Nikah terbantut

Seorang warga emas yang sepatutnya bernikah semalam ditahan bersama lapan rakannya kerana terbabit dalam permainan judi belangkas, petang kelmarin.

Warga emas berusia 69 tahun dari Padang Terap, Kuala Nerang, itu, dijangka bernikah dengan pasangannya yang berusia 40-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata mereka ditahan dalam serbuan di Kampung Kubang Chenor, kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu diketuai Inspektor Saiful Hasnol Saleh Hudin terbabit dalam serbuan itu.

Katanya, lebih 30 orang didapati leka bermain judi belangkas di bawah sebuah khemah dalam belukar.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, kumpulan lelaki terbabit bertempiaran lari ke arah belukar.

“Bagaimanapun, sembilan lelaki yang berada di situ gagal meloloskan diri. Mereka ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan.

“Kawasan itu dipercayai baru beroperasi sejak sebulan lalu dan turut diawasi tonto selain menjadi tumpuan kalangan peminat judi belangkas,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Antara peralatan dirampas ialah khemah kanvas, sebuah meja lipat, pinggan dan mangkuk serta kertas lukisan belangkas.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas empat kereta dan 15 motosikal yang ditemui di lokasi serbuan.

Sembilan lelaki yang ditahan berusia 20-an hingga 70 tahun dengan kebanyakan dipercayai berasal dari Perlis.

“Kita masih menyiasat siapa menganjurkan perjudian itu serta mencari bukti lain. Siasatan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Oleh Zuliaty Zulkiffli

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular