Suami gila wanita lain

Benarkah cinta memerlukan banyak pengorbanan? Bagaimana pula dengan mereka yang sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan hubungan dijalin, namun putus juga di tengah jalan, tanpa sebarang berita dan ditinggalkan sendirian menjalani liku-liku kehidupan.

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah ungkapan sesuai buat individu yang menerima nasib sedemikian. Dalam masih tercari-cari identiti sebenar selepas dibiarkan hidup di rumah anak yatim dan dirundung pula dengan seribu satu soalan - ke mana perginya orang yang dikasihi kerana ditinggalkan tidak bertali.

Itulah antara kisah hidup ditempuhi Halimah (bukan nama sebenar) selepas berkahwin dengan suaminya enam tahun lalu dan memiliki dua puteri hati yang mengubat segala luka.

Halimah berkata, dari kecil dia dibesarkan di rumah anak yatim piatu dan hanya mereka yang senasib dengannya tahu isi hatinya. Selepas keluar dari tempat itu, barulah dia mengenali dunia dan belajar untuk hidup bersama orang luar ketika mula bekerja di pasar raya di ibu kota.

“Saya dibesarkan tanpa mengetahui asal-usul saya dan hanya bertemankan rakan-rakan yang senasib dengan saya. Selepas tamat zaman persekolahan saya berpisah dengan mereka dan mengambil jalan masing-masing untuk meneruskan perancangan hidup kami.

“Walaupun sedih dan takut, saya gagah juga kerana mengharapkan sinar baru di luar sana yang penuh dengan cubaan. Saya akhirnya, diterima bekerja sebagai jurujual dan dari situ saya mula kenal dengan rakan-rakan baru,” katanya yang tergelak perlahan mengenangkan semula kenangan itu ketika di hubungi, baru-baru ini.

Halimah mendakwa, selepas beberapa bulan bekerja dan sering menghabiskan masa bersama rakan-rakan setempat kerjanya, dia mula rapat dengan Amran (suaminya) yang juga abang kepada teman rumah sewanya.

“Dari kecil lagi saya memang dahagakan kasih sayang dan sering mengimpikan seseorang hadir dalam hidup saya untuk dijadikan tempat bermanja serta menagih kasih sayang dan bertemu dengan Amran, itulah yang ditunjukkannya. Caranya yang mengambil berat terhadap saya membuatkan hati ini berasa amat tersentuh dan cinta padanya mula mekar.

“Sakit demam saya dijaga dan dia juga banyak membantu dari segi kewangan selain menanggung yuran pembelajaran saya. Sehinggalah saya tamat belajar, dia meluahkan hasrat hatinya untuk menjadikan saya sebagai isterinya,” katanya.



Halimah berkata, hasrat lelaki itu disambut dengan ikhlas tanpa berfikir panjang kerana yakin dengan keperibadian Amran yang jelas kelihatan jujur dalam percintaan mereka.

“Dua bulan selepas kami mendirikan rumah tangga dalam majlis yang sederhana, saya disahkan mengandung dan kami sangat gembira dengan berita yang diterima itu. Amran mula mengeluarkan kata-kata janjinya untuk menjadi bapa dan suami yang soleh buat kami sekeluarga. Hati saya cukup gembira ketika itu dan cukup bangga dengan sikapnya yang bertanggungjawab.

“Kehidupan kami bertambah gembira selepas mendapat ahli keluarga baru. Amran sangat sayang kepada anak sulung kami, setiap hari dia pasti akan pulang ke rumah awal dan menghabiskan masanya untuk bersama dan melihat permata hati kami membesar,” katanya

Setahun selepas detik bahagia itu berlalu, kami dikejutkan dengan satu lagi berita gembira kerana saya disahkan hamil sekali lagi. Amran juga tidak berubah masih menunjukkan sikap yang sama dan seolah-olah tidak sabar untuk menantikan saat kelahiran anak kedua kami.

“Namun, dalam sekelip mata segala impian yang dijanjikan kelihatan seakan goyang dan menunjukkan tanda-tanda kemusnahan. Dalam usia kandungan saya mencecah ke tujuh bulan, dia seakan mula tidak mengendahkan saya,” katanya dengan nada yang mula sayu.

Wanita beranak dua itu mendakwa, Amran mula menunjukkan tanda perubahan itu dan sering pulang ke rumah lewat malam dan jarang menghabiskan masa bersama seperti sebelumnya. Sikapnya juga mudah marah apabila diajukan soalan.

Katanya, apa yang membuatnya berasa amat terkilan, orang paling diharapkan itu tiada pada saat kelahiran anak kedua mereka, sebaliknya terpaksa menagih simpati rakan-rakan bagi menguruskan segala urusan di hospital.

“Pilu rasanya hati apabila mengenangkan dia tiada bersama saya untuk menyambut kelahiran ahli baru dalam keluarga kami. Segala urusan bil dan hospital dibantu oleh rakan karib saya yang juga adik Amran. Ditambah pula perit hati ini, apabila sampai ke rumah melihatnya tidur dengan lena di ruang tamu.

“Apabila bangun dari tidur, dia lalu bertanya ke mana saya menghilangkan diri dan selepas suami memaki, saya ditinggalkan sendirian tanpa menjenguk langsung ke arah anak kedua yang baru dilahirkan itu. Bulan demi bulan berlalu, dia hilang tanpa sebarang berita dan tiada siapa tahu ke mana dia membawa dirinya,” katanya.

Wanita malang itu memberitahu selepas beberapa tahun ditinggalkan bergantung tanpa tali dan menjalani pahit getir kehidupan untuk membesarkan dua anaknya itu bersendirian, Amran tiba-tiba muncul dalam hidupnya dengan keadaan yang sungguh mengejutkan.

“Saya terkejut apabila dia tiba-tiba muncul di tempat kerja saya dalam keadaan yang tidak terurus. Walaupun perasaan marah padanya masih menebal, saya masih memberinya peluang untuk menjelaskan perbuatannya itu.

“Hancurnya hati ini, apabila orang yang disangka tempat berteduh dan bermanja tergamak meninggalkan keluarganya sendiri untuk bermadu kasih dengan teman wanitanya yang bekerja sebagai pelayan di kelab malam terkemuka di bandar ini. Sepanjang peninggalannya itu, mereka duduk serumah mengalahkan pasangan suami isteri,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Halimah berkata, meskipun bersimpati dengan keadaan suaminya yang kini ditinggalkan sehelai sepinggang oleh wanita itu selepas berkahwin dengan seorang usahawan, ibu dua anak itu tetap berkeras hati untuk memberikan pengajaran kepada Amran terhadap tindak-tanduknya itu.

“Tidak terlintas di hati saya membalas balik segala perbuatannya terhadap kami anak-beranak, tetapi saya ingin dia sedar kesalahannya itu. Biarlah impian saya hancur di tengah jalan, namun saya tetap akan meneruskan proses perceraian ini,” katanya.

Wanita itu kini hanya mampu terus berdoa agar keputusan bagi permohonan cerai fasakh yang dipohon dari Mahkamah Syariah berpihak kepadanya.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular