Bahaya pam vakum

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai alat pembesar zakar. Satu kajian oleh Andrology Australia mendapati 86 peratus lelaki mempercayai saiz dan bentuk zakar mustahak sebagai lambang keterampilan diri sebagai lelaki sejati.

Pada masa sama, satu daripada empat lelaki dalam kajian itu tidak teragak-agak mendapatkan zakar idaman mereka jika wujud kaedah selamat dan boleh dipercayai.

Kajian juga mendapati sesetengah lelaki sukar mendedahkan anggota kelamin untuk diperiksa kerana tidak selesa dengan bentuk dan saiz zakar.

Mereka sanggup mendiamkan diri tanpa berjumpa doktor jika ada masalah berhubung struktur dan fungsi anggota kelamin. Namun, jika kajian sama dilakukan di Malaysia, saya pasti keputusannya sama.

Memandangkan di Australia ada persatuan perubatan dan kesihatan seperti Andrologi Australia yang kerap menjalankan forum dan perbincangan terbuka mengenai kesihatan lelaki atau andrologi (sakit tuan), lelaki di sana mendapat pendedahan positif mengenai kesihatan dan tidak akan melakukan perkara yang memudaratkan kesihatan.

Malangnya di negara kita, lelaki lebih senang merawat masalah secara bersendirian atau dengan orang tidak bertauliah seperti bomoh, dukun dan tabib.

Ada juga yang mudah terpengaruh dengan 'doktor' dari seberang atau 'pak karut' yang kononnya dapat membantu mengatasi masalah zakar.

Rata-ratanya pasti mengesyorkan alat pembesaran zakar seperti suntikan kimia ke dalam kulit untuk membesarkan zakar atau memberi pam vakum dan alat penarik zakar. Begitupun, kebanyakan produk itu tiada sijil atau disahkan doktor.

Namun, sebenarnya teknologi 'extension' atau tarikan secara beransur-ansur dapat mengubah dimensi tisu lembut dan tisu keras jika dilakukan secara terkawal dan dalam pengawasan pakar.

Jika alat digunakan tidak pernah dikaji dan ia tiruan seperti berat dan mudah rosak, ia memberi kesan serius kepada anggota kelamin.

Pihak yang ingin menggunakan alat membesarkan zakar perlu menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat peralatan standard dan sesuai untuk tujuan itu.

Alat pam vakum 'TIDAK' boleh digunakan untuk membesarkan zakar. Jika disalahgunakan, zakar boleh rosak dan lelaki terbabit mati pucuk.

Pembaca perlu berwaspada. Jangan mudah terpengaruh dengan tukang urut dan 'pak karut' untuk membesarkan zakar. Jika silap langkah, semuanya tidak berguna.

Ramai lelaki yang menjalani suntikan zakar akhirnya menyesal. Selain itu, zakar yang rosak jika dipulihkan akan mengalami masalah sampingan seperti mengecil daripada saiz asal. Kos perubatan juga menelan belanja tinggi.

~ Dr. Ismail Thamby





0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular