumlah dan minta nasihat doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi.

Kondom merupakan kaedah perancang keluarga terbaik untuk peringkat ini kerana ibu masih menyusu badan. Sekiranya ibu yang menerajui kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik kerna ianya tidak mengurangkan jumlah susu.

Untuk alat dalam rahim, pastikan dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz sebelum mengandung.

Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya sendiri. Hormon yang dikeluarkan boleh mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin. Begitulah juga dengan penyusuan badan. Rahim akan cepat ke saiz asal. Sekiranya penyusuan badan tidak diamalkan 100 peratus, kitaran haid ibu mungkin kembali pada minggu keempat.

Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa. Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen wanita dari ovari. Ini akan menyebabkan suasana dalaman faraj kering.

Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan. Mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan zakar-faraj dengan meningkatkan tempoh sentuh menyentuh atau cumbuan.

Perubahan

Mungkin para ibu mengamati yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sebagaimana sebelum bersalin. Jangan runsing, dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal dengan lebih berkesan. Sekiranya tidak berpuas hati, berjumpalah dengan doktor untuk nasihat.

Untuk seketika selepas bersalin, disebabkan paras hormon wanita estrogen serta progesteron jatuh dengan pantas, para ibu akan mengalami keadaan seakan-akan ‘menopaus’ terutamanya pada kawasan sekitar faraj. Tahap pH faraj akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari irritasi berkurangan, menyebabkan ibu terdedah kepada gangguan serta iritasi dari sabun ataupun cecair pencuci faraj.

Jangkitan pada faraj pada waktu ini mudah berlaku, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga discaj. Jadi, berhati-hatilah dengan dengan produk pelincir yang digunakan, ataupun jenis-jenis kondom yang digunakan.

Penjagaan perineum juga amat penting selepas kelahiran. Perineum adalah bahagian tubuh puan di antara faraj dan dubur. Pastikan kawasan tersebut bersih dan kering. Ini meningkatkan lagi proses penyembuhan. basuh tangan setiap kali puan menukar tuala wanita.

Keringkan dengan menyapu dari depan ke belakang, supaya kuman dari bahagian dubur tidak merebak. Jahitan episiotomi, biasanya akan hilang dalam masa dua minggu.

Emosi

Ada juga di kalangan ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin. Ini juga menyukarkan perhubungan kelamin sekiranya aktiviti ini ingin dimulakan. Kemurungan ini akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu, perubahan masa serta perubahan perhubungan di antara suami serta si comel.

Perasaan juga terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan ibu.

Adalah tidak janggal untuk ibu berasa cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan, kadang-kala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris. Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri. Semua ini normal sekiranya berlaku dalam tempoh dua minggu dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku.

Tetapi sekiranya berterusan, segera berbincang dengan doktor!

~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular