150 wanita cari suami

Hanya kerana mahu merasa keseronokan beristeri lebih, ramai lelaki tempatan dikesan aktif berkahwin secara haram dengan wanita asing di luar negara dengan menjual temberang kononnya masih bujang walaupun usia menjangkau 50 tahun.

Difahamkan kebanyakan lelaki tempatan ini berkahwin dengan wanita warga asing tanpa mendaftarkan perkahwinan bagi mengelakkan penipuan mereka dihidu isteri dan ahli keluarga di Malaysia.

Bagaimanapun penipuan terbabit terbongkar apabila beratus ‘isteri simpanan’ berkenaan didapati sanggup datang ke Malaysia bagi menjejaki suami masing-masing yang pulang ke tanah air.

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, gejala tidak sihat ini semakin parah apabila seramai 150 wanita asing datang ke pejabatnya sejak awal tahun ini bagi mendapatkan bantuan menjejaki suami mereka yang juga rakyat Malaysia.


Menurutnya, majoriti wanita asing terbabit mengadu ditinggalkan suami tanpa diberikan nafkah sedangkan ada antara mereka sudah melahirkan zuriat hasil perkongsian hidup sementara itu.

“Kemelut ini yang mencemarkan imej negara bukan hanya membabitkan wanita atau gadis dari tanah besar China, malah turut membabitkan gadis dari Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia.

“Hasil soal selidik dilakukan, kebanyakan perkahwinan haram ini berlaku ketika lelaki warga Malaysia ini pergi ke negara berkenaan atas urusan perniagaan, mencari pekerjaan sementara atau bercuti,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan lelaki Malaysia ini yang dianggap mempunyai saham tinggi mudah menarik minat gadis warga asing sebelum mengambil keputusan berkahwin.

“Agak melucukan apabila gadis warga asing ini mudah ditipu kononnya lelaki berkenaan masih bujang dan terus bersetuju apabila diajak kahwin.

“Bagaimanapun perkahwinan singkat ini tidak akan kekal lama berikutan lelaki tempatan terbabit yang sudah mempunyai isteri dan anak di tanah air akhirnya akan pulang ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya, tindakan lelaki tempatan ini yang cuba membuang ‘isteri gelap’ terbabit dianggap agak zalim kerana bersikap lepas tangan dan tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku.

"Bagaimanapun kebanyakan wanita warga asing ini mempunyai 'hati kering' dan datang ke Malaysia untuk menjejaki suami mereka. Wanita ini tidak teragak-agak mengiklankan gambar wajah suami mereka di surat khabar selain menggunakan khidmat biro aduannya untuk membantu mencari suami mereka.

"Namun kerana bimbang perkara ini boleh mencetuskan huru-hara dan kemelut dalam rumah tangga, saya menasihati lelaki tempatan itu menyelesaikan perkara terbabit, dengan cara paling baik," katanya.

Dalam kes terbaru semalam, seorang wanita warga China mendakwa turut diperdaya selepas berkahwin dengan seorang lelaki tempatan yang sudah berumah tangga.

Dalam kes berkenaan, seorang wanita warga China dikenali sebagai Huang, 41, mendakwa dipermainkan seorang lelaki tempatan selepas menjalin hubungan sejak lima tahun sehingga melahirkan seorang anak lelaki.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Arkib Blog

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular