Ikat, kurung isteri tiga malam kerana cemburu

Gara-gara cemburu, seorang lelaki mengikat tangan dan kaki isteri sebelum mengurungnya dengan hanya berpakaian dalam selama tiga hari di sebuah bilik rumah mereka di Bukit Setongkol, di sini.

Mangsa yang turut cedera di seluruh badan akibat diseksa dan dipukul suaminya, diselamatkan polis kira-kira jam 5 pagi kelmarin selepas dia berjaya menghubungi talian kecemasan 999 setengah jam sebelum itu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata wanita berusia 32 tahun itu menghubungi 999 kira-kira jam 4.30 pagi selepas dapat melepaskan ikatan di kakinya tanpa disedari suami yang sedang tidur.



"Mangsa menyeret telefon bimbit suaminya ke dalam tandas di bilik utama dan mendail talian kecemasan dengan kakinya serta mengaktifkan alat pembesar suara telefon bimbit itu kerana tangannya masih terikat," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.
Polis pergi ke rumah berkenaan sebaik menerima panggilan itu dan menahan suami mangsa, manakala wanita berkenaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Lelaki berusia 41 tahun itu dan tidak bekerja, direman 14 hari bermula kelmarin untuk disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan berhubung kurungan salah dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Kamaruzzaman berkata, siasatan awal mendapati mangsa diikat dan diseksa kerana bermotifkan cemburu.

Beliau berkata, suami mangsa mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan bapa saudaranya dan beberapa saudara lelaki lain sejak dua tahun lalu.

"Mangsa yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur juga mendakwa sering dipukul suaminya atas motif yang sama.

"Anak mangsa pula tidak berani melaporkan kepada polis kerana takut dipukul bapanya. Kita sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mendapatkan keterangan jiran mereka," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Pelawat

Pikat Isteri

Artikel

Catatan Popular